14 Okt 2010

Mustaffa Mahu Calon Isytihar Harta Dan Belanjawan Pemilihan

Mustaffa Kamil Ayub yang bertanding jawatan timbalan presiden parti hari ini menggesa setiap calon mengisytiharkan harta dan belanjawan kempen masing-masing bagi membuktikan partinya boleh menjalankan pemilihan bersih.

Selain itu, naib presiden PKR ini juga meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memperkenalkan penggunaan sistem cap jari bagi menjamin ketelusan dalam sistem pemilihan yang julung kali memperkenalkan kaedah satu ahli satu undi.

“Sekali saya cadangkan, JPP perkenalkan sistem dedah akaun peribadi calon dan cap jari demi mengangkat imej parti sebagai parti yang bersih dan saksama,” kata Mustaffa (gambar).

“Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Cadangan itu dikemukakan ketika tinggal dua hari lagi bagi kesemua bakal calon perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing.

Mustaffa berkata, cadangan. Itu penting diamalkan demi memperkasakan imej parti yang sedia bersih supaya dilihat berintegriti di mata rakyat dan dunia.

Tidak memadai pemimpin Keadilan bersih, tetapi kepemimpinan kita mesti dilihat bersih oleh rakyat Malaysia dan dunia melalui pembaharuan institusi ini,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, sistem dedah akuan peribadi calon dan celup jari demi mengangkat imej parti sebagai parti yang bersih dan saksama.

Difahamkan, 'institutional reform' adalah usaha mereformasi sistem pilihan raya dan demokrasi yang sedia ada supaya mampu mengangkat pemimpin yang paling adil dan bersih.

Kata beliau, pemilihan kali ini wajar dijadikan pelantar ujian pada perubahan landskap tanah air memandangkan PKR bersama-sama parti-parti oposisi yang lain pada pilihan raya umum ke-12 lalu telah pun mempopularkan cadang-cadangan tersebut melalui wadah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

“Semua ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam negara dengan kita menjadikan parti kita sebagai pelantar ujian yang sihat,” kata Pengerusi PKR Perak ini.

“Sempena proses pemilihan peringkat pusat dengan pengesahan calon-calon bertanding 16 Oktober ini, saya mencadangkan semua calon mengisytiharkan harta serta belanjawan masing-masing,” katanya.

Kata beliau, boleh dikatakan sepanjang pilihan raya umum dan kecil lepas, oposisi mengajak rakyat percaya bahawa kebanyakan pemimpin Umno dan BN mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kita bukan sahaja mencabar mereka yang terbabit mendedahkan akaun masing-masing dan belanjawan pilihan raya masing-masing sempena pilihan raya.

Malah, kita juga mendesak pihak berwajib seperti SPR dan SPRM supaya menyiasat beberapa pemimpin Umno dan BN yang kita anggap tiada integriti.

“Cabaran dan desakan ini semata-mata kerana kita mahu melihat proses pilihan raya dan demokrasi berlangsung secara bersih, bebas dan adil," kata Mustaffa yang juga Pengerusi Akademi Latihan PKR.

“Apa yang kita cadangkan serta desakan ini, bagi saya adalah suatu pembaharuan institusi iaitu kita mereformasi sistem yang sedia ada supaya mengangkat pemimpin yang adil dan bersih,” kata beliau lagi.

Menurut Mustaffa, PKR gagal membenamkan parti rejim jua sebenarnya ekoran gagal membawa pembaharuan institusi terlebih dahulu ke dalam negara.

“Sebab itu, rakyat perlu menganggap beberapa tuntutan Bersih ke atas SPR menjelang pilihan raya umum ke-12 lalu sebagai suatu pembaharuan institusi.

“Institusi yang direformasi menjadi bebas, adil dan demokratik pastinya akan mengangkat kepemimpinan yang integriti, adil dan demokratik,” kata beliau.

Mustaffa memberitahu, sekarang PKR khususnya Pakatan Rakyat tidak mampu melakukan semua pembaharuan institusi ini dalam kerajaan khususnya SPR kerana masih tidak berpeluang mendapat mandat rakyat.

“Tetapi, kita khususnya JPP mempunyai kuasa untuk membuktikan bahawa semua ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam negara, dengan kita menjadikan parti kita sebagai pelantar ujian yang sihat,” kata Mustaffa lagi.

“Biar dunia melihat bahawa semua cadangan pembaharuan institusi ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam Malaysia dengan melihat pelantar ujian kita.

“Yang terjejas, mungkin pemimpin yang melakukan korupsi atau menyalah guna kuasa sahaja,” katanya.

Sambil menekankan bahawa rakyat akan melihat komitmen ini, Mustaffa berkata, tidak mustahil rakyat akan sokong usaha ini dan bersedia memberi mandat kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR kerana mereka percaya parti ini jika memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 kelak akan laksanakan pembaharuan institusi dalam negara sebagaimana yang telahpun dibuktikan dalam parti.

“Satu lagi, saya cadang kita laksanakan cat jari sempena pemilihan kali ini.

“Cadangan ini yang bagi saya satu lagi pembaharuan institusi mampu membuka mata rakyat.

“Rakyat akan berkata, 'rupa-rupanya sistem cat jari dan dedah akaun peribadi calon tidak lah mengganggu sistem demokrasi,” katanya.

Beliau berkata jika PKR boleh buat, mengapa kerajaan pusat masih cipta alasan untuk membodohkan rakyat.

Ulasan GB

Apa yang disampaikan oleh Mustaffa Kamil Ayub itulah apa yang selama ini GB perjuangkan.

Bahawa, untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang bersih dan adil, maka ia bermula dari parti kita sendiri.

Bagaimana mungkin kita hendak memperjuangkan keadilan dan kebersihan jika pemimpin parti sendiri bersikap berat-sebelah, partisan dan penuh dengan kosnpirasi serta wayang-wayang?

Bagaimana mungkin kita hendak mewujudkan sebuah kerajaan yang baik jika calon-calon yang bertanding giat menabur fitnah tanpa bukti dengan melakukan serangan-serangan peribadi terhadap calon lawan semata-mata kerana takut dengan bayang-bayang sendiri?

Bagaimana mungkin kita mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan stabil jika parti sendiri bergelandangan dengan kekecohan akibat manusia-manusia yang kemaruk kuasa dan berebut jawatan?

Semuanya itu sepatutnya dihentikan. Tetapi mungkinkah PKR berjaya sedangkan perbuatan-perbuatan buruk dan jelek itu dimainkan oleh pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi sendiri?

PKR bakal rebah jika terus-terusan bermain politik ala UMNO.

1 ulasan:

Wak Parjoe berkata...

Wak cuma nak tahu dari mana sumber harta tu ....