17 Sep 2010

Kes Sosilawati: Sukar Menganalisa DNA Abu Mayat

Sukar analisis DNA abu mayat

SHAH ALAM - Analisis asid deoksiribonukliek (DNA) terhadap abu mayat sukar menemui keputusan tepat kerana telah mengalami kerosakan teruk berbeza jika dilakukan terhadap spesimen lain seperti tulang atau gigi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Normi Mohd Yahaya (gambar) berkata, tulang dan gigi juga perlu berada dalam keadaan elok atau separa elok bagi mendapatkan keputusan analisis DNA yang tepat.

“Sebarang sampel DNA yang hendak dianalisis perlu berada dalam keadaan baik dan belum mengalami degradasi atau proses penguraian.


“Merujuk kepada kes Datuk Sosilawati dan tiga yang lain, kita tidak boleh memberikan sebarang jaminan bagaimana keadaan sebenar tulang mangsa. Jika tulang dan gigi mangsa tidak seratus peratus hangus, proses penge�caman masih boleh dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Namun katanya, sampel seperti tulang dan gigi tidak boleh terdedah terhadap persekitaran dalam tempoh yang lama kerana akan menyebabkan berlakunya proses degradasi.

“DNA yang ada pada sampel tidak mampu bertahan lama jika terdedah kepada persekitaran memandangkan banyak faktor persekitaran yang akan memusnahkannya.

“Seeloknya, untuk mendapatkan keputusan ujian yang tepat, sampel tidak boleh dibiarkan terlalu lama di mana-mana lokasi kejadian. Ia perlu ditemui secepat mungkin untuk dianalisis,” katanya.

Dr Normi berkata, tiada sebarang pengecaman boleh dibuat terhadap mayat mangsa yang dibakar menggunakan kaedah pembakaran mesin krematorium iaitu sejenis alat pembakar menggunakan gas kerana ia seratus peratus akan merosakkan sampel.

“Jika sampel dalam keadaan hangus dan tidak menjadi abu, agak sukar juga untuk menjamin ketepatan keputusan analisis, tetapi masih ada harapan jika ada spesimen yang tidak rosak,” katanya.

“Dalam kes melibatkan pembakaran mayat mangsa pembunuhan, kita tidak tahu berapa lama mangsa dibakar. Bagaimanapun, pihak forensik boleh terus melakukan uji kaji berulang kali terhadap sampel bagi mendapatkan keputusan ujian yang tepat,” katanya. -SH

Tiada ulasan: