28 Mei 2010

Negara Bangkrap Bukan Kerana Subsidi, Tapi Kerana Rasuah Dan Judi

Kelantan adalah kemuncak siri demonstrasi aman hari ini, yang diadakan bagi membantah langkah kerajaan meluluskan lesen pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi.

Selain Kelantan, empat negeri Melaka, Kedah, Perlis dan Selangor juga akan mengadakan demonstrasi seumpama itu hari ini.

“Kita memilih Kelantan sebagai kemuncak kerana kita akan mengadakan demonstrasi tersebut di pekarangan Masjid Repek, Bachok dalam kawasan Datuk Dr Awang Adek (Timbalan Menteri Kewangan).

“Kita mahu beliau bertanggungjawab dalam perkara ini dan pada masa sama mahu beliau meletakkan jawatan.

“Ini kerana beliau gagal memahami sensitiviti orang Islam dan rakyat yang mahu kelulusan lesen perjudian tersebut ditarik balik,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Demonstrasi akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Dengan kelulusan tersebut, pertaruhan secara sah boleh dilalukan sebelum kejohanan Bola Sepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Afrika Selatan berlangsung mulai 11 Jun hingga 11 Julai depan.

“Fokus kita tetap sama iaitu membantah kelulusan lesen judi, memberi kesedaran kepada masyarakat tentang implikasi judi dan mendesak kerajaan menarik balik kelulusan lesen judi tersebut,” kata Nasrudin.

Beliau berkata usaha-usaha membantah kelulusan lesen pertaruhan akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga kerajaan menarik balik lesen tersebut.

Minggu lepas lima negeri termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan telah mengadakan demontrasi sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai ini.

Nasrudin berkata setakat ini Dewan Pemuda PAS telah menyerahkan memorandum kepada mufti di negeri Johor dan Kedah.

“Kita telah menyerahkan memorandum kepada dua orang mufti setakat ini dan selepas ini kita akan serahkan memorandum kepada mufti yang lain pula.

“Kita akan menggerakkan Dewan Pemuda PAS di setiap negeri supaya memorandum tersebut dapat diserahkan kepada semua mufti,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mahu Perdana Menteri dan kerajaan pusat menarik balik lesen perjudian bola sepak dengan serta-merta.

“Ataupun setidak-tidaknya rujuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi ini, Nasharudin berkata beliau percaya kerajaan pusat di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya.

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi,” katanya.

Katanya, langkah kerajaan yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek bulan lalu, yang memberi lesen perjudian bola sepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita. -TMI


Judi bolasepak, rakyat terus protes...

Cuaca mendung dan hujan di beberapa tempat tidak menghalang Pemuda PAS hari ini menyambung semula demontrasi 'pemanas badan' membantah keputusan kerajaan meluluskan lesen judi yang dibuat sejak minggu lalu.

Kali ini, ia diteruskan di beberapa buah negeri lagi selepas solat Jumaat.

Minggu lalu, lima buah negeri - Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan - mengadakan bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Kemuncak bantahan hari ini di negeri-negeri adalah di rumah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin di Bachok sebelum bantahan besar-besaran di Istana Negara yang dijadual pada 3 Julai depan.

Di Kedah, kira-kira 1,000 orang termasuk pemimpin politik dan penyokong PAS membanjiri Dataran Zero di Sungai Petani bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan pemberian lesen judi.

'Tarik balik lesen judi'

Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Yahaya berkata demontrasi itu berlangsung selama 45 minit bermula jam 2.15 petang di mana beberapa tokoh PAS dan NGO turut hadir.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad berkata dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa PAS menentang keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan dan mendesak kerajaan menarik balik keputusannya itu.

Turut menyampaikan ucapan adalah Timbalan Speaker Izzat Shauki, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohamad Noor, Pengerusi Gerakan Mansuh Judi (GMJ) Nasir Zakaria dan wakil dari Teras Keupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid dan wakil dari PSM.

Turut hadir dalam bantahan tersebut dua orang ADUN iaitu Abdullah Jusuh (Pantai Merdeka) dan Yahya Abdullah bagi DUN Jeneri.

Menurut Ahmad, ada di kalangan hadirin juga membawa poster antara lain berbunyi "Kita Bantah Judi Bola".

Perhimpunan tersebut dikawal oleh kira-kira 10 anggota polis dan tiada kekecohan atau tangkapan dibuat, tambahnya.

Manakala di Perlis, lebih dari 500 orang termasuk penyokong parti berkumpul di perkarangan Masjid Putra Kangar melaungkan 'Tolak Judi' sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Ketua Pemuda PAS negeri Yaakob Abu Seman berkata bantahan tersebut berlangsung selama 40 minit bermula jam 1.50 petang, selepas orang ramai menunaikan solat Jumaat.

Rakyat benci judi

Mereka mengibarkan kain rentang antaranya berbunyi "Rakyat benci judi dan pemimpin judi".

Katanya turut hadir adalah beberapa pimpinan PAS negeri termasuk pesuruhjaya PAS Hashim Jasin dan beberapa pemimpin Pemuda PAS dan pemimpin mahasiswa.

"Kita harap pemimpin Umno dapat menarik balik pemberian lesen judi ini," katanya sambil menambah ucapan mereka itu diselangi dengan ucapan takbir dan reformasi.

Menurut Yaakob, seramai 10 orang polis berada di situ bagi mengawal perhimpunan itu yang diadakan tanpa sebarang kekecohan ataupun tangkapan.

Di Selangor bantahan yang sama dibuat di beberapa masjid dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Zaidy Abdul Mutalib mengetuai kira-kira 500 orang membantah kelulusan lesen judi di Masjid Country Home Selayang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Zaidy berkata bantahan tersebut berlangsung selama 30 minit bermula kira-kira jam 2.10 petang di perkarangan masjid berkenaan.

Katanya selain itu, terdapat dua lagi protes iaitu di Masjid Besar Kuala Selangor dan di Masjid Besar Batu 14 di Hulu Langat.

Bencana Allah

Dalam ucapannya, Ahmad Zaidy berkata judi itu adalah haram di sisi Islam kerana termaktub dalam surah al-Maidah ayat 90 yang meminta umat Islam menjauhi perbuatan tersebut.

Ini kerana, katanya, judi memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan mendedahkan kepada bencana Allah.

Menurutnya lagi, mereka juga turut mengibarkan dua kain rentang yang berbunyi "Judi bola tetap haram" dan "Katakan ya untuk bola, Katakan tidak untuk judi" serta poster yang bertulis "Kami main bola, bukan main judi".

Sebanyak 500 risalah membantah kelulusan kerajaan memberi lesen judi turut diedarkan kepada orang ramai.

Tiada kekecohan yang berlaku di masjid tersebut, kata Ahmad Zaidy yang juga ketua Pemuda PAS kawasan itu. -MK



Ulasan GB

Mutakhir ini heboh dikatakan tentang kemungkinan negara akan menjadi bangkrap jika kerajaan terus memberikan subsidi kepada rakyatnya.

Kenyataan Idris Jala baru-baru ini seolah-olah ingin mewujudkan justifikasi untuk kerajaan menaikkan harga barangan apabila subsidi ditarik balik nanti.

Sebenarnya, negara akan bangkrap bukan kerana pemberian subsidi. Tetapi negara akan menjadi bangkrap apabila tindakan Najib dan pemimpin UMNO yang mengundang kemurkaan Allah seperti meluluskan lesen judi dan seumpamanya.

Kebocoran di dalam sistem aliran kewangan negara akibat dari penyalahgunaan dana negara dan rasuah yang semakin menjadi-jadi semenjak "bapa judi" dan "bapa rasuah" menjadi perdana menteri. Dia digelar Bapa Judi kerana semua orang tahu bahawa PM tersebut telah meluluskan lesen-lesen judi, dan Bapa Rasuah kerana terbukti di dalam mana-mana PRK, beliau akan merasuah pengundi dengan pelbagai bentuk pemberian dengan ungkapan masyurnya "You help me, I help you!"


6 ulasan:

waksab berkata...

Satu gambar menceritakan seribu pengertian..namun puak2 tu memang tak reti mentafsir gambar dan juga undang-undang Islam yang nyata menolak judi dan arak.Selama 63tahun Malaysia bergelumang dengan judi dan segala hasilnya telah menjadi darah daging rakyat Malaysia membuatkan segala kehancuran sosial yg mengerikan telah terjadi di Malaysia.Mahukah kita menambah lagi kehancuran generasi kita yang akan datang?Fikir fikirkan lah...http://waksab.blogspot.com/

Ati berkata...

Negara bankrap kerana nak bela rakyat its ok.
Jangan bankrap kerana kerakusan pemimpin negara nak bikin projek mega untuk kaut untung poket sendiri.

sepatutnya kerajaan kena pikir lagi jalan macammana nak senangkan kehidupan rakyat dan pikir cara nak dapatkan pelaburan asing atau keuntungan negara tampa menjejaskan hak atau kepentingan rakyat.

SUARA RAKYAT KUNAK berkata...

Negara Bengkrap, kerana banyak beli Katak, sekaran pun masih cari lagi.

Tanpa Nama berkata...

can we make a deal?
hahaha

Tanpa Nama berkata...

Negara jadi bankrap kerana salah tadbir,rasuah dan pembaziran.Cuba kita hetong dengan teliti dari zaman Mahathir,Abdullah Badawi dan Najib akan rasuah dan pembaziran yang telah berlaku bermula dengan skandal BMB,Perwaja dan seterusnya hingga kepembelian kapal selam yang tak boleh menyelam ...termasuk penempatan anggota polis dalam 7 pilihanraya kecil untuk menakut-nakutkan pengundi...cuba hetong dengan teliti.Ini yang buat negara bankrab.3 perdana menteri ini menggunakan wang rakyat macam wang tu bapak mereka yang punya.Rakyat tidak sepatutnya disuruh berkorban dan dikorbankan.

Tanpa Nama berkata...

negara lingkup kerana diperintah UMNO dan BN