7 Mei 2010

Kenyataan Azhar Berbaur Perkauman, PR Lapor Polis

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang negeri berkenaan, Datuk Azhar Ibrahim kerana didakwa menghasut secara perkauman.

Koordinator Program Sekretariat, Syed Mikael Rizal Aidid berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu.

"Walaupun Azhar dibawa ke jawatankuasa khas dan hak istimewa negeri, kita tetap mahu siasatan polis dibuat," katanya selepas membuat laporan di balai Lebuh Pantai di sini, hari ini.

Syed Mikael berkata, tindakan ke atas Azhar perlu berikutan ia melibatkan perkara serius yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Turut menyertai rombongan membuat laporan itu ialah Ahli Jawatankusa Eksekutif Pemuda PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP, Teh Yee Cheu dan Koid Teng Guan.

Azhar didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam, ketika Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat ucapan penggulungan.


Bangkitkan 13 Mei:
Dato’ Azhar Cetus Ketegangan Kaum!


7 MEI 2010

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini akan membuat laporan polis untuk menyiasat kenyataan berbaur hasutan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, YB Dato’ Azhar Ibrahim dalam Sidang DUN semalam.

Beliau yang mendapat peluang mencelah untuk membahas Ucapan Penggulungan Ketua Menteri telah dengan penuh tidak bertanggungjawab, membangkitkan sentimen perkauman dengan memberi amaran kepada rakyat, 13 Mei akan berlaku jika rakyat menafikan peranan polis. Beliau juga seakan mengugut rakyat Pulau Pinang ini agar menerima tentera menjaga keselamatan mereka jika rakyat sudah tidak mahukan polis lagi, dan yang paling mengecewakan, beliau kata adalah lebih senang suasana Mageran diwujudkan kembali.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini juga mahu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak ke atas kenyataan YB Dato’ Azhar Ibrahim yang berbaur hasutan dan jelas sekali, ketua pembangkang itu telah melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.

Walaupun beliau telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan di atas sikapnya itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), tetap mahukan beliau disiasat dan dibawa ke muka pengadilan, kerana sidang DUN ini telah diikuti secara langsung oleh seluruh rakyat Pulau Pinang dan tindakan beliau ini dikhuatiri bakal menimbulkan ketegangan kaum.

Bagi Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), kami tetap menghargai akan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak Polis dalam menjaga keselamatan rakyat, namun dalam masa yang sama, mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan beliau, atas siri-siri kegagalan beliau dalam mengurustadbir pasukan polis dan menangani jenayah di negara ini.

Kami Yang Membawa Amanah Rakyat;
Angkatan Muda Keadilan
(AMK) Pulau Pinang

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memang UMNO perkauman