12 Apr 2010

Lagi Laporan Polis Terhadap APCO

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Mohammad Husain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh petang semalam mendesak siasatan dilakukan terhadap Syarikat APCO Worldwide dan pembabitannya dengan Kerajaan Malaysia.

Mohammad yang diiringi 30 penyokong Pas berkata, bantahan dibuat kerana beliau bimbang hubungan secara kontrak dengan syarikat Israel itu boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, beliau sedih apabila hubungan dengan syarikat terbabit dilakukan dalam keadaan umat Islam ditindas rejim ganas itu.

“Saya memohon siasatan terperinci terhadap APCO dan mereka yang berada di belakang syarikat itu kerana melalui hubungan tersebut, maklumat keselamatan negara diperolehi dengan mudah kerajaan haram Israel.

“Kita mahu mengetahui tujuan sebenar kemasukan syarikat itu ke negara kita, demikian juga dengan pembabitan rakyat Malaysia dalam perhubungan tersebut,” katanya.

Mohammad berkata, salinan perjanjian yang dimeterai pada 4 Ogos 2009 dilampirkan ketika membuat laporan polis semalam.

Katanya, kerajaan Malaysia tidak wajar berurusan dengan syarikat yang mana lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar Israel sedangkan negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Kerajaan katanya, seperti melanggar keputusan sendiri kerana Parlimen negara pernah mengadakan Sidang Khas bagi mengutuk pengepungan besar Israel ke atas Gaza serta menyekat kemasukan makanan dan ubatan.

“Syarikat APCO mempunyai rekod perjanjian dengan negara haram Israel, kita tidak perlu menjalinkan hubungan dengan syarikat itu,” katanya yang turut melampirkan salinan perjanjian yang membuktikan hubungan kerajaan Israel dengan APCO sebagai rujukan.

Beliau yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, APCO Worldwide Sdn Bhd yang beralamat berdaftar di Level 21-Suite 21.01, The Garden South Tower, Mid Valley, Lingkaran Syed Putra, 59200 Kuala Lumpur terlibat dalam perjanjian perkhidmatan iaitu ‘to provide public relatons, daily managememts and goverments relations outreach for Goverment In United States...’.

“Kita bimbang hasil perjanjian itu akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada akses negara luar,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis, di sini semalam. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau tak ada siapa bentangkan di parlimen tentu perkara ini akan berterusan!!