17 Jul 2010

Persidangan FBI Di Kuala Lumpur Bukti Umno-BN Agen Amerika

Selepas menyerang kredibiliti Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengaitkan beliau sebagai agen Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), kerajaan Umno-BN kini menghadapi tamparan besar apabila bukti jelas menunjukkan mereka sebenarnya tunduk kepada kuasa besar Amerika Syarikat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard mendedahkan satu Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 akan diadakan di Kuala Lumpur mulai 19 hingga 23 Julai ini.

"FBI atau Federal Bureau of Investigations (Biro Siasatan Persekutuan) merupakan cabang militan kerajaan Amerika Syarikat untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain.

"Adalah amat memalukan pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis AS yang menyeksa manusia khususnya umat Islam di Amerika Syarikat, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," ujar CheGuBard dalam satu kenyataan media.

CheGuBard yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata latihan pegawai kanan polis itu merupakan sebahagian daripada program AS untuk mempengaruhi individu yang mempunyai kedudukan penting dalam institusi seperti polis, tentera, kehakiman, parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan NGO dengan alasan memerangi keganasan.

"Di Iraq dan Afghanistan pihak FBI telah melatih beratus pegawai bagi memastikan negara itu terus patuh kepada kehendak AS apabila tenteranya berundur meninggalkan negara itu," kata beliau.

Menurutnya, selain beberapa buah negara seperi Arab Saudi dan Mesir, perhatian Amerika Syarikat tertumpu kepada Indonesia, malah AS juga sudah menarik balik sekatan jualan dan bantuan ketenteraan yang dikenakan ke atas Indonesia sewaktu rejim pemerintahan presiden Suharto.

"Pasukan polis elit di Indonesia turut mendapat latihan di AS dengan bekerjasama rapat dengan CIA, FBI dan unit perisik Australia dengan tujuan utamanya memerangi aktiviti ‘pengganas'. Berdasarkan laporan Reuters, sekitar 2,800 pegawai tentera Indonesia pada masa ini sedang menjalani latihan di AS," ujarnya.

CheGuBard berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman sesawang FBI, pelatih akan di bawa untuk mengunjungi Muzium Holocaust di Washington DC sebagai salah satu dari ‘komponen moral dan etika untuk latihan.’

"Sudah tentu agenda tersembunyi ini adalah untuk melahirkan simpati terhadap Zionis Israel, mengesahkan penubuhan Israel di tanah Palestin dan mewajarkan dasar pro-Israel oleh AS," jelas beliau lagi.

Tambah CheGuBard, latihan untuk pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia telah bermula sejak 1964 di mana sejumlah 58 pegawai kanan polis terlibat termasuk penyertaan bekas Ketua Polis Begara, Tun Hanif Omar.

Daripada jumlah itu seramai 16 pegawai kini masih dalam perkhidmatan polis.

"Sewaktu kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ke Rumah Putih pada Mei 2002, Malaysia dan AS telah menandatangani deklarasi bersama untuk memerangi pengganas di Asia Tenggara. Pada 1 Julai 2003, Pusat Wilayah Asia Tenggara bagi Menentang Keganasan telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Apa yang lebih menarik, bekas Presiden Bush telah mengumumkan penubuhan pusat itu sewaktu mesyuarat APEC di Mexico pada 2002.

"Pada 3 Mei 2002, Datuk Seri Najib Razak dalam syarahannya di Heritage Foundation di AS, mendedahkan bahawa Malaysia telah membenarkan kapal terbang tentera AS menggunakan ruang udara Malaysia sewaktu Operasi Enduring Freedom di Afghanistan. Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia membantu AS dalam menangkap dan menyerahkan suspek pengganas yang dikehendaki oleh AS," jelas beliau.

GheGuBard mendakwa Malaysia turut membantu AS menangkap dan menyerahkan suspek pengganas dikehendaki oleh AS seperti yang berlaku kepada beberapa individu yang ditahan ISA beberapa bulan lalu mempunyai kaitan dengan agensi risikan AS.

"Kami percaya penangkapan dan penghantaran pulang pelajar Islam luar negara baru-baru ini, dimulakan oleh agensi perisikan AS dan Australia yang merekarekacipta bukti terhadap aktivis Islam," ujarnya.

Justeru beliau menggesa Umno-BN supaya menghentikan segera Persidangan FBINAA dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan dengan AS.

Sebaliknya, kerjasama patut dilakukan bersama India, Sweden, Iran dan lain-lain negara selain kuasa besar itu.

"AS seharusnya dihormati sebagai sebuah negara tetapi tidak boleh disembah sebagai tuan. Solidariti Anak Muda Malaysia sedang mempertimbangkan secara serius beberapa tindakan jika regim tidak mahu berganjak termasuk dengan 'menyerbu' persidangan tersebut," tegas CheGuBard. -SK


MAPPIM Dakwa Persidangan FBINAA Semai Kebencian Terhadap Pergerakan Islam

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) membantah dengan sekeras-kerasnya Persidangan FBI National Academy Associates Asia Pasifik (FBINAA) ke-13 di Kuala Lumpur kerana mendakwa Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat itu terlibat dalam strategi menentang pergerakan Islam diseluruh dunia dan melabelkannya sebagai kumpulan penganas.

"Ini adalah amat memalukan, kerana pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis yang menyeksa umat Islam di Amerika Syarikat, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," kata Setiausaha Agung MAPPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mod Azmi FBI merupakan cabang ketenteraan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain manakala National Academy melatih pegawai kanan polis dari AS serta mereka dari luar AS termasuklah dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Arab Saudi, Israel dan lain-lain negara.

"Walaupun latihannya jelas untuk memajukan kepakaran penguatkuasaan undang-undang, ia juga menyampaikan maklumat kepada pelatih berkenaan persepsi AS berhubung isu global. Contohnya, pelatih akan diasak dengan kepentingan dan keperluan untuk memerangi keganasan global.

Pergerakan Pembebasan Kebangsaan seperti Hezbollah, Hamas dan penentangan terhadap pendudukan AS di Afghanistan dikategorikan sebagai pengganas," tambahnya dalam kenyataan itu.

Latihan untuk pegawai kanan polis Malaysia di Akademi itu bermula pada 1964 dengan penyertaan Penolong Pesuruhjaya Kanannya, Kassim Ali.

Sejak itu, sejumlah 58 pegawai kanan polis telah mengikuti kursus termasuklah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Enam belas daripada kumpulan awal tersebut masih lagi di dalam perkhidmatan.

Selepas peristiwa 11 September, Polis DiRaja Malaysia menjadi rakan baru dalam memerangi pengganas global bersama AS kata MAPPIM.

Sewaktu kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir ke Rumah Putih pada Mei 2002, Malaysia dan AS telah menandatangani deklarasi bersama untuk memerangi pengganas di Asia Tenggara.

Beliau berpendapat Kempen 'Memerangi Keganasan Global' telah menimbulkan kesangsian.

Dasar, perancangan dan perjanjian yang dibuat di bawah pentadbiran Presiden AS yang baru, Barack Obama masih diteruskan.

MAPPIM berkata kini sudah tiba masanya untuk menghapuskan dasar ini dan keganasan yang dianggap sebagai jenayah yang perlu ditangani di bawah undang-undang negara dan antarabangsa.

"Malaysia perlu menilai semula hubungannya dengan AS memandangkan kepada dasarnya yang membawa kepada perubahan rejim di negara Islam yang merdeka, menggalakkan perpecahan antara mazhab, menyemai pertelingkahan sesama Islam dan juga antara negara Islam, dan penentangan terhadap pelaksanaan syariah untuk umat Islam," tambah Mohd Azmi.

Saranan Laporan Goldstone berhubung jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia oleh keganasan Israel ke atas Gaza pada November 2008 dan penubuhan jawatankuasa bebas antarabangsa untuk menyiasat keganasan Israel terhadap Freedom Flotilla dan pembunuhan sembilan sukarelawan kemanusiaan Turki digagalkan oleh tindakan AS untuk melindungi Israel.

"Kami merasa amat terkejut memandangkan kesengsaraan dan penderitaan saudara-saudara kita tidak menyentuh perasaan pegawai kanan polis kita. Bagaimana mereka boleh bekerjasama dan meraikannya dengan mereka yang menimbulkan kekacauan di dunia Islam.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan segera Persidangan FBINAA dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan di AS. Sebagai ganti mereka boleh dilatih di negara lain seperti India, Sweden, Iran dan lain-lain negara yang tidak mempunyai agenda hegemoni," kata Mohd Azmi lagi. -SK


1 ulasan:

Matketor berkata...

Kalau dah bersekongkol dengan APCO tu memanglah UBN ni talibarut zionis...FBI tu pun penuh dengan zionis dan kuncu-kuncunya...siapa tak tau US memang dikawal oleh juak juak zionis laknatullah...77 juta setahun untuk APCO..duit rakyat digunakan untuk menyokong juak-juak zionis..hampas punya UBN