12 Nov 2010

Kanak-kanak 4 Tahun Nyaris Dilarikan Warga Asing

Didekati lelaki asing

KUALA LUMPUR: “Ketika sedar cucu tiada dalam kereta, saya panik dan berusaha mencarinya di sekitar kawasan flat sehingga petang, namun gagal dan saya juga pengsan akibat terlalu risau berikutan menghidap penyakit asma,” kata Hashim Ali, 56, datuk kanak-kanak yang dilaporkan ditemui ketika bersendirian menaiki bas ke ibu kota, tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, sebelum kejadian, cucunya Mohd Amin Rozi, 4, mengikutnya mencuci kereta di kawasan rumah mereka di flat Sri Sabah, Cheras dan selepas penat bermain, cucunya itu dibiarkan tidur dalam kereta.

“Saya meneruskan mencuci kereta dan sebaik selesai, saya mendapati Amin tiada. Memang saya langsung tidak sedar bila dia keluar dan menyangka dia bermain di kawasan sekitar.

“Puas saya cari, tetapi tidak jumpa dan saya maklumkan kepada isteri mengenai kehilangan cucu saya itu. Dia kemudian menelefon anak perempuan kami iaitu ibu kepada Amin yang ketika kejadian sedang bertugas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Hulu sebagai tukang cuci,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras, ketika mengambil cucunya petang semalam.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana cucunya itu selamat dan berterima kasih kepada semua pihak terutama penumpang bas yang menemui Amin.

Menurutnya, sejak dari bayi lagi, dia dan isteri menjaga Amin apabila anak perempuannya Nor Haslinda, 23, keluar bekerja.

Dia berkata, sebelum ini Amin tidak pernah menghilangkan diri dan kejadian itu benar-benar membuatkan mereka sekeluarga panik.

Nor Haslinda yang turut hadir menjemput anak tunggalnya pula berkata, ketika melihat gambar anak dalam surat khabar pagi semalam, dia menangis kerana terlalu bimbangkan anak dan dalam masa sama bersyukur anaknya selamat.

Dia yang bercerai kira-kira tiga tahun lalu tinggal bersama ibu bapanya dan terpaksa meninggalkan anak ketika keluar bekerja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu. Pihaknya juga sudah meneliti dokumen yang dikemukakan.

“Kami nasihatkan supaya mereka lebih berhati-hati selepas ini supaya tidak lagi terjadi kejadian seperti ini. Nasib baik, individu yang menemui kanak-kanak itu adalah seorang masyarakat prihatin dan melaporkannya kepada polis, jika sebaliknya mungkin perkara lebih buruk boleh berlaku.

“Sijil penghargaan juga kami berikan kepada penyelia hotel, Nur Asyikin Ruji, 40, penumpang bas yang menemui kanak-kanak terbabit kerana memaklumkan kepada polis mengenai penemuan budak itu,” katanya.

Nur Asyikin berkata, dia melihat kanak-kanak itu menaiki bas di kawasan flat Sri Sabah bersama beberapa remaja lain dan sebaik berada dalam bas, dia perhatikan Amin bermain dengan bertukar-tukar tempat duduk.

“Saya lihat tiada orang dewasa yang jaga kanak-kanak itu dan pada masa sama terdapat seorang lelaki warga asing cuba untuk memegangnya.

“Bimbang keselamatan kanak-kanak itu, saya terus memegangnya sebelum menelefon polis dan membuat laporan di pondok polis berhampiran sebaik turun di pusat beli-belah Kotaraya,” katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan seorang kanak-kanak ditemui bersendirian menaiki bas yang menuju ibu kota sebelum seorang penumpang menjaga serta menyerahkannya kepada pihak polis. -hm foto:kosmo

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pemimpin UMNO hidup selamat, rakyat takut jenayah berleluasa

Tanpa Nama berkata...

lagi lama BN perintah jenayah makin meningkat termasuk rasuah