27 Apr 2010

Keterangan Dr Vanezis,Dr Pornthip perlu dibanding – Gobind

Pakar patologi British Profesor Dr Peter Vanezis selesai memberi keterangan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock hari ini tetapi pihak peguam mewakili keluarga mendiang meragui beberapa keterangan beliau dan akan membandingkan bukti dari pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, kenyataan yang diberikan oleh Peter Vanezis perlu disemak semula bersama bukti yang dikeluarkan oleh Dr Pornthip kerana ia meragukan pihak keluarga mendiang.

"Saya bersama peguam yang lain akan menilai semula kenyataan yang disampaikan oleh Dr Vanezis dengan bukti yang akan dilampirkan oleh Dr Pornthip."Kami peguam perlu memberi kepastian mengenai kenyataan yang dinyatakan oleh Dr Vanezis agar mencapai keputusan terbaik menyelesaikan kes Teoh," katanya.

Menurutnya lagi, kesimpulan yang diberikan oleh Dr Vanezis merupakan tafsiran daripada seorang individu dan perlu ada penilaian daripada pihak lain agar dapat dibandingkan.

Pakar patologi British itu semalam telah membuat laporan di balai polis Shah Alam jam 11.00 malam tadi susulan menerima emel ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab mengugut membunuh beliau dan keluarga.

Dr Vanezis menyatakan emel yang diterima membuatkan beliau dan seluruh keluarga terancam dan meminta agar perkara sedemikian tidak akan berlarutan.

Dr Vanezis dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Dr Pornthip dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, bagi menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.

Dr Vanezis mula memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh semalam dan selesai sepenuhnya tengahari ini.

Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.


Ugutan Ke atas Dr Peter Vanezis, Polis Harus Siasat Emel

SHAH ALAM 27 APR: Peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo mendesak polis menjalankan siasatan terhadap emel berbaur ugutan yang diterima pakar forensik british, Professor Dr Peter Vanezis.

Beliau berkata bukan sahaja Dr Vanezis bahkan, pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang mewakili keluarga Beng Hock turut menerima ugutan sedemikian sehingga beliau enggan datang ke Malaysia untuk memberi keterangan.

Vanezis menerima ugutan itu selepas memberikan keterangan untuk kali pertama dalam Inkues Menyiasat Punca Kematian Beng Hock.

Vanezis kemudian membuat laporan di balai polis Seksyen 11, Shah Alam malam tadi kerana bimbang akan keselamatannya.

Ketua Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan ugutan itu kepada inkues yang disambung hari ini.

Tiada ulasan: