15 Apr 2010

Kerajaan Tak Perlu Berdalih Jamin Keselamatan Pornthip

Kerajaan wajar memberi jaminan terhadap keselamatan pakar patalogi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasanand dan seterusnya menyiasat dakwaan bahawa beliau mendapat tekanan dari kerajaan Malaysia supaya tidak hadir inkues kematian Teoh Beng Hock pada 20 April depan.

Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dakwaan dan pendedahan pakar berkenaan sebelum ini menunjukkan wujud tekanan ke atasnya sehingga menjejaskan tumpuan dan pergerakan beliau.

"Kenyataan Menteri Dalam Negeri memberikan jaminan terhadap keselamatan Dr Pornthip, tetapi diletakkan syarat supaya membuktikan dahulu tuduhan ke atas beliau. Perkara ini telah pun dinyatakan Dr Pornthip sebelum ini bagaimana beliau diganggu dan dihalang memasuki Malaysia," ujar Saifuddin.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini yang meminta Dr Pornthip mengemukakan apakah ancaman yang dihadapinya supaya kerajaan dapat mengambil tindakan untuk menjamin keselamatan pakar patologi itu.

"Kerajaan perlu beri jaminan yang jelas dan berterus terang, kalau menteri berkenaan mempunyai niat yang betul-betul ikhlas beliau perlu membantu untuk permudahkan peranan Dr Pornthip hadir dalam inkues berkenaan.

"Kita mengulangi gesaan supaya kerajaan beri jaminan keselamatan kepada pakar ini. Selepas beliau (Dr Pornthip) beri keterangan, beliau boleh balik semula ke Thailand," kata Setiausaha Agung KEADILAN itu.

Dr Pornthip sepatutnya memberi keterangan pada inkues kematian Beng Hock 20 April ini dan dijangka akan disoal siasat mengenai penilaiannya terhadap bedah siasat mayat mendiang.

Beliau sebelum ini mendedahkan terdapat kesan pembunuhan ke atas Beng Hock berdasarkan pemerhatiannya.

Kebimbangan mengenai keselamatannya bermula pada November tahun lalu apabila beliau mendakwa diekori sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Pada 11 April lalu, Dr Pornthip mendedahkan beliau dihalang daripada masuk ke Kelantan sewaktu urusan rasmi melalui sempadan Thai-Malaysia bulan Januari tahun ini dan menyifatkannya sebagai salah satu "isyarat" tekanan yang dikenakan ke atasnya. -SK

Tiada ulasan: