12 Mac 2011

Kereta Terbabas Rempuh Gerai - Peniaga Burger Sekeluarga Terselamat

Besut - Seorang peniaga burger bersama isteri dan anaknya berusia enam tahun nyaris maut apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki terbabas dan hampir merempuh gerai tempat mereka berniaga di bahu jalan Jertih – Pasir Putih dekat Kampung Padang Luas di sini, semalam.

Turut nyaris menjadi mangsa adalah tiga pelanggannya yang berada di hadapan gerai ketika kejadian berlaku.

Peniaga terbabit, Che Mohd Safuan Che Kamaruzaman, 27, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang membabitkan kereta dipandu seorang lelaki lewat 30-an dari arah Jertih ke Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, ketika itu, isterinya, Zaleha Mohamad, 27, sedang membantu dia di sebelah kirinya manakala anaknya Che Ahmad Danial, 6, berada di tengah antara dua buah gerai burgernya dan gerai goreng pisang yang terletak bersebelahan, sementara seorang pelanggan bersama dua anaknya berdiri di depan gerai.

“Ketika saya menggoreng burger, saya lihat sebuah kereta Proton Iswara Aeroback meluru terus ke arah gerai saya kemudian terbabas hanya kira-kira semeter di belakang gerai.

“Kereta itu melanggar tong gas dan kuali berisi minyak goreng pisang menyebabkan minyak itu tumpah mengenai tangan dan badan anak serta isteri saya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, isteri dan anaknya tidak melecur memandangkan minyak masak itu sudah suam kerana api dapur telah dikecilkan disebabkan ibunya yang berniaga pisang goreng baru sahaja menutup kedai.

Mereka juga bernasib baik kerana ketika kereta itu terbabas, mereka berada rapat dengan gerai itu sementara kereta pula terbabas dua meter di belakang gerai sebelum tersadung ke dalam longkang.

“Selepas kejadian saya terus menarik anak ke tepi dan bersyukur Tuhan masih melindungi nyawa kami tiga beranak.


“Kami betul-betul bernasib baik dalam kejadian itu. Pertamanya sebab kereta tersasar sedikit daripada merempuh terus gerai kami, dan kedua tong gas tidak meletup walaupun telah dilanggar kereta terbabit.

“Ketiganya, minyak masak dalam kuali tidak begitu panas dan kami berada dekat dengan gerai,” katanya yang berniaga tidak jauh dari Masjid Padang Luas.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, seorang guru dikatakan mahu berhenti berhampiran gerai mangsa untuk membeli burger, namun difahamkan kenderaan dipandunya gagal dikawal menyebabkannya terbabas. -SH

Tiada ulasan: