16 Feb 2011

Amerika, Britain & Israel Ambil Kesempatan Hasut Rakyat Iran

Ketua pembangkang disyaki dalang rusuhan

TEHERAN: Anggota Parlimen Iran semalam mendesak pemimpin pembangkang dihukum gantung sehingga mati selepas didakwa menyokong keganasan dan tunjuk perasaan antikerajaan sehingga menyebabkan seorang terbunuh.

Kumpulan anggota Parlimen berkenaan menamakan Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi sebagai pemimpin pembangkang yang menggesa tunjuk perasaan di Teheran bagi menyokong kebangkitan di wilayah Arab yang kemudian bertukar kepada tunjuk perasaan antikerajaan dan pertempuran dengan polis.

Bekas presiden Mohammad Khatami, turut dikecam berikutan ucapan terbukanya yang menyokong gerakan pembangkang yang membantah keputusan pilihan raya presiden pada Jun 2009.

“Mousavi dan Karroubi perlu digantung! Maut untuk Mousavi, Karroubi dan Khatami!” laung Ahli Parlimen kerajaan pada sidang yang berlangsung semalam, yang dipetik agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Ahli Parlimen berkenaan berkata, Amerika, Britain dan Israel mendalangi tunjuk perasaan kelmarin dengan memperalatkan pemimpin pembangkang yang menurut Speaker Parlimen, Ali Larijani ‘disesatkan’ oleh musuh negara itu.

“Parlimen mengecam Zionis, Amerika, tindakan antinegara dan antipembaharuan yang didalangi kumpulan penghasut. Bagaimana orang seperti Mousavi dan Karroubi, boleh terjerumus ke dalam perangkap Amerika?


“Bukankah mereka sepatutnya lebih berhati-hati ketika memberi sokongan kepada Amerika dan Israel, monarki dan Monafeghin?” kata Larijani merujuk kepada kumpulan Mujahedden Rakyat Iran (PMOI) yang dianggap sebagai kumpulan pengganas.

Beliau juga menggesa sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu dan ‘bersemuka’ dengan pergerakan pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Iran, Ahmad Reza Radan, berkata Amerika, Britain dan Israel terbabit mengarahkan ‘perhimpunan haram’ kelmarin.

Walaupun Iran mengharamkan perhimpunan itu dan keadaan dikawal ketat pasukan keselamatan, manakala Mousavi dan Karroubi dikenakan tahanan dalam rumah, penyokong pembangkang tetap berhimpun di jalan raya di Teheran kelmarin.

Sebuah laman web melaporkan, tunjuk perasaan itu kemudian bertukar ganas, menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

Radan semalam mengesahkan laporan awal yang menyatakan seorang penunjuk perasaan terbunuh, manakala sembilan anggota keselamatan dan sekumpulan orang awam cedera dalam tunjuk perasaan berkenaan. – AFP

Tiada ulasan: