24 Okt 2010

Aziz Wakili BN Lawan Dr.Zul Dari PAS Di Galas (updated)

Setiausaha Umno Gua Musang Aziz Yusof dipilih bagi mewakili Barisan Nasional (BN) merampas kerusi DUN Galas daripada penguasaan PAS.

Pemilihannya diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini sebentar tadi.

Tiga hari lalu, pengamal perubatan yang juga pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus 27 September lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

SEMENTARA itu di Batu Sapi BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini. Dalam gambar 2 dari kiri.

Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi.

Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.


Fitnah: Dr Zulkefli akan ambil tindakan undang-undang

GUA MUSANG, 24 Okt: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Dr Zulkefli Mohamad berkata, isu beliau ditangkap khalwat yang dibangkitkan Umno-Online adalah dilakukan dengan sengaja bagi memfitnahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama peguamnya, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama ialah meminta supaya didropkan fitnah itu daripada web Umno-Online, dan sekiranya tidak dipatuhi maka tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh bagi tindakan adalah bergantung kepada tindakan dilakukan Umno-Online terhadap permintaan yang pertama itu,” katanya pada sidang media semalam.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Hadir sama ialah Peguam Abu Daud Wan Abdul Rahim dari Azmi & Co.

Terbaru selepas diisytiharkan calon PAS bagi Dun Galas, Dr Zulkefli dilaporkan media Umno-Online bahawa Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang itu pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramlelah Mat Jusoh.

Bagaimana pun, Dr Zulkefli dengan tegas menafikannya kerana Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya, sedangkan isterinya ialah Zainab Jalar.

“Berkenaan dengan hak yang dikeluarkan dalam Umno-Online yang dikatakan saya terlibat dalamkes khalwat, kemudian diletak pula nama Ramelah binti Mat Jusoh.

“Ramelah binti Mat Jusoh itu adalah sebenarnya emak saya, dan untuk kes khalwat ini sepatutnya dibuat semakan di mana-mana Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah untuk dipastikan, dan (kes yang dibangkitkan ini) saya menafikan sekeras-kerasnya.

“Sebenarnya tidak ada kes ini, (hanya) dibangkit sebagai fitnah saja,” tegasnya.

Sementara itu, Abdul Halim Abdul Rahman ketika mengulas perkara itu berkata isu timbul tanpa ada asasnya.

“Sengaja diada-adakan isu,” katanya. -harakahdaily


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa najib dan muhyidin tak berani jadi calon diGalas? mana Ibrahim ali?