24 Okt 2010

Ada Masyarakat India Nak Protes Kedatangan Manmohan Rasmi Little India

Protes jika Manmohan rasmi

RAWANG – Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kemajuan Pelajar-pelajar Tamil Malaysia (PKPPTM) tidak bersetuju dengan cadangan perasmian Little India di Brickfields akan dilakukan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh(gambar) 27 Oktober ini.

Presidennya, M S Arjunan berkata, pihaknya bersedia dengan sekitar 5,000 hingga 6,000 ahli badan bukan kerajaan (NGO) untuk memprotes sekiranya majlis itu tetap dirasmikan Manmohan.

Katanya, protes bukan sahaja melibatkan ahli PKPPTM yang seramai 12,000 di seluruh negara setakat ini, tetapi akan bergabung dengan ahli daripada 15 NGO India tempatan lain.

“Jika Manmohan datang juga merasmikan Little India, kami wakil bagi masyarakat India di Malaysia akan memakai baju hitam dan mengibarkan bendera hitam sebagai membantah secara aman perasmian berkenaan.

“Kami tidak bantah kedatangan beliau ke Malaysia, tetapi lebih baik Perdana Menteri, atau orang tempatan sendiri dalam kalangan pemimpin India sendiri misalnya boleh datang merasmikannya,” katanya, semasa pertemuan berhubung isu berkaitan, di sini, semalam.

Hadir sama dalam perjumpaan berkenaan ialah Ketua Angkatan Muda PKPPTM, A Kalaimughilan.

Mengulas mengenai perkara itu, Arjunan berkata, ia kerana ketidakpuasan hati terhadap pemimpin itu berikutan banyak perkara belum dapat diselesaikan oleh Kerajaan India.

“Perkara ini termasuk berkaitan dengan masyarakat keturunan India di Malaysia dan beliau (Manmohan) akan mendapat jawapan sekiranya melawat estet di luar bandar.

“Selain itu, Little India adalah salah sebuah pusat membeli belah oleh masyarakat India, tetapi banyak bangunan di situ dimiliki oleh orang lain, manakala bayaran sewa begitu tinggi.

“Sebab itu kita harap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan memainkan peranan penting menukar hak milik tempat ini kepada peniaga (India), di sini,” katanya.

Katanya, ini disebabkan peniaga cuma ada ruang untuk berniaga sahaja, tetapi tiada kuasa untuk memiliki tempat berkenaan.

Kalaimughilan berkata, sebagai Perdana Menteri India, Manmohan seharusnya membantu dan campur tangan dalam banyak perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan kuasa yang beliau ada, tetapi malangnya beliau tidak berbuat demikian.

“Jadi, kedatangan Manmohan ke negara ini tiada erti bagi kami. Sedangkan kami negara kecil masih dapat menolong negara lain seperti Afghanistan, Palestin dan Bosnia,” katanya. -SH


Perdana Menteri India Mulakan Lawatan Tiga Hari Ke Malaysia Mulai Selasa Ini

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia mulai Selasa ini bagi membalas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu Januari lepas.

Dr Manmohan yang akan diiringi oleh isteri beliau Gursharan Kaur, mengetuai anggota delegasi seramai 16 orang.

"Lawatan itu menandakan satu lagi usaha dalam perkembangan hubungan dua hala Malaysia-India bagi mengukuhkan keyakinan dan persefahaman bersama antara kedua-dua negara, menurut kenyataan Wisma Putra di sini.

"Malahan lawatan itu juga akan membolehkan kedua-dua Perdana Menteri mengadakan tindakan susulan mengenai perjanjian dan persefahaman yang dicapai semasa lawatan Najib ke India," tambah kenyataan itu.

Sejak 53 tahun lepas, kedua-dua negara menikmati hubungan sangat baik dan teras hubungan persahabatan ini adalah hubungan rakyat-ke-rakyat yang begitu lama serta hubungan sejarah dan ekonomi.

Semasa lawatan itu, Dr Manmohan akan diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat delegasi di mana kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dua hala, rantau dan antarabangsa.

Najib dan Dr Manmohan juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian kerajaan-ke-kerajaan dan memorandum persefahaman.

Dr Manmohan dan isteri akan juga menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Salah satu kemuncak atur cara lawatan itu adalah pelancaran bersama 'Little India di Brickfields' oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi hos majlis jamuan makan malam untuk tetamu itu di Seri Perdana, Putrajaya.

Wisma Putra menyatakan bahawa Najib dan Dr Manmohan dijadual melancarkan mesyuarat pertama Forum Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia-India, Perdana Menteri India itu juga dijangka menyampaikan satu syarahan pada Khazanah Global Lectures.

-- BERNAMA


2 ulasan:

Din Tok Diah berkata...

Baik panggil Pak Berahim Perkasa yang rasmi lagi ok.

Tanpa Nama berkata...

Kenapa begitu..!!?? Malaysia ini sudah 'melutut' kepada negara India ke..!!??
Selepas Singapura, Indialah pulak..!!??
Aku sebagai rakyat 1Malaysia yang satu-satunya negara berdaulat orang melayu menyatakan bantahan dan TIDAK SETUJU.
Jangan jatuhkan maruah rakyat jelata semata-mata hendak 'menghiburkan' sekelompok pemimpin yang dah tak boleh berfikir secara waras dan rasional. Aku TAK SETUJU. TAK SETUJU.
Projek koridor pak lah di Johor itu pun macam bakal jadi 'little singapore'...,lepas ini little apa pulak lagi...? Little Indon pulak ke..!!? Lalu panggil Susilo pulak....!!?
Suudah-sudahlah buat kerja-kerja seperti gila tuh.