6 Sep 2010

Laknatullah Ke Atas Perampas Royalti

Penyakit Hati Punca Enggan Bayar Royalti Minyak Kelantan

Penyakit hati – iri hati, dengki, khianat, dendam, sombong, angkuh, tamak, adu dumba, fitnah dan lain-lain – menjadi punca manusia rosak akhlak dan tingkah laku buruk hingga menjadi buta dari melihat kebenaran dan keadilan. Sebaliknya sifat mazmumah (keji) ini akan mendorong manusia melakukan kejahatan, kezaliman, penindasan, kemaksiatan hingga sanggup merampas hak orang lain.

Kengganan kerajaan pusat membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berpunca dari para pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang mempunyai penyakit hati ini. Dendam kesumat dan iri hati terhadap rakyat Kelantan yang mengundi pembangkang sejak 20 tahun lalu.

Walaupun negara telah melalui empat lima pilihan raya umum namun percubaan kerajaan Umno-BN untuk merampas semula negeri Cik Siti Wan Kembang itu gagal. Maka ditaburkan berbagai fitnah dan dilakukan pelbagai kejahatan dan kemuncaknya menafikan rakyat Kelantan dari menerima wang royalti minyak.

Ekoran dari kezaliman Umno-BN ini maka negeri Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas – di mana pemegang sahamnya adalah kerajaan persekutuan – di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Kerajaan negeri bertindak demikian terhadap Petronas akibat melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil dari minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.

"Kita akan tuntut wang royalti ini sehingga dapat," kata Tok Guru, menambah, "sekiranya gagal kita akan tuntut di akhirat. Lebih baik dia bagi semasa di dunia ini."

Kelantan tuntut RM800 juta setahun

Tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dianggarkan bernilai RM800 juta setahun sejak 2005 dan jika dicampur jumlah itu sehingga tahun ini maka jumlahnya ialah sebanyak RM4.8 bilion.

Tidak diketahui kenapa Tok Guru memilih bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan ini untuk memfailkan saman dan sejurus selepas itu, beliau dan rombongannya bergegas ke masjid yang berdekatan, Masjid Jalan Duta, untuk menunaikan solat hajat.

Barangkali mesej yang hendak disampaikan oleh Tok Guru ialah "di hari baik dan bulan baik ini, hentikanlah dari melakukan kezaliman. Berilah hak kami!" Tetapi tindakan beliau ini dapat dikiaskan dengan unsur-unsur kehidupan di akhirat apabila beliau bercakap kepada para wartawan.

Kata Tok Guru, "jika mereka masih menafikan hak rakyat Kelantan maka di akhirat nanti, mereka akan menerima padahnya. Pahala ibadat mereka akan diberi kepada orang-orang yang dizalimi. Jika pahala mereka habis maka dosa orang-orang yang dizalimi akan dilambakkan ke atas kepala orang-orang yang melakukan kezaliman."

Dendam kesumat Umno-BN

Apa yang alami oleh rakyat Kelantan ialah akibat dendam kesumat ekoran dari pemikiran politik sempit bagi menyeksa rakyat negeri itu kerana terus menerus menolak Umno-BN. Mereka tidak ada cara lain lagi melainkan dengan menafikan rakyat Kelantan dari mendapat pembangunan dan bantuan kewangan.

Sifat yang buruk dan keji ini, jika kita teliti adalah tidak menghairankan kerana sebuah lagi negeri, Terengganu, juga dinafikan hak royalti minyak, walaupun diperintah oleh mereka sendiri. Menteri Besarnya Ahmad Said terpaksa membawa kes ini ke mahkamah dan berita terbaru menurut beliau, kerajaan persekutuan akan mula membayar royalti minyak (bukan wang ehsan) sebanyak RM1.6 bilion setahun mulai 2011, seperti laporan Bernama pada 28 Ogos lalu.

Perkembangan ini adalah hasil dari janji bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengembalikan wang royalti kepada kerajaan negeri Terengganu pada Jun 2008. Rundingan di antara Petronas dan kerajaan persekutuan bermula pada September tahun yang sama.

Pendirian Ahmad Said adalah jelas. Beliau berkata, "kerajaan negeri tidak akan menandatangani sebarang perjanjian atau menggugurkan tuntutan mereka melalui mahkamah sehingga mereka berpuas hati bahawa semua hak dan kepentingan rakyat Terengganu berhubung royalti minyak disebut dengan jelas dalam perjanjian. Kerajaan persekutuan mesti mengembalikan hak ini kepada rakyat Terengganu berdasarkan perjanjian asal."

Apakah alasan mereka kali ini untuk memberi royalti minyak kepada Terengganu sedangkan kepada Kelantan tidak? Kalau dahulu, alasan yang diberi ialah kerajaan-kerajaan negeri tidak berhak mendapat royalti minyak sekiranya minyak dan gas ditemui lebih dari 3 batu nautikal dari pesisir pantai.

Mereka sanggup mereka cipta berbagai alasan hingga memuatkan alasan-alasan itu di dada-dada akhbar media arus perdana semata-mata untuk membohongi rakyat dengan menafikan hak rakyat Kelantan sedangkan perjanjian telah dimeterai di antara kerajaan-kerajaan negeri (termasuk Sabah dan Sarawak) sejak PDA di wujudkan lagi.

Survival politik

Sebenarnya, krisis royalti minyak ini dapat diselesaikan tanpa diseret ke mahkamah sekiranya para pemimpin pusat mahu mengadakan rundingan dan mempunyai niat yang ikhlas untuk sama-sama mengecap kekayaan negara, demi kesejahteraan rakyat, dan bukan tertumpu untuk mengaut keuntungan peribadi dan mementingkan survival politik mereka sahaja.

Bekas menteri kewangan berdarah raja, Tengku Razaleigh Hamzah, yang diamanahkan oleh perdana menteri ketiga, Tun Abdul Razak Hussein, untuk menggubal dan menandatangani perjanjian di antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas berkata, "kalau saya masih Pengerusi Petronas, saya akan bayar wang royalti…….tidak perlu kecuh-kecuh."

Jadi, keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti minyak ini sebenarnya tidak bersandarkan kepada alasan yang kukuh melainkan kerana mempunyai sifat-sifat buruk dan keji yang disebutkan tadi hingga mendorong mereka melakukan penindasan dan kekejaman.

Orang yang biasa hidup senang dan mewah sepanjang hayatnya biasanya tidak akan merasa keperitan hidup orang-orang susah dan miskin. Sebab itu Allah SWT mewajibkan umat Islam menjalani ibadah puasa dengan menahan diri dari lapar dan dahaga di siang hari supaya dapat mendidik akhlak yang terpuji.

Ibadah puasa juga bertujuan untuk menghakis sifat-sifat keji tadi – iri hati, dengki, dendam, khianat, sombong, angkuh, tamak, adu dumba, fitnah dan lain-lain – agar sesuatu permasalahan itu dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan mudah.

Jika tidak, ibadah kita (sebulan berpuasa) menjadi sia-sia!

Ulasan GB

Ringkasnya, Kelantan dinafikan hak royalti kerana ia diperintah oleh PAS.

Ia bukti bahawa UMNO BN tidak mengindahkan konsep federalisma yang termaktub di dalam Perlembagaan.

UMNO BN perlu diheret ke mahkamah bukan sahaja kerana tidak membayar royalti tetapi juga kerana tidak mematuhi konsep federalisma tersebut.

Dan akhir-kata, rakyat seluruhnya mengutuk perbuatan UMNO BN yang jahat itu, dengan doa semuga "laknatullah" ke atas kamu selagi kamu tidak mengembalikan hak itu kepada kerajaan negeri Kelantan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kezaliman yg dilakuan umno terhadap rakyat kelantan ini berpuca dari pahaman politik tak bercampor dengan agama yang membawa makna semasa berpolitik umno tidak ada agama maka apa saja diboleh dan tidak ada haram halai ini lah akidah yg sesat yang menjadi pegangan setiap ahli dan penyokong umno.

Tanpa Nama berkata...

Ahli-ahli UMNO ramai yang faham Islam cara mendalam dan sudah pasti tahu akibat perbuatan zalim.Yang dizalimi sekarang sudah berdoa.Petronas adalah sebuah syarikat perniagaan dan sebagai sebuah syarikat perniagaan boleh untung dan juga rugi.Kalau Petronas bersekongkol dengan orang zalim,Allah boleh lingkupkan Petronas.Minyak tu Allah yang punya bukan Mahathir atau Najib.Waspada kepada doa orang yang dizalimi.

Tanpa Nama berkata...

Apa Kelantan Tu Bukan Malaysia...Pembayar Cukai Dari Kelantan...Cukai Orang Kelantan...Depa Kebas...Hak Kelantan Tak Beri...Tunggulah Balasan ALLAH..