31 Mac 2011

Banjir Di Perlis Semakin Buruk, 2,536 Dipindahkan

Kangar: Banjir di Perlis semakin buruk semalam apabila 2,356 mangsa daripada 593 keluarga dari seluruh negeri itu dipindahkan ke 25 pusat pemindahan.

Jumlah itu meningkat dalam tempoh 24 jam dan dikhuatiri bertambah jika hujan di kawasan utara Semenanjung berterusan. Sebahagian besar mangsa dipindahkan adalah dari daerah ini.

Seramai 1,852 mangsa daripada 452 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan di sekitar Kangar, manakala 490 mangsa daripada 130 keluarga lagi di Padang Besar dan bakinya di Arau membabitkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) turut mengesahkan 26 sekolah di seluruh negeri, 14 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah, ditangguhkan operasi termasuk enam daripadanya dilapor dilanda banjir teruk apabila paras air naik sedalam lebih satu meter.

Enam sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Sekolah Menengah (SM) Syed Hassan, SK Bukit Keteri, SK Bintong, SK Abi dan SMK Datuk Sheikh Ahmad.

Sementara itu, tinjauan di Empangan Timah Tasoh, semalam mendapati semua enam pintu air masih dibuka untuk mengalirkan air keluar ke sungai utama selepas paras takungan kini dilapor mencecah 29.9 meter, menghampiri paras bahaya 30 meter.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid, berkata pihaknya percaya banjir yang melanda Perlis kali ini hanya banjir kilat dan bukan seperti yang berlaku pada November lalu.

1 ulasan:

Suahati berkata...

Eloklah percepat pembangunan bandar baru.......kalau tak tentu pelabur dan peniaga takut nak melabur di Perlis.......Rasa2nya pemilihan taapak UNIMAP dikawasan Ulu Pauh dan Cuping tu amat bersesuaaian sekali untuk mempercepatkan pembangunan Bandar@Pekan Baru bg menggantikan Bandar Kangar........