12 Mac 2011

'Menang Atau Mati' - Kata Penentang Ghaddafi

AL BAYDA: ‘Menang atau mati’, itulah slogan pemimpin pergerakan penentang pemerintahan Muammar Gaddafi di Libya semalam.

“Kami adalah bangsa yang melawan, kami tidak akan mengaku kalah. Kami akan teruskan hingga semua kawasan di negara ini merdeka,” kata bekas Menteri Kehakiman, Mustafa Abdel.

Mustafa juga berkata: “Libya sudah bebas tetapi Gaddafi mesti letak jawatan,” katanya yang disambut tepukan gemuruh.

Mereka juga menjerit akan terus ke Tripoli untuk menjatuhkan pemerintah. “Mungkin ada anggota bekas rejim di sini. Musuh masih boleh meletakkan pengintip di kalangan anda. Jangan hirau mereka hingga memusnahkan revolusi kita.

Rejim lama sudah tiada lagi. Berhenti musnahkan bangunan yang kini milik kita,” kata Abdel Jalil.

Mustafa membuat ucapan ringkas itu di tengah bandar Al Bayda yang dikuasai penentang, berhampiran sebuah pejabat keselamatan yang sudah hangus.

Tentera menyokong Gaddafi mengebom kubu penentang di beberapa kawasan timur negara itu sejak Rabu lalu, terbaru di Ajdabiya.

Di TRIPOLI, pihak berkuasa Libya menuduh al-Qaeda kelmarin cuba menyeludup 37 juta pil penahan sakit ke dalam negara itu untuk mengubah minda golongan muda supaya menyertai pemberontakan menentang Gaddafi.

Mahmoud Ali, yang berkata beliau adalah ketua jabatan anti-dadah Libya, berkata pihak berkuasa memintas penghantaran Tramadol dari Dubai dan dibeli oleh sekumpulan pengedar dadah Libya yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Pihak berkuasa Libya menunjukkan wartawan kotak dadah yang dirampas termasuk satu dengan imej ular Raja Tedung.

“Sasarannya ialah pengagihan dadah di kalangan golongan muda menerusi penyeludup dadah,” kata Abdel Haqim Giniwa, seorang lagi pegawai anti-dadah, kepada sidang media.

“Terima kasih kepada kerja keras pasukan keselamatan, kuantiti dadah ini dipintas. Ia mungkin menyebabkan gangguan sosial dan ekonomi.”

Katanya, dadah itu disembunyikan dalam kontena yang dikenal pasti untuk perabot, peralatan sukan dan jubin.

Gaddafi mendakwa, penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya dirasuk oleh al-Qaeda manakala susu dalam minuman Nescafe mereka diletakkan dadah mengkhayalkan.

Di VIENNA, Austria melebarkan senarai pembekuan aset semalam untuk memasukkan pegawai atasan di Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang mungkin kerana kemungkinan ada kaitan dengan lingkungan dalaman Gaddafi.

Tindakan ke atas timbalan ketua LIA, Mustafa Zarti, yang memiliki pasport Austria mengikuti sekatan antarabangsa ke atas keluarga dan sekutu Gaddafi.

Satu perintah bank pusat diterbitkan dalam warta rasmi menggambarkan Zarti sebagai pembantu rapat rejim di Libya.

Dia juga eksekutif atasan dalam National Oil Corp Libya, ketua kumpulan minyak dan stesen minyak Tamoil, dan timbalan pengerusi First Energy Bank di Bahrain.

Zarti, 40, dipanggil untuk disoal oleh pihak berkuasa Vienna kelmarin dan kemudian dibebaskan, penyiar ORF melaporkan, memetik Menteri Dalam Negeri, Maria Fekter sebagai berkata.

Austria sudah mengambil langkah membekukan aset dikaitkan dengan kepemimpinan Libya itu, namun Zarti bukan berada dalam senarai asal Bank Nasional Austria didedahkan selepas sekatan diguna pakai Kesatuan Eropah (EU) minggu ini. – Agensi

Tiada ulasan: