21 Mei 2010

Rayuan Anwar Ditolak Lagi, Hairankah Kita?

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat melibatkan beliau sebagai tertuduh sementara menungggu keputusan rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi, yang juga penuduhnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel hakim terdiri Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa adalah tidak wajar bagi mereka meluluskan penangguhan itu sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Sulong berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika berlangsungnya suatu perbicaraan dan tidak mengetepikan hak pihak terbabit.

“Sekiranya permohonan perayu kepada Mahkamah Rayuan diterima, saksi SP1 (Mohd Saiful) masih boleh dipanggil semula untuk disoal pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman dibuat dan prosiding sewajarnya bagi mencabar keterangan saksi itu masih boleh diadakan,” kata beliau.

Hakim Zaharah menggantikan Hakim Mohamed Apandi Ali, yang secara sukarela menarik diri daripada mendengar permohonan itu, selepas peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, membantah kehadiran beliau dengan alasan hakim itu mempunyai hubungan dengan Umno pada masa lampau.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Karpal Singh berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah supaya menetapkan pendengaran rayuan itu sebelum 31 Mei.

Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Mei sebagai tarikh bagi menyambung semula perbicaraan kes itu.

Anwar mahu pihak pendakwaaan memberikan kepada beliau kenyataan saksi Mohd Saiful kerana mendakwa terdapat perkara yang tidak konsisten antara keterangan Mohd Saiful dan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya.

Pihak pembelaan berhujah bahawa Mohd Saiful berkata perbuatan liwat yang didakwa berlaku itu dibuat tanpa kerelaannya tetapi Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan berkaitan hubungan seks secara rela.

Anwar mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan supaya menangguhkan perbicaraan kes itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk berbuat demikian pada 13 Mei.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Dalam hujahnya hari ini, Karpal Singh berkata perbicaraan itu akan menjadi sia-sia sekiranya Anwar berjaya dalam rayuannya dan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan ini tidak diluluskan.

Hujah beliau bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan kenyataan tersebut boleh dirayu telah dibantah oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat itu.

Mohd Yusof berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika berlangsungnya satu perbicaraan dan tidak boleh dirayu kerana ia adalah perintah muktamad. — Bernama

Ulasan GB

Walaupun Hakim Md Apandi Ali menarik diri dan digantikan dengan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim, namun seperti yang pernah GB nyatakan sebelum ini di SINI

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.


Dalam kes ini, belum pun sampai Mahkamah Persekutuan, baru Mahkamah Rayuan, dah ditolak.

Jadi hairankah kita bila hakim-hakim menolak permohonan Anwar ini?

Tiada ulasan: