18 Apr 2011

Kaum Cina Tolak BN Di Sarawak, PRU Tangguh

DUN Sarawak: Hakisan undi Cina mungkin tangguh PRU-13

Hakisan sokongan kuat masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) yang berterusan di Sarawak sejak pilihan raya umum 2008 kemungkinan akan memaksa Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pilihan raya umum ke-13, demikian menurut penganalisis.

Justeru, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN dilihat perlu mengkaji semula gagasan 1 Malaysia untuk memenangi semula sokongan rakyat yang tidak berpuas hati dengan masalah pembangunan ekonomi dan kekurangan aspek meritokrasi selain telah menyebabkan sokongan berkurangan.

“Konsep 1 Malaysia gagal di kalangan masyarakat Cina . . . mereka masih menolak BN,” katanya penganalisis Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

BN menang majoriti dua pertiga dengan 55 dari 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. DAP menggandakan kemenangan kepada 12 kerusi manakala PKR menang tiga kerusi dari 49 kerusi yang ditandingi dan Bebas juga mendapat satu kerusi.

Pada pilihan raya 2008, Pakatan Rakyat menang 82 dari 222 kerusi Parlimen dengan DAP memperoleh 28 kerusi, terutamanya di kawasan bandar yang mempunyai majoriti besar pengundi Cina, yang menolak wakil rakyat BN.


Jika berdasarkan trend mengundi setakat ini, Agus percaya keputusan pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 semalam membuktikan pengundi di negeri itu masih mengundi mengikut kaum.

“Ia masih mengikut segmen kaum, malah lebih daripada biasa. Saya tidak rasa Najib akan mengadakan pilihan raya umum pada masa terdekat.

“Kemenangan di Sarawak tidak membuktikan kemenangan BN... apa yang jelas BN mengekalkan undi Melayu-Bumiputera sementara Pakatan Rakyat melalui DAP mendapat undi Cina,” tambahnya.

Pensyarah itu berkata BN gagal mempertahankan Sarawak sebagai “deposit hayat” atas banyak sebab dan ini akan membuat Najib menangguhkan untuk mengadakan pilihan raya umum tergempar dalam waktu terdekat.

Menurut Agus, kehilangan sokongan dari masyarakat Cina menunjukkan konsep 1 Malaysia Najib yang “inklusif” hilang di kalangan rakyat Sarawak.


“BN dan DAP sekarang bertanding bagi kerusi (mengikut kelebihan komposisi) kaum . . . ini menunjukkan konsep 1 Malaysia Najib gagal. Sokongan yang kurang dalam masyarakat Cina perlu diambil kira sebelum beliau (Najib) mahu mengadaka pilihan raya umum,” kata Agus.

Jelas beliau, pertarungan tiga penjuru antara BN, Pakatan Rakyat dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) juga sebab utama mengapa perikatan tiga parti itu menang lebih banyak.

“Jika ia pertarungan satu lawan satu antara Pakatan Rakyat dan BN, keputusan akan jadi lain,” kata Agus sambil menegaskan Pakatan Rakyat menunjukkan peningkatan “selesa” apabila memperoleh kemenangan.

Najib juga memberikan isyarat meyakinkan apabila mengatakan kemenangan besar di Sarawak akan dijadikan kayu ukur dan jambatan bagi menghadapi pilihan raya.

“Momentum ini akan kita tingkatkan dan apa yang penting sokongan ini kita kekalkan supaya ia boleh diterjemahkan pada pilihan raya umum,” katanya malam tadi.

BN mengekalkan kemenangan dua pertiga di DUN Sarawak dan pada pukul 10.55 malam tadi BN diisytiharkan menang dengan 55 kerusi atau 75 peratus 71 kerusi yang dipertandingkan. Pada 2006 menang 62 dari 71 kerusi, ini menunjukkan undi BN turun dari 62.93 peratus pada 2006 kepada 55.24 peratus semalam.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, bersetuju dengan pandangan Agus.

“Walaupun Najib bercakap soal 1 Malaysia dan inklusif untuk semua, masih terdapat rasa antara konsep dan pelaksaan dan ini sesuatu yang cuba dieksploitasikan lawannya.

“Lihat keputusan setakat ini . . . ada jurang antara orang Islam dan bukan Islam,” kata Ibrahim.

Seperti Agus, Ibrahim juga berkata kemenangan 15 kerusi Pakatan Rakyat tidak akan dipandang mudah oleh BN.

“Pakatan Rakyat menang di negari yang dianggap sebagai peti deposit BN,” katanya.

Penganalisis itu berkata faktor Najib menyumbang kepada kemenangan BN kali ini.

“Kehadiran Najib dan Najib sendiri yang berkempen di Sarawak... dan apa yang beliau lakukan menyumbang kepada kemenangan BN.

“Ia akan jadi lebih teruk tanpa Najib,” kata Ibrahim. -TMI




Kemenangan DAP wajar diberi perhatian serius

Pertambahan jumlah kerusi dimenangi DAP pada pilihan raya negeri Sarawak kelmarin, boleh disifatkan sebagai lanjutan tsunami politik yang berlaku di Kuching pada 2006 dan perlu ditangani dengan serius, kata Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Justeru, katanya, parti komponen Barisan Nasional (BN) harus menganggap kekalahan beberapa kerusi yang sebelum ini dikuasai BN sebagai pengajaran dan cabaran yang perlu dikaji secara teliti serta ditangani dengan lebih berkesan.

“Kita harus memandang serius bahawa fenomena ini memang menjadi cabaran besar kepada BN, khasnya kepada parti komponen yang bertanding di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di sini, semalam.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan penguasaan beberapa kerusi yang sebelum ini dikuasai parti politik tempatan di Sarawak tetapi kini beralih kepada DAP dan PKR, jelas memperlihatkan persepsi bahawa hanya parti tempatan mampu menambat hati pengundi Sarawak sudah tidak lagi relevan.

Mengulas punca penolakan pengundi Cina terhadap calon dari parti komponen BN khususnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), beliau berkata, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan, termasuk dari segi calon.

Walaupun ada calon SUPP adalah bekas wakil rakyat yang sudah banyak menabur jasa kepada penduduk diwakili, katanya, calon muda diketengahkan DAP berjaya mengubah persepsi pengundi terhadap apa yang mampu disumbangkan mereka pada masa depan jika terpilih.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tindakan pengundi Cina memilih calon pembangkang sebagai wakil mereka, terutama di kawasan bandar, dilihat sebagai isyarat kepada MCA dan GERAKAN supaya tidak sambil lewa menangani masalah kaum itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, tidak lama lagi.
“Kekalahan calon BN itu menyaksikan pengundi Cina di kawasan bandar di Sarawak mahukan transformasi kepemimpinan parti itu sendiri. Kehendak pengundi amat penting dan kepemimpinan parti perlu peka mengenai apa yang diutarakan mereka. Begitu juga dengan isu kontroversi membabitkan pemimpin parti, antara penyebab mereka tidak dapat diterima pemilih pada pilihan raya kali ini.

“Pembangunan dan kemajuan di Sarawak begitu memberangsangkan, namun masalahnya ialah janji pemimpin harus dikotakan. Saya lihat kebanyakan pemimpin sudah lama mengemudikan parti dan sudah tiba masanya mereka memberi laluan kepada muka baru seperti diuar-uarkan pembangkang ketika berkempen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) serta melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013 di sini, semalam.

Di GOPENG, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata kekalahan SUPP menggambarkan masyarakat Cina di Sarawak tidak menghargai peranan parti itu yang mewakili kaum mereka.

“Sekiranya keputusan pilihan raya itu dijadikan kayu pengukur, SUPP kini dilihat sudah tidak relevan di kalangan masyarakat Cina di Sarawak.

“Kegagalan dengan undi sebanyak itu juga memperlihatkan seperti tiada sokongan untuk SUPP dan mereka perlu melihat keadaan ini sama ada masih mahu bersama komponen BN atau tidak,” katanya kepada media selepas merasmikan Rumah Warisan Gopeng, di sini, semalam. -BH


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kerja lebih kuat insyaallah berjaya tumbangkan BN PRU13