15 Nov 2010

Pahang Sudah Mula Banjir. Sungai Jelai Limpahi Tebing

Sungai Jelai limpahi tebing

LIPIS - Hujan lebat yang melanda bermula 6 petang kelmarin hingga ke jam 6 pagi semalam mengakibatkan beberapa kampung kecil di sekitar Kuala Medang, Kuala Serau, Tanjung Gahai dan Kuala Koyan ditenggelami air.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam di beberapa kampung itu juga mendapati terdapat beberapa jalan darat yang terputus perhubungan dan mengakibatkan penduduk terpaksa menaiki bot untuk pergi ke sesuatu tempat.

Selain itu, terdapat juga beberapa rumah penduduk dan deretan kedai berhampiran dengan Sungai Jelai telah ditenggelami air hingga mengakibatkan mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.


Selamatkan barang penting

Seorang penduduk, Haitun Kamalruzaman,36, berkata hujan lebat hampir 12 jam mengakibatkan kawasan sekitar rumahnya ditenggelami air dan mengakibatkan dua buah kereta milik keluarganya turut hampir tenggelam.

“Ketika saya bangun untuk solat Subuh pagi semalam saya mendapati air sungai sudah naik di sekitar kawasan rumah dan hampir mencecah lantai rumah. Saya bersama ahli keluarga dan penduduk kampung mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi.

“Berbanding dengan keadaan dua tahun lalu, saya kira situasi sekarang masih lagi terkawal dan saya belum bersedia untuk berpindah ke kawasan rumah banjir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Seorang lagi penduduk, Norashikin Mat Adam, 53, berkata, separuh dari rumahnya telah ditenggelami air dan mengakibatkan mereka sekelurga terpaksa berpindah ke rumah rakit yang disediakan di hadapan rumah.

“Air banjir naik dengan begitu pantas dan kami sekeluarga bertindak mengalihkan barang-barang elektrik ke tempat yang lebih tinggi.

“Selain itu, saya bertindak mengalihkan barang-barang runcit dari kedai kami ke rumah rakit yang disediakan tidak jauh dari rumah asal namun masih ada barang makanan yang telah rosak akibat terkena air bah” katanya.

Kawasan kedai ditenggelami air

Seorang peniaga, Rogayah Abdul Rahim, 38, berkata, kejadian banjir berkenaan berlaku terlalu pantas hingga mengakibatkan sebahagian daripada kedainya ditenggelami air hingga paras betis.

“Beberapa malam sebelum kejadian kami sekeluarga tidur di kedai namun pada hari kejadian kami membuat keputusan untuk tidur di rumah emak yang terletak tidak jauh dari kedai.

“Menjelang Subuh saya dan suami telah pergi ke kedai dan terkejut apabila air banjir sudah mulai naik hingga mengakibatkan laluan di sekitar kawasan kedai dan tapak pekan sehari sudah ditenggelami air hingga paras betis,” katanya.

Beberapa jalan ditutup

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang, Hassan Mat Sam berkata, 15 rumah penduduk di kawasan berkenaan telah ditenggelami air dan diletakan di paras berjaga-jaga.

“Terdapat juga beberapa kampung kecil di kawasan ini telah terputus perhubungan melalui jalan darat seperti Kampung Ketuyum, Pulau Badak dan Kermoi.

“Selain daripada kawasan tapak pekan sehari yang ditenggelami air, terdapat juga beberapa kedai berhampiran dengan Sungai Jelai telah ditenggelami ari. Selain itu, jeti Kuala Medang turut terjejas akibat banjir yang melanda kawasan ini,” katanya.

Bagi Pengerusi JKKK Kuala Serau, Idris Kesah berkata, 27 penduduk dari tujuh keluarga di Kampung Kuala Serau telah berhadapan dengan banjir di mana kawasan rumah mereka telah dimasuki air dari Sungai Serau.

“Tujuh keluarga berkenaan telah bersiap sedia untuk berpindah sekiranya hujan melanda kawasan mereka hari ini. Selain itu, kami juga bersiap sedia dari sedia peralatan kemudahan membabitkan bot untuk memindahkan mangsa banjir ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya. -SH

Tiada ulasan: