27 Feb 2011

[Bergambar] Kilang Buat Sarung Tangan Getah Terbakar, Tiga Pekerja Melecur

Klang: Sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Batu Belah, Meru di sini hangus dalam kebakaran pagi Sabtu, dan menyebabkan tiga pekerjanya yang tinggal di asrama dalam kawasan kilang melecur.

Gambar: Anggota Bomba sambil dibantu pekerja kilang cuba untuk memadam api yang semakin marak di sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Batu Belah, Meru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohamad Shukor Sulong berkata lima jentera bomba iaitu masing-masing dari Balai Bomba Klang Utara, Klang Selatan, Andalas, Pelabuhan Klang dan Shah Alam berada di lokasi bagi memadamkan kebakaran itu yang berlaku kira-kira 7 pagi tadi.

Beliau berkata setakat 4 petang tadi, pihak bomba dan penyelamat masih berusaha memadamkan kebakaran itu.

"Kita masih belum dapat kenal pasti punca kejadian kerana ketika ini usaha memadamkan kebakaran masih giat dijalankan.

"Setakat ini, kita dimaklumkan tiga mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan ke kilang berusia 10 tahun itu mendapati kepulan asap hitam tebal dapat dilihat kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang anggota bomba bertugas berkata api masih marak dan mengambil masa lama untuk dipadamkan.

Beberapa kenderaan penyiasat kebakaran juga dilihat memasuki kawasan kejadian tengah hari tadi.

Sementara itu, seorang pekerja kilang itu Salman, 38, dari Bangladesh berkata beliau dan beberapa rakannya sedang bersiap untuk mula bertugas sebelum terdengar satu bunyi letupan.

Menurutnya apabila melihat api mula marak, beliau dan rakan-rakannya menyelamatkan diri di kawasan lapang perumahan di bahagian belakang kilang itu.

Rakannya, Vivek, 35, dari Vietnam berkata beliau terkejut apabila dikejutkan rakan serumahnya berikutan kebakaran itu.-BERNAMA







Tiada ulasan: