27 Mac 2011

Malaysia Tidak Kalis Bencana Gempa & Tsunami

Kuala Lumpur - Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia, kosmo melaporkan.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.

Sementara itu sebelum daripada ini, Pengarah Institut Pembangunan dan Alam Sekitar (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ibrahim Komoo di dalam satu rencananya pernah menyatakan:

"Apabila berlaku bencana kecil seperti tanah runtuh, selalu dianggap ia kejadian sekali sahaja atau kes terpencil."

Bagaimanapun, rakyat Malaysia sepatutnya mengubah paradigma tersebut memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan, beberapa kejadian tanah runtuh yang besar berlaku dan terbaru dilanda ombak besar tsunami.

Oleh itu, Malaysia bukan kawasan yang bebas bencana, kata Ibrahim.

Pakar kejuruteraan geologi atau kaji bumi itu berkata, walaupun Malaysia bukan dalam lingkungan kawasan berlakunya bencana, tetapi terdedah kepada bencana disebabkan kita terletak dalam kawasan laut terbuka.

Justeru bencana seperti ombak besar dan angin taufan dari kawasan luar boleh melanda negara bila-bila masa seperti yang dibuktikan oleh fenomena tsunami.

Malah katanya, kira-kira 25,000 tahun dahulu, sebuah gunung di Tawau, Sabah pernah meletup.

"Sehubungan itu, kemungkinan dia berlaku (meletup) akan datang, adalah tidak mustahil," katanya.

Perubahan paradigma kata beliau penting sebagai langkah berjaga-jaga dan sikap kewaspadaan yang tinggi terhadap apa juga yang berlaku di luar Malaysia kerana ia boleh membawa kesan kepada negara.

Tsunami merupakan bahasa Jepun bermaksud ombak pelabuhan dan ia digunakan sebagai istilah khusus untuk menggambarkan ombak besar.

Ia disebut tsunami kerana dibincangkan secara saintifik di Jepun, negara yang juga dilanda ombak tersebut.

Ombak ini menurut Ibrahim sangat besar dan boleh berkelajuan mencapai 800 kilometer (km) sejam.

Menurut Ibrahim, berdasarkan rekod yang berlaku di Indonesia, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter.

Ombak tsunami yang melanda negara baru-baru ini berpusat di Lautan Hindi iaitu kepingan lautan (Hindi) menjunam masuk ke kepingan Sunda (Sumatera).

Oleh kerana dihalang oleh Pulau Sumatera, Malaysia bernasib baik kerana kekuatan ombak diminimumkan oleh halangan pulau tersebut.

Dalam pada itu beliau memberitahu, fenomena kepingan lautan tersebut antara punca peta dunia berubah.

Proses tersebut yang berlaku melibatkan hanya pergerakan kira-kira lapan milimeter setahun bagaimanapun mengubah kedudukan atau menenggelamkan pulau-pulau.

Pergerakan ini berlaku kerana sifat semula jadi Bumi yang dinamik.

Satu ketika, benua kecil India terasing dengan selatan Asia tetapi apabila berlaku pergerakan kepingan bumi secara berterusan, India bercantum dengan Asia

Pergerakan berterusan ini menjadi punca pembentukan Banjaran Himalaya dan gempa bumi.

Berdasarkan rekod, kira-kira 280 juta tahun dahulu, benua Afrika dan benua Amerika Selatan mungkin bercantum, manakala Pulau Langkawi terletak berhampiran dengan Australia.

Sementara itu, berdasarkan rekod gempa bumi yang besar, China antara yang terawal menerima kesannya yang membunuh kira-kira 6,000 orang.

Tragedi ini berlaku 70 tahun Sebelum Masihi.

Selepas itu, lebih 40 gempa bumi besar dicatatkan di seluruh dunia tetapi magnitudnya yang paling besar ialah di Chile (1960) dan Alaska (1964) iaitu masing-masing berukuran 8.5 dan 8.6 skala Richter.

Bermakna, magnitud gempa bumi yang menimbulkan tsunami baru-baru ini adalah yang terbesar dalam sejarah yang direkodkan manusia kerana ia mencapai 9 pada skala Richter.

Dua gempa bumi besar yang menyebabkan tsunami ialah pada 1896 di Jepun yang mengorbankan 22,000 orang dan di Alaska tetapi hanya mengorbankan 131 orang.

Pada 1883 pula, ombak tsunami yang berpunca daripada letupan gunung berapi Krakatoa di Indonesia antara yang terbesar dan membunuh ramai mangsa di Jawa.

Prof. Madya Mohd. Ali pula menyatakan, struktur bumi di sekitar Lautan Hindi tidak aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya sebarang gempa bumi yang besar terutama di bawah aras laut.

"Itulah antara sebab utama amaran awal tidak dapat dikeluarkan kerana tiada siapa menduga kejadian sebegitu buruk akan berlaku,'' katanya.

Sebelum ini bencana yang sebegini besar memang tidak pernah berlaku atau direkodkan dalam sejarah.

"Walaupun demikian rekod menunjukkan terdapat lebih kurang 30,000 gegaran berlaku di sekitar Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sekitar 1961 hingga 1967,'' katanya lagi.

Gegaran berkenaan menurut Mohamad Ali adalah kecil dan tidak dapat dirasai serta tidak memberikan sebarang kesan kepada struktur bangunan.

Bagaimanapun gempa yang berasal daripada dasar lautan amat jarang berlaku dan jika berlaku, ia akan memberikan impak yang besar.

Gempa bumi yang berlaku bawah permukaan laut pernah direkodkan bermula 0 kilometer sehingga 700 km bawah laut.

"Semakin dalam gempa yang berlaku, semakin kuat kesannya dan gempa yang berlaku baru-baru ini hanya 40 km di bawah paras bumi,'' katanya.

Menurut Mohamad Ali, gempa bumi yang berlaku di dasar laut akan mengakibatkan gelombang ombak besar dan menyebabkan pelbagai kerosakan besar di kawasan tepi pantai.

"Biasanya pertembungan antara benua lautan dan daratan (dua jisim berlainan) akan menghasilkan kekuatan yang amat luar biasa.

"Pertembungan berkenaan akan menghasilkan gegaran kuat di lautan yang kemudiannya dijelmakan dalam pepejal.

"Kemudian tenaga disebarkan kepada jisim air yang membentuk serakan dan apabila sampai ke pantai menghasilkan gelombang besar dan dengan cepat menghempas pantai dan memusnahkan apa saja yang ada di depannya," katanya.

Biasanya sesuatu perkara yang jarang berlaku akan menghasilkan magnitud lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku di daratan yang lebih kerap tetapi magnitud rendah kerana tenaga kurang.

Makin jauh pusat gempa di bawah paras laut semakin kuat gelombang yang dihasilkan di permukaan.

Menurut Mohamad Ali, gegaran berkenaan dapat dirasai hingga ke India, Sri Lanka dan sebahagian benua Afrika mungkin kerana dipengaruhi oleh arah dan kelajuan tiupan angin.

Biasanya terdapat beberapa siri gegaran selepas gempa bumi dan akan stabil dalam masa satu atau dua minggu.

Ada kalanya beberapa tempat mungkin mengalami gegaran kuat di daratan dan menghasilkan kemusnahan besar seperti di California, Amerika Syarikat.

Ini berlaku apabila ada zon sesar di mana lapisan bumi akan bergesel antara satu sama lain dan ada rekahan.

Tetapi mengapakah gegaran tidak dapat diramalkan lebih awal?.

Mohamad Ali berkata, ketiadaan sistem amaran pemantauan seismik di sekitar Lautan Hindi berbanding Lautan Pasifik seperti sekitar Jepun menyebabkan amaran awal tidak dapat dikeluarkan.

"Mungkin kerana fenomena berkenaan tidak pernah berlaku di sekitar Lautan Hindi.

"Bagaimanapun kita harus mengambil iktibar mengenai apa yang telah berlaku walaupun negara terletak jauh dari Lingkaran Api Pasifik,'' katanya.

Mohamad Ali menambah, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil kerana apa yang berlaku menunjukkan negara telah mula mendapat kejadian alam luar biasa yang lebih kerap berbanding tahun 60-an.

Mohamad Ali berkata sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan geohazard centre (pusat pemantauan malapetaka alam).


Tiada ulasan: