12 Okt 2010

Rakyat Perlu Tahu Apa Hak Mereka

Kesedaran hak dapatkan bantuan guaman masih kurang

SUNGAI PETANI, 12 Okt — Kesedaran masyarakat terhadap hak mereka untuk mendapatkan bantuan guaman atau diwakili peguam sekiranya ditahan atau ditangkap pihak polis masih kurang.

Pengerusi Pusat Bantuan Guaman Kedah/Perlis (PBGKP), Victor Paul Dorairaj berkata orang ramai perlu tahu mengenai hak mereka kerana setiap individu yang ditangkap perlu diberi penerangan tentang alasan mengapa mereka ditahan.

“Orang yang ditahan hendaklah dimaklumkan segera mengapa dia ditangkap dan dibenarkan berbincang serta diwakili pengamal undang-undang pilihan mereka,” katanya pada majlis perasmian Minggu Kesedaran Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010 di sini semalam.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk badan kehakiman serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memaklumkan kepada orang awam berkenaan hak-hak mereka.

Katanya salah guna kuasa akan berkurangan sekiranya rakyat mengetahui hak-hak mereka dan akses untuk mendapatkan keadilan adalah tidak bermakna jika orang ramai tidak mengetahui hak mereka.

“Setiap orang mesti mengetahui hak-hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan adalah hak mereka untuk berbincang Perlembagaan Persekutuan secara terbuka tanpa prejudis atau dituduh berat sebelah.

“Setiap masalah yang dihadapi adalah masalah perundangan dan peguam boleh membantu, golongan kurang berkemampuan boleh mendapat khidmat guaman di pusat-pusat bantuan guaman,” katanya.

Menurut Dorairaj PBGKP merupakan salah satu daripada 15 pusat bantuan guaman yang ditubuhkan di bawah Majlis Peguam Malaysia dan sehingga kini terdapat tiga cawangannya iaitu di Kangar, Alor Setar dan Sungai Petani.

Sementara itu menurut beliau, pada 2008 daripada 108,000 kes jenayah yang didengar di mahkamah Majistret di negara ini, lebih 84,000 individu tidak diwakili peguam.

Katanya sebanyak RM1.3 juta hasil sumbangan pengamal undang-undang MPM diperuntukkan untuk pusat-pusat bantuan guaman bagi 2010. — Bernama


1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis
Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam
Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis
Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri
Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain
Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke
Balai Polis; atau
• menggari anda.


Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112
Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi
Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di
dalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"
Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap
Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"
Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap
Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.

Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam. Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda
boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian
Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi
Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan
Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda
Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret
Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada 24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman
Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman
Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan
seorang Majistret untuk proses reman


Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, biro bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat
Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan
Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda
• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian
• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan
Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah
- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda
• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda
Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri
Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan
Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti
Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.


2 ulasan:

Jaman alhaj berkata...

Cantiklah GB ana dah kopi n print nanti nak edar kat para sahabat agar mengerti hak kita...TQ

Tanpa Nama berkata...

tapi bagi penyokong umno bee end ni.. dia rasa hanya umno aje yang bagi dia orang makan... sampai tak perasan pun yang selama ini kena tipu oleh katak2 umno....