12 Apr 2010

Keluarga Teoh Akan Fail Usul Hina Mahkamah Oleh Nazri

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock mungkin mengambil tindakan lanjut dengan memfailkan usul menghina mahkamah ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz selepas menyifatkan keterangan Dr Pornthip Rojanasunand sebagai ‘berbohong’.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang juga peguam untuk keluarga Teoh berkata tindakan itu mungkin diambil pada 20 April ini apabila inkues bersambung semula.

Nazri dalam kenyataan semalam melabelkan Dr Pornthip sebagai pembohong selepas pakar patologi Thailand itu mendakwa berdepan dengan ‘tekanan politik’ daripada kerajaan Malaysia berhubung pembabitannya dengan inkues itu.

"Adakah Nazri mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya itu? Jika tidak, bukankah kenyataannya itu bersifat menghina mahkamah?" soal Lip Eng.

Ahli Parlimen DAP itu juga telah memfailkan notis mengikut Peraturan 18(2) bagi mendebatkan dakwaan Pornthip di Dewan Rakyat sebagai sesuatu yang mempunyai kepentingan umum.

“Rakyat berhak mengetahui jika ada kebenaran dalam dakwaan itu.

Mengapa dia dihalang daripada memasuki Kelantan awal tahun ini? Ancaman yang macam mana negara ini akan terdedah jika dia dibenarkan masuk? Adakah dia seorang pengganas atau perisik asing?” soalnya.

Seorang lagi peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo mahu penjelasan diberi oleh Nazri ekoran mengeluarkan tuduhan sedemikian.

Malah beliau menuntut Nazri mengemukakan bukti di mahkamah kelak.

"Saya cabarnya supaya tampil jika dia mempunyai bukti bahawa Pornthip telah menipu dalam pengakuannya ketika inkues,”

“Jika Nazri gagal membuktikan tuduhan itu, kita akan bertindak.

Satu cara ialah mengenakan usul menghina mahkamah ke atas Nazri.

Kita akan putuskan tidak lama lagi menjelang 20 April ini.” katanya. -FMT


Tiada ulasan: