19 Mac 2010

14 Mei Untuk Keputusan Permohonan Khairy Ketepi Penghakiman Ingkar DSAI

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan mengetahui pada 14 Mei ini berhubung permohonannya untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang itu.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi A. Kaveetha menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas berjumpa peguam Anwar S.N.Nair dan Wan Anuar Shaddat dan Badrul Munir Bukhari mewakili Khairy dalam kamarnya hari ini.

Nair memberitahu wartawan bahawa mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak menyerahkan ikatan nas undang-undang kepada mahkamah pada 14 April ini.

Pada 4 Dis, 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila beliau gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Khairy memfailkan permohonan pada 20 Feb, 2009 untuk mengenepikan perintah itu.

Anwar, 63, menfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 kerana dakwaan Khairy pada ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengucapkan dan telah menyebabkan penerbitan di laman sesawang termasuk malaysiakini.com. satu rakaman klip video bersama sebuah artikel bertajuk "Anwar and kin no threat".

Anwar mendakwa rakaman klip video itu dalam Malaysiakini mengandungi kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Feb 2008.

Beliau berkata kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud beliau terlibat dengan aktiviti berlawanan dengan Islam, tidak mempunyai akhlak mulia dan tidak sesuai memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.

Beliau memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, teruk, teladan, kos dan lain-lain relif oleh mahkamah. -Bernama



Tiada ulasan: