25 Mac 2010

Juruterbang Terbunuh Pesawat TUDM Terhempas Di Hutan Sintok

Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dipandunya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, kira-kira pukul 10.15 pagi Khamis.

Juruterbang pesawat itu, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, jurulatih di Kolej Penerbangan TUDM Alor Setar, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut kenyataan media Kementerian Pertahanan, pesawat tersebut berlepas dari pangkalan TUDM Kepala Batas, dekat Alor Setar pukul 10.03 minit pagi untuk tujuan latihan apabila kejadian itu berlaku.

Jenazah Mejar Muhammed Zulrihan ditemui pasukan mencari dan menyelamat TUDM berdekatan pesawat yang terhempas dan dibawa keluar dari hutan menggunakan helikopter S61A-4 Nuri.

Jenazahnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk dibedah siasat, kata kenyataan itu.

Allahyarham yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, meninggalkan seorang balu, Wizana Abdul Ghani dan tiga orang anak. Allahyarham menyertai TUDM pada 25 Februari 1991 dan berkhidmat sebagai jurulatih penerbangan di kolej itu sejak 1 Januari 2008.

Menurut kenyataan itu, TUDM telah menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud dan seluruh warga TUDM mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak serta semua ahli keluarga Allahyarham.

"TUDM amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh wira TUDM ini dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara," kata kenyataan itu. — Bernama


Detik akhir pesawat Pilatus disaksi pelajar UUM

Detik akhir pesawat Pilatus PC-7 Mark II milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejurus sebelum terhempas di kawasan hutan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mengorbankan juruterbangnya, Mejar Muhammed Zulrihan Jusoh, pagi tadi disaksikan ratusan pelajar yang menghadiri Karnival Konvokesyen Ke-23 universiti itu.

Rakaman video menggunakan telefon bimbit yang diperoleh Berita Harian Online daripada seorang pelajar UUM, menunjukkan pesawat kendalian Allahyarham Muhammed Zulrihan menjunam sambil berpusing-pusing di luar kawalan selepas melintas ruang udara Kompleks Sukan UUM dan melakukan aksi aerobatik pendakian menegak.

Pelajar terbabit yang pada mulanya bersorak gembira kerana menyangka aksi itu sebagai sebahagian daripada pertunjukan udara, tergamam apabila pesawat berkenaan tidak muncul selepas melewati perdu pokok di kawasan hutan itu, diikuti beberapa letupan dan kepulan asap hitam di udara.

Ketika kejadian, pengacara majlis masih lagi membacakan butiran pertunjukan udara itu manakala sebilangan pelajar yang menyedari pesawat malang itu sudah terhempas mula bergegas ke kawasan nahas.

Suasana yang sebelum itu ceria lantas bertukar cemas apabila ramai pelajar, khususnya wanita, menyedari mereka baru saja menyaksikan tragedi yang mengorbankan nyawa juruterbang TUDM. -BH Online




1 ulasan:

asmidahmuhidin berkata...

Hasil siasatan kotak hitam tu mcm mna? Apa penyebab nahas tu... Baru tau pasal tragedi ni, pensyarah cerita..