21 Okt 2010

Rozaliya Ditemui Di Bukit Bintang

Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang dilapor hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan di sini 13 Oktober lepas ditemui di kawasan Bukit Bintang di ibu negara, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jasmani Yusoff berkata Rozaliya dibawa pulang oleh anggota polis yang mendapat maklumat mengenai lokasi gadis itu dan diserahkan kepada keluarganya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, polis mendapati wanita itu ke Kuala Lumpur bersendirian dengan menaiki bas tanpa paksaan daripada pihak lain dan tindakan Rozaliya melarikan diri itu berpunca daripada masalah keluarga.

"Rozaliya juga sempat bekerja selama dua hari di Bukit Bintang dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu. Kes ini dianggap selesai," katanya kepada pemberita di sini Rabu malam.

Rozaliya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November ini dilapor hilang ketika keluar membeli barangan persiapan perkahwinannya di sini, Rabu lepas.

Rozaliya yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman keluar bersama tunangnya Mohd Hilmi Mohd Nor, 24, yang menjemput gadis itu di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi dan dia dilapor hilang selepas menghantar SMS kepada tunangnya di sebuah pasar raya di sini.

Mohd Jasmani berkata bertindak atas laporan polis mengenai kehilangan gadis itu yang dibuat pada pukul 10.41 malam Rabu lepas, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan Rozaliya.

Hasil laporan media dan gambar yang dikeluarkan, polis menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 12 tengah hari tadi yang memaklumkan gadis itu berada di Bukit Bintang, katanya.

Beliau berkata Rozaliya tiba di Kuantan kira-kira pukul 8 malam ini dan disambut oleh saudara mara dan keluarga tunangnya, Mohd Hilmi Mohd Nor.

Ayah Rozaliya, Mat Lazim Mat Ismail, 52, berkata dia amat gembira dan lega dengan kepulangan anaknya itu dan akan mengadakan majlis kesyukuran. - BERNAMA


Lari tak mahu nikah

KUANTAN: “Jika dia (Rozaliya) setuju, perkahwinan mereka akan dibatalkan,” kata Mat Lazim Mat Ismail, 52, bapa kepada Rozaliya, 20, bakal pengantin yang dilaporkan hilang pada 13 Oktober lalu ketika membeli persiapan perkahwinan bersama tunangnya di Pasar Besar Kuantan, di sini.

Menurut Mat Lazim, punca anak perempuannya melarikan diri dipercayai kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, selepas hubungan mereka berdepan masalah kira-kira setahun lalu.

“Anak saya memaklumkan mereka sudah tidak sehaluan dan Mohd Helmi dikatakan mulai berubah sikap.

“Dia memberitahu tunangnya itu bertukar menjadi panas baran, suka mengongkong dan susah diajak ke mana-mana selepas mereka mengikat pertunangan, berbeza ketika mereka masih berkawan dulu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rozaliya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas dikatakan dua hari bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penyelia kedai berkenaan memaklumkan perkara itu kepada polis selepas wajah dan berita kehilangan gadis terbabit terpampang dalam akhbar sebelum dia dibawa anggota polis ke IPD Kuantan malam tadi untuk diserahkan kepada keluarganya.

Ketika sidang media di IPD Kuantan, Rozaliya turut hadir, tetapi enggan memberikan sebarang ulasan, sebaliknya lebih banyak tunduk dan menutup mukanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rozaliya, 20, seorang jurujual di kedai menjual telefon milik bapa saudaranya di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu dilaporkan hilang sejak 13 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, dia dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Bandar Cheneh Baru dengan berpakaian blaus hitam dan seluar denim gelap bersama tunangnya, kira-kira jam 11 pagi untuk membeli persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 12 November depan.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan di sini, tunang wanita itu bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya, kira-kira jam 3 petang hari sama.

Bagaimanapun, Mohd Helmi gagal menemui Rozaliya di tempat dijanjikan dan terus mencarinya hingga jam 6 petang sebelum menghubungi keluarga wanita itu.

Kelmarin, akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata dia mengesyaki ada yang tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Wanita itu mendakwa, Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya.

Semalam, akhbar melaporkan Mohd Helmi tampil di IPD Kuantan untuk menafikan andaian dia terbabit dalam kehilangan tunangnya itu.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berharap kedua-dua pihak mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati kejadian ini bebas unsur jenayah dan lebih kepada masalah peribadi atau keluarga,” katanya sambil memaklumkan polis turut mengambil keterangan Rozaliya selepas ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangannya.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika ditemui selepas sidang media sama berkata, sebelum ini, dia begitu menyayangi Rozaliya, namun selepas kejadian itu, hatinya sudah tawar.

“Saya maafkan perbuatannya dan biarlah takdir menentukan nasib kami,” katanya. -metro






8 ulasan:

Waris berkata...

Kalau mcm ni baik tak payah nikah. Ppuan mcm ni tak brp layak dibuat bini. Belum apa2 dah memberontak. Sebelum beranak pinak lagi baik cari ppuan lain. Bersepah lg ppuan lain yg lebih layak utk dibuat bini.

non penang berkata...

Berpisahlah secara elok. Biar dia rasa hidup ini dulu nanti dia buat keputusan sendiri. Kalau berjaya ok kalau hidup dia gagal, dia tak boleh blame mak ayah dah. Sebagai mak bapak berdoalah untuk kebaikan anak-anak.

Tanpa Nama berkata...

tuan gb ada tak simpan no hp rozaliya? wiii wiiiitttt

Unknown berkata...

Salam,

En Waris, kita sbg org luar x tau apa sbnrnya yg brlaku, jgn cepat nak menjatuhkan hukuman.

Lagipon mmg bdk ni blom ready, muda sgt lg, mungkin dia stuju pon atas desakan mana2 pihak.

Klu org llaki terlau jeles, mngongkong, panas baran, lebih baik la tarik diri sblom nikah.

Tp x sptutnya la smpai lari.

Kes2 mcmni la yg mmbuatkan pihak polis membiarkan dulu sblom buat sisatan reperinci .... buang maso yo.

Tanpa Nama berkata...

Kepada muda mudi berfikir dulu sebelum ambil apa-apa tindakan. Tindakan Rozaliya menyusahkan ibu bapanya, jiwa raga mak bapa terseksa. Harap muda mudi lain tidak menzalimi ibu bapa sendiri. Nama Rozaliya dan keluarganya sudah tercalar dan memberi kesan buruk.

Kuda Perang berkata...

xlayak jadi bini orang lagi dia ni... kena belajar banyak perkara lagi, terutama kesabaran n memahami lelaki, pihak lelakinya pula kena pandai main peranan dalam komunikasi supaya perempuan spt ini faham..

Tanpa Nama berkata...

orang perempuan memang mudah merajok nanti cek abang datang pujok setle la tu.

Waris berkata...

Merajuk sampai menyusahkan banyak pihak apa ke jadahnya... Boleh jalan daa... Sebab musabab dah diketahui dgn pengakuan dia sendiri. Sebelum dia lebih menyusahkan, tinggalkan aje. Biar mak bapak dia sendiri yg bentuk anak dia nak jadi apa pun. Bukit bintang tu bukan tempat yg elok utk budak yg belum cukup sifat mcm dia. Yg dah cukup sifat pun kdg2 kantoi.