14 Mac 2010

Hujan Beri Rahmat Kepada Petani

Hujan yang turun mencurah selepas majlis solat Istisqa diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi kelmarin memberi rahmat kepada petani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kejadian hujan itu telah kembali menyuburkan tanaman petani yang kontang sejak sebulan lalu.

“Kejadian ini adalah satu perkara aneh kerana Jabatan Kaji Cuaca meramalkan hujan hanya akan turun selepas dua bulan, bagi kami ianya doa orang mukmin yang dimakbulkan.

“Mereka yang paling gembira pada saat ini adalah golongan petani yang terjejas teruk pertumbuhan tanaman mereka sejak sebulan lalu terutamanya tanaman padi yang menjadi kontang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Terdahulu beliau merasmikan program motivasi remaja Jajahan Tumpat di Sekolah Menengah Agama Arab Mehelliah, Getting.

Che Abdullah berkata, sebagai orang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian negeri ini, beliau turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur beban yang ditanggung oleh golongan petani telah terurai dengan kejadian hujan ini.

Katanya, sebelum ini beliau menerima banyak aduan daripada petani tentang masalah kekurangan air yang menjejaskan tanaman mereka, namun tiada jalan penyelesaian sehinggalah Nik Aziz mengumumkan untuk mengadakan solat Istisqa meminta hujan.

“Bila Nik Aziz membuat pengumuman, saya cukup gembira apatah lagi dalam keadaan rakyat yang memberi sokongan padu kepada ikhtiar Kerajaan Negeri untuk mengadakannya.

“Kejadian hujan ini membuktikan bahawa doa umat Islam telah dimakbulkan dengan meminta kepadaNya berbanding usaha manusia sendiri untuk menangani perkara itu,” katanya.

Dalam pada katanya, beliau bertambah yakin Kerajaan Negeri akan mendapat royalti minyak kerana orang yang berdoa untuk meminta hujan juga adalah orang sama yang meminta agar Kelantan mendapat apa yang menjadi hak mereka.

“Sebagai umat Islam, kita perlu yakin dengan kuasa tuhan, dan doa daripada orang yang sama ini juga berkemungkinan besar akan dimakbulkan untuk Kelantan menerima royalti minyak,” katanya. -SH


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah, doakan juga UMNO tumbang dan malaysia diperintah oleh orang beriman yang adil dan ikhlas

Tanpa Nama berkata...

tapi pemerintahan najib/UMNO beri kezaliman kepada rakyat