12 Dis 2010

Kontroversi Kahwin Muda: "Saya Izinkan Mereka Berkahwin" - Kata Ibu Pengantin



Saya yang izinkan mereka berkahwin”

PETALING JAYA: “Saya yang izinkan mereka berkahwin...” - itulah kata-kata pertama yang keluar dari mulut Siti Hawa Kassim, ibu kepada pengantin perempuan yang mencetuskan kontroversi kerana berkahwin pada usia 14 tahun minggu lalu.

Siti Hawa, 40, menjelaskan, dia dan suaminya memberi keizinan kepada Siti Maryam Mahmod yang lebih mesra dengan panggilan Maya itu untuk berkahwin kerana yakin, pendidikan agama yang telah diberikan dapat membimbing anaknya itu menjadi seorang isteri yang matang untuk menempuhi alam rumahtangga yang serba mencabar.

Keputusan itu juga dibuat setelah suami kepada anaknya itu berjanji dan bersetuju untuk memastikan Siti Maryam menamatkan pengajian menengahnya di sebuah sekolah menengah agama dekat sini.

“Anak saya sudah akil baligh dan diberikan pendidikan agama. Saya percaya suaminya juga boleh membimbingnya ke arah yang lebih baik. Malah keputusan ini juga mengambil kira janji suaminya untuk memastikan dia belajar sehingga tamat pengajiannya,” kata ibu yang bertugas di sebuah syarikat multinasional di ibu kota ini dalam temuramah eksklusif dengan Mingguan mStar semalam.

Siti Hawa yang tidak mahu gambarnya disiarkan demi untuk menjaga privasinya menambah, suami Maya (Abdul Manan Othman) adalah seorang guru dan seorang lelaki yang baik dan yakin Manan boleh melakukannya (membimbing Siti Maryam) memandangkan dia juga diberikan pendidikan agama yang tinggi.

Siti Hawa berkata, sebelum memberi keizinan Abdul Manan dan Siti Maryam atau lebih dikenali sebagai Maya untuk berkahwin, dia sudah membuat solat istikarah bagi memohon petunjuk daripada tuhan.

Detik perkenalan pasangan suami isteri muda itu bermula apabila Abdul Manan yang merupakan guru agama mengajar dua orang adik Maya.

Hubungan baik dan sikap ramah Abdul Manan telah mendorong Siti Hawa untuk mengambil dia sebagai anak angkat dan menjadi sebahagian daripada keluarga itu.

Isu perkahwinan Maya pada usia muda telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan banyak pihak termasuk mendapat reaksi daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sharizat Jalil yang menyatakan keputusan mahkamah untuk membenarkan Maya berkahwin bukanlah merupakan satu polisi yang direstui oleh Kerajaan Pusat.

Pelbagai pertubuhan wanita dan hak asasi wanita turut tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun dalam menjawab semua persoalan itu, Siti Hawa tidak dinafikan pada peringkat awalnya dia berasa terkilan apabila segelintir pihak tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Menurutnya, sebagai rakyat 1Malaysia, masyarakat sepatutnya menghormati antara satu sama lain, tidak kira bangsa atau agama.

“Bagaimanapun akhirnya saya sedar itu adalah hak individu untuk bersuara. Lain orang lain pendapatnya. Apa yang penting adalah tindakan saya mengizinkan Maya berkahwin pada usia muda itu tidak bercanggah daripada hukum syarak dan agama.

Namun sebagai seorang ibu, Siti Hawa yang enggan gambarnya disiarkan berharap agar masyarakat berfikiran terbuka dan rasional mengenai perkara tersebut.

“Masing-masing mempunyai pandangan tetapi janganlah menafikan hak kami sekeluarga dan keputusan Maya dan Manan untuk berkahwin dibuat selepas mendapat restu daripada pihak kami serta kebenaran daripada mahkamah.

Dalam pada itu, Siti Hawa juga menegaskan, dia sentiasa memantau anaknya dan Abdul Manan Othman dari segala aspek meskipun kedua-duanya sudah menjadi suami isteri yang sah.

“Sebagai ibu, saya tidak akan membiarkan anak-anak saya sendirian menghadapi risiko berkahwin pada usia muda ini.

“Sebelum mereka berkahwin lagi sudah diperjelaskan tentang apa itu perkahwinan. Setiap kejadian itu ditentukan oleh Allah, ada hikmah di sebalik sebarang kejadian,” katanya.

Siti Hawa juga berpendapat perkahwinan anaknya pada usia 14 tahun bukanlah satu isu yang besar kerana baginya kematangan bukan lah terletak pada umur seseorang tetapi sebaliknya terletak pada pendekatan dan pendidikan yang diterimanya.

“Konsep perkahwinan awal ini sebenarnya boleh membendung perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Kita semua sedia maklum tentang permasalahan masyarakat yang berlaku di negara ini sedangkan perkahwinan anak saya adalah satu perkahwinan yang sah,” ujarnya lagi.

Menurut Siti Hawa, perkahwinan itu juga tidaklah bermakna perhubungan di antara ibu dan anak terputus kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga masing-masing.

“Walaupun Maya sudah bergelar isteri orang, namun saya masih bertanggungjawab memberikan nasihat dan memastikan anak saya itu meneruskan pembelajarannya di sekolah sehingga tamat,” katanya.

“Saya berharap masyarakat berdoa semoga perkahwinan mereka diberkati dan saya berterima kasih kepada mereka yang telah membantu dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya. -mstar


Perkahwinan kanak-kanak mula diterima masyarakat

PETALING JAYA: Seorang gadis sunti beragama Islam berusia 14 tahun membuat kejutan kerana mengambil bahagian dalam majlisperkahwinan beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Namun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan perkara ini mula dapat diterima oleh masyarakat.

Menurut Ketua Pengarahnya, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, perkahwinan kanak-kanak tidak harus menimbulkan apa-apa masalah jika perkahwinan itu di dasari perasaan cinta di antara kedua-dua pasangan itu.

"Isu penting di sini ialah sama ada perkahwinan ini melanggar undang-undang Islam dan undang-undang konvensional di Malaysia.

"Tapi jika terdapat unsur paksaan dalam perkahwinan itu maka kami akan menjalankan siasatan menurut kes," katanya melalui mesej teks kepada FMT semalam.

Beliau berkata memandangkan buat masa ini masalah di kalangan orang-orang Islam semakin parah maka perkahwinan seperti ini harus digalakkan.

"Kami harus menggalakkan perkahwinan seperti ini dan bukan menakut-nakutkan orang yang beria-ia hendak berkahwin," kata Wan Mohammad.

Kursus pra perkahwinan

Tambahan pula, beliau yakin kursus pra perkahwinan yang diperkenalkan oleh Jakim sejak 1992 membantu ramai pasangan untuk meneruskan kehidupan berumah tangga termasuk budak sekolah yang mengikat tali perkahwinan dengan lelaki dua kali ganda usianya.

"Orang ramai menentang objektif ini pada peringkat awal, tapi sekarang, perkahwinan kanak-kanak sudah mula dapat diterima sebagai langkah wajar," katanya.

Fenomena sebegini bukannya baru di Malaysia, di mana kumpulan hak asasi manusia terus menerus mendesak supaya dibuat pembaharuan.

"Sekatan oleh mahkamah syariah yang diberi kuasa untuk meluluskan perkahwinan di bawah umur, dianggap sebagai "tidak dapat diterima," jelas beliau.

Menurut laporan berita, kanak-kanak sekolah itu Siti Maryam Mahmod berkahwin dengan seorang guru Abdul Manan Othman berusia 23 tahun pada 4 Disember lalu di Masjid Wilayah Persekutuan setelah mendapat kelulusan dari mahkamah syariah.

Naikkan usia minima perkahwinan

Kumpulan aktivis, Sisters-in-Islam (SIS) sebaliknya, mengutuk perkahwinan kanak-kanak, dan mencadangkan supaya kerajaan menetapkan usia minima 18 tahun untuk berkahwin bagi semua rakyat Malaysia.

Jurucakap SIS Yasmin Masidi dalam kenyataannya semalam berkata, akhir baligh tidak boleh dijadikan ukuran kematangan yang cukup untuk memasuki gerbang perkahwinan.

"Walaupun al-Quran tidak menyebut secara khusus umur perkahwinan tetapi mereka boleh diuji mengenai kemampuan berfikir dan berkebolehan menjaga harta seperti firman Allah dalam Surah an-Nisa Ayat 6, yang bermaksud,

"Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya maka serahkanlah kepada mereka hartanya………….."

Beliau berkata usia perkahwinan harus dikaitkan dengan kematangan dan kemampuan menilai dengan baik di mana seorang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tidak mempunyai pengalaman hidup yang secukupnya untuk menanggung tanggungjawab berumah tangga.

"Tidak ada sebab yang kukuh kenapa keluarganya dan bakal suami tidak boleh menunggu sehingga gadis itu mencapai usia matang sebelum meminta izinnya untuk berkahwin," katanya.

Masalah perkahwinan kanak-kanak

Yasmin menambah, Malaysia sebagai model negara Islam, harus mengikut jejak langkah negara-negara majoriti umat Islam lain yang mula mengambil langkah untuk menangani masalah perkahwinan kanak-kanak.

"Seorang lelaki di Indonesia dipenjara kerana melakukan deraan seksual terhadap gadis bawah umur, ketika berkahwin dengan seorang gadis berusia 12 tahun dan malahan pihak berkuasa Arab Saudi sedang menimbang untuk mengharamkan perkahwinan seumpama ini.

"Kita harus mengikut contoh negara-negara Islam yang lain walaupun ditentang oleh golongan konservatif. Kajian terhadap perkahwinan kanak-kanak mendapati kanak-kanak itu, terutama gadis-gadis sunti mengalami derita akibat kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja.

"Ini termasuk penafian kebebasan dan kemajuan diri individu, kesukaran mendapat pendidikan, masalah kesihatan kerana mengandung pada usia muda dan deraan," tambahnya.

Perkahwinan kanak-kanak berusia 14 tahun itu bagaimanapun, hanya merupakan satu masalah terasing kerana banyak lagi kes perkahwinan kanak-kanak yang tidak dilaporkan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie pada Oktober lalu, seramai 16,000 gadis berusia di bawah 15 tahun mendirikan rumah tangga. -FMT

4 ulasan:

CETUSAN SEIKHLAS RASA berkata...

Perkahwinan pada usia muda ni ada kebaikan dan ada keburukannya.... Tapi sebagai seorang ibu, saya kurang bersetuju dengan perkahwinan seawal usia 14 tahun memandangkan usia tersebut masih terlalu awal.... dikhuatiri anak tersebut tidak mampu memikul tanggunjawab sebagai isteri memandangkan dewasa ini, anak-anak seusia itu jauh berbeza dengan anak-anak 20 tahun lalu.... Sekadar pendapat.

che ton berkata...

Kak Fuziani kurang setuju mungkin dengan melihat didikan yang diterima oleh beliau sendiri atau melihat cara beliau mendidik anaknya. Kak Siti Hawa menurut ceritanya la, telah memberikan pendidikan yang cukup dan akan memantau selepas ini, bagus la tu ibu yang macam tu.

Kuda Perang berkata...

Hari ini baru saya perasan, rupanya Siti Maryam ini bekas anak murid saya juga rupanya semasa dia bersekolah rendah dulu...

hannan1308 berkata...

bukanlah masalah jika kawin usia muda ni, yg pentingnye syariat dijaga..orang dulu2 kawin muda xde sape pulak nak pertikai..bukankah ini salah satu cara yang tepat utk membendung masalah sosial..seks bebas, buang anak,zina?