24 Apr 2011

Jangan Perjudikan Keselamatan Rakyat Dengan Loji Lynas

SAM gesa Putrajaya batal terus loji Lynas

Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa Putrajaya agar membatalkan terus projek loji nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan bagi mengelak nasib Bukit Merah, Ipoh dua dekad lalu berulang.

“Putrajaya sudah terbukti salah di Bukit Merah dan ia telah memberikan kesan besar kepada masyarakat di kawasan itu selain turut menghidapi penyakit ekoran terdedah kepada radiasi.

“Kami tidak mahu satu lagi insiden sama berlaku. Kami menggesa Putrajaya membatalkan projek Lynas Corporation di Gebeng,” kata Presiden SAM, S. M. Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, masyarakat yang tinggal di Gebeng akan menerima kesan yang sama seperti di Bukit Merah ekoran terdedah kepada kadar radiasi yang boleh menjejaskan tahap keselamatan mereka.

“Mengikut pengalaman kami yang telah mengendalikan kes nadir bumi di Bukit Merah menunjukkan pakar-pakar yang diambil Putrajaya dan syarikat itu telah memastikan semua aspek keselamatan diambil kira.

“Bagaimanapun pakar-pakar yang dilantik masyarakat mendapati ia tidak selamat dan merekodkan bacaan sinaran radioaktif yang tinggi di kawasan itu.

“Justeru masyarakat di Gebeng yang sudah terdedah kepada radiasi akan berhadapan dengan risiko lebih besar sekiranya projek ini diteruskan,” katanya.

Lynas Corporation, sebuah syarikat dari Australia dijangka memulakan operasi loji pembersihan nadir bumi di Gebeng ini - yang mana proses pembinaan loji memprosesan sedang dibina.

Tindakan Putrajaya mahu membina kilang nadir bumi di Gebeng mendapat tentangan banyak pihak.

Mengulas cadangan Putrajaya mahu mewujudkan satu panel bebas mengkaji tahap keselamatan projek nadir bumi (gambar) itu, Mohamed berkata ia hanya untuk mententeramkan kebimbangan masyarakat yang tinggal di kawasan itu.

Tambah Mohamed, hasil kajian itu perlu diumumkan secara terbuka kepada masyarakat setempat agar mereka boleh membuat penilaian berhubung status projek nadir bumi itu.

“Kami rasa kajian ini adalah satu lakonan untuk mengurangkan desakan rakyat. Kenapa tidak hentikan sahaja projek ini?

“Kenapa perlu adakan projek yang tidak selamat ini? Adakah pelaburan asing tidak mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan penerimaan mereka?” kata beliau sambil menambah, “sudah tentu, aspek kesihatan dan keselamatan dan persekiran harus diambil kira termasuk dalam projek komersial.”

Kata beliau, masyarakat sekitar Kuantan dan Gebeng mempunyai hak untuk mengetahui individu yang akan membuat kajian tersebut.

“Kami mahu menentukan objektif kajian itu dan apa impaknya dan hasil kajian juga harus diumumkan secara terus kepada masyarakat agar mereka boleh buat penilaian,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

“Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai,” katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom. -TMI

2 ulasan:

Ismi Azraf berkata...

Di Autralia pun projek tersebut tidak diluluskan atas faktor menjaga keselamatan penduduk tapi syarikat tersebut bawa ke Malaysia. Dah lulus ke projek ni kat Malaysia?

Kenapa perempuan suka tayang body pada lelaki

 Tutorial blog

Sebab Mata Lelaki Gemar Lihat Badan Wanita

.

Tanpa Nama berkata...

Projek Lynas dengan loji tenaga nuklear ada kaitan? Cuma lokasi loji tenaga nuklear belum diketahui. Menurut Prof Dr Ismail Bahri dari UKM, loji tenaga nuklear akan menerima bekalan bahan nuklear dari pembekal. Sisa nuklear akan dipulangkan kepada pembekal, menurut beliau lagi.

Isu utama di sini ialah adakah loji tenaga nuklear itu akan dibina tidak jauh dari kilang Lynas untuk mengurangkan kos logistik dan sekuriti? Jika ya, salah satu kemungkinan logi nuklear dibina adalah di Dungun, Kijal, Kemaman, Tanjung Agas, Nenasi, Rompin atau di Gebeng sendiri. Selain itu, logi nuklear mesti berhampiran dengan gris nasional untuk menjimatkan kos pengagihan kuasa.

Isu kedua adalah loji tenaga nuklear akan menerima bekalan bahan nuklear dari pembekal dan sisa nuklear akan dipulangkan kepada pembekal seperti yang dikatakan oleh Profesor Dr Ismail Bahri. Ini bermakna kilang Lynas bukan sahaja akan menyimpan bahan radioaktif yang dihasilkan olehnya sendiri, tetapi juga bahan sampingan dari proses-proses di kilang Lynas serta sisa nuklear dari loji tenaga nuklear yang bakal beroperasi.

Satu perkara yang menarik ialah kilang Lynas dikatakan mempunyai kebenaran untuk menyimpan bahan radioaktif untuk selama-lamanya (selagi ada bulan dan matahari?)

Justeru, masyarakat Malaysia, dan khususnya penduduk Pantai Timur berdepan dengan sekurang-kurangnya 5 bahaya dan bukannya hanya 1 bahaya seperti yang dijangkakan.

Bahaya-bahaya itu ialah

1. hasilan radioaktif dari kilang Lynas
2. hasil sampingan dari proses-proses di kilang Lynas
3. sisa nuklear dari loji tenaga nuklear yang bakal beroperasi
4. operasi kilang Lynas
5. operasi logi tenaga nuklear

Inilah pakej yang akan dinikmati oleh masyarakat Malaysia, dan khususnya penduduk Pantai Timur.