15 Apr 2011

Isu Al-Kitab: Najib Masih Gagal , Biskop Tolak "Satu Negara Dua Polisi"

Alkitab: Ketua Biskop tolak lagi 'satu negara dua polisi'

"Saya tak mahu kedengaran kasar, terutamanya selepas semacam pertemuan baik antara Perdana Menteri dan pemimpin Persatuan Gereja Sarawak," katanya.

Biskop Katolik, Dr Paul Tan Chee Ing (gambar) mengulangi pendirian beliau bahawa dasar 'satu negara dua polisi' Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan undang-undang berbeza antara Borneo dan Semenanjung Malaysia mengenai Alkitab sebagai 'tidak dapat diterima sama sekali.'

"Saya tak mahu kedengaran kasar, terutamanya selepas apa yang dilihat semacam pertemuan baik antara Perdana Menteri dan pemimpin Persatuan Gereja Sarawak (ACS) di Kuching semalam," kata Ketua Peruskupan Melaka-Johor kepada Malaysiakini.

"Tapi jika pertemuan itu tidak menjurus kepada penarikan pendirian 'satu negara dua polisi' Kerajaan Persekutuan terhadap penyebaran Alkitab ini, jadi kita masih berada di titik mula isu ini, kata beliau yang juga Presiden Persidangan Biskop Katolik Malaysia.

2 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mencadangkan isu Alkitab diselesaikan dengan berbeza antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Menurut Idris, Alkitab bahasa Malaysia/Indonesia di Sabah dan Sarawak tidak memerlukan cop 'Untuk Penerbitan Kristian' atas alasan bilangan penganut Kristian ramai di kedua-dua negeri itu berbeza dengan semenanjung.

Tan menyatakan beliau mengalu-alukan jaminan kerajaan untuk membincangkan perkara itu dengan komuniti Kristian yang sebelum ini kecewa tiada jalan penyelesaian diberi bagi mengatasi masalah ini sepenuhnya.

"Tetapi, sebenarnya, sebelum ini keterbukaan (kerajaan) untuk berdialog dan berbincang tiada masalah; ia hanya bila nak melaksakanakan apa yang dijanjikan, untuk memberi kesan terhadap jaminan kebebasan agama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, itu yang menjadi masalah," katanya.

Kalimah Allah

"Bila Mahkamah Tinggi menetapkan Kristian mempunyai hak menggunakan kalimah Allah dan penggunaannya tidak membawa masalah keselamatan negara, rayuan Kementerian Dalam Negeri untuk menentang keputusan tersebut menghantar isyarat bertentangan kepada komuniti Kristian," tkatanya.

Menurut Tan lagi mana-mana tafsiran bahawa 'formula 10 perkara' yand dicanangkan Idris, dan diikuti perbincangan pemimpin gereja dan Najib semalam memberi penyelesaian terhadap isu ini hanyalah 'kejayaan politik.'

"Pemimpin Kristian mahukan penyelesaian sepenuhnya isu ini, bukan sesuatu yang sesuai mengikut keadaan sekarang. Satu-satunya penyelesaian berterusan dalam hal ini ialah tidak membezakan Kristian di kedua-dua bahagian di Malaysia. (Penyelesaian) lain tidak dapat diterima sama sekali," ulang Paul. -mk


Najib janji isu KDN tahan Alkitab tidak akan berulang

KUCHING, 13 April – Dalam usaha meredakan isu Alkitab, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan, yang dilihat sebagai sesuatu yang agak luar biasa, dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak sambil memberi jaminan peribadi bahawa pentadbirannya tidak akan menahan kitab Injil versi Bahasa Malaysia itu.

Pertemuan ini diadakan 10 hari selepas Putrajaya mengumumkan penyelesaian 10 formula dan tinggal tiga hari sebelum hari penentuan pilihan raya negeri Sarawak.

Perdana Menteri mengadakan pertemuan lebih sejam bersama Persatuan Gereja Sarawak di Hotel Hilton di sini petang ini, dengan memfokus pada isu Alkitab yang berpanjangan, yang dikhuatiri boleh menghakis sokongan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri kali ini.

Pengundian pilihan raya negeri ke-10 berlangsung Sabtu ini.

Menurut setiausaha agung persatuan itu, Head Elder Ambrose Linang, ini kali pertama seorang perdana menteri secara peribadi mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak, negeri yang mempunyai ramai masyarakat Kristian.

Bagaimanapun menurut beliau, perdana menteri telah mengelak isu politik ketika pertemuan hari ini, sebaliknya menjuruskan perbincangan berkaitan dengan pertikaian Alkitab yang menjadi perhatian komuniti Kristian.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala memberitahu, pertemuan hari ini menunjukkan keikhlasan Najib dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh komuniti Kristian.

Jala, seorang Kristian, bertindak sebagai perantara antara komuniti Kristian dan kerajaan dalam kemelut berkaitan Alkitab ini.

“Najib telah menyatakan dengan jelas komitmen beliau berhubung isu menahan Alkitab, ia tidak harus berulang lagi. Saya merasakan beliau telah menegaskan (perkara itu).

“Beliau juga bercakap mengenai keperluan penyatuan nasional. Jika ada sebarang rasa singgung yang wujud di kalangan kita sebagai masyarakat yang kelainan kaum dan agama, adalah penting kita mencari jalan untuk bersatu semula,” kata Jala kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Najib tidak bercakap kepada pemberita kerana bergegas ke satu majlis yang lain.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan pertemuan dengan pemimpin persatuan itu semalam. -TMI



Tiada ulasan: