28 Nov 2010

Gang Of Four - Pemimpin Yang Merasa Dirinya Dewa

Petaling Jaya, 28 Nov — Jika sejak dua hari lalu hangat diperkatakan mengenai “Third Force”, hari ini seorang perwakilan PKR mendakwa wujudnya kumpulan baru — dikenali sebagai “Geng Berempat” — yang sekiranya tidak ditangani dengan segera akan merosakkan parti komponen Pakatan Rakyat itu.

“Saya hanya melahirkan kebimbangan sekiranya wujud kumpulan ini dalam parti ia akan membawa kerosakan kepada parti.

“Kita tidak tahu sama ada benar-benar wujud ataupun tidak, tapi kebimbangan itu ada dan ia dibuat berdasarkan perkembangan selepas pemilihan parti.

“Jadi kebimbangan itu ada, kalau benar-benar wujud ia akan merosakkan parti,” kata perwakilan dari Pahang Ahmad Nizam Abdul Hamid ketika membahaskan usul pemberdayaan demokrasi pada Kongres Nasional PKR di sini.

Ketua PKR Temerloh itu berkata demikian dengan merujuk kepada sejarah politik China yang mengatakan gelaran “Geng Berempat” itu ialah panggilan yang diberi kepada sebuah paksi politik haluan kiri yang terdiri daripada empat orang pegawai Parti Komunis China.

Keempat-empat individu itu adalah Jiang Qing, isteri terakhir Mao Zedong yang kelihatan memimpin kumpulan ini, dan sekutu-sekutu terdekat Zhang Chunqiao, Yao Wenyuan, dan Wang Hongwen.

“Geng Berempat” ini berjaya menguasai alat-alat kuasa Parti Komunis China pada tahap-tahap terakhir Revolusi Kebudayaan, tetapi tidak pasti keputusan besar mana yang dilakukan atas arahan Mao Zedong dan dilaksanakan oleh kumpulan ini, dan yang mana adalah hasil rancangan kumpulan itu sendiri.

“Kita hanya melahirkan kebimbangan itu sahaja. Sama ada wujud atau tidak saya tidak tahu tapi ini adalah topik yang hangat diperkatakan sekarang.

“Jadi saya minta supaya pemimpin yang menang harus melakukan tugas sebagai seorang pemimpin,” kata Ahmad Nizam ketika ditemui selepas itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang terlibat.

Mengenai pembersihan dalam PKR, Ahmad Nizam berkata ia adalah keputusan yang dibuat berdasarkan emosi bukan intelektual.

“Keputusan nak buat pembersihan parti bukan intelektual tetapi adalah emosi, ia lebih kepada emosi.

“Pemimpin yang merasa diri menjadi dewa tiada tempat di dalam parti, parti dibina atas konsep merdeka,” katanya. -TMI

1 ulasan:

bunbinban berkata...

aku setuju ngan mamat sorang ni cuma nak kena tambah, iaitu diri dia sendiri. Dia ni pendewa Anwar. Dia ni manusia hipokrit. Manusia yg hanya menumpang program2 anjuran PAS dan AMK. Program dia?. Kalau ada sponsor atau Pusat bagi budget baru dia buat. Kalau tidak jgn harao walau dia duduk di rumah yg besar tersergam indah. Setiap kali habis pilihanraya, tukar kereta baru walaupun time pilihanraya selalu mengadu tidak ada duit. Tapi kalau di pentas ceramah mmg dia hebat dgn ayat bersulam bahasa arab. Namun hakikatnya, dia tak lebeh dari pencacai politik, pendewa Anwar. Harap2 PAS ambil semula kerusi parlimen dari PKR namun PAS perlukan calon yg berwibawa dan yg penting tidak 'UG'. ha ha ha