30 Apr 2011

Guru Yoga Didakwa Larikan, Kurung Dua Saksi Kes Rogol


Kuala Lumpur: Seorang guru yoga Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini terhadap pertuduhan melarikan dan mengurung dua pelajar yang merupakan saksi kes rogol yang dihadapinya.

Abdul Malik Abdullah (gambar), 55, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah No G-1-5, Jalan Desa, Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves dekat sini pada 3.45 pagi, antara 7 dan 12 April lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melarikan kedua-dua mangsa dan cuba mempengaruhi mereka dengan niat untuk menghalang perjalanan keadilan kes rogol yang dihadapinya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta kerana Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan 27 Mei ini untuk menyebut semula kes itu.

Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan Abdul Malik diikat jamin selepas membenarkan permohonan pegawai pendakwa ASP A Vasu yang memberi alasan perbuatan tertuduh mengganggu saksi merupakan kesalahan serius.

Sebelum ini, Abdul Malik didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 dan 17 tahun pada bulan Februari dan November tahun lepas, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA



Pergi Yoga Jadi Hamba Seks

HULU SELANGOR: Tiga remaja perempuan dikurung dan dijadikan hamba seks selama sebulan oleh seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru, di sini, sebelum diselamatkan polis, Rabu lalu.

Ketika serbuan di rumah guru yoga berusia 54 tahun terbabit, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua peket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy, berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan oleh keluarga mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru terbabit pada hujung November lalu. “Seorang daripada ibu mangsa membuat laporan anaknya yang berusia 16 tahun keluar bersama suspek dan selepas itu tidak pulang ke rumah. Ibu mangsa memberitahu dia menghubungi suspek, tetapi suspek enggan memberitahu di mana anaknya berada,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Norel Azmi berkata, selepas menerima laporan ibu mangsa yang juga seorang penoreh getah berusia 38 tahun pada 30 November lalu, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dia kini direman empat hari sehingga 3 Januari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan mendakwa dirogol rakan teman lelakinya di Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, di sini, pada 22 hingga 27 Disember lalu.

Sumber polis berkata, sepasukan anggota forensik pergi ke lokasi kejadian semalam bagi mencari bahan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol. “Namun, polis menyiasat kemungkinan kejadian berlaku kerelaan wanita itu,” katanya. -hm 30/12/2010


Tiada ulasan: