10 Jan 2010

Umno Kikis Sifat Hormat Ugama Punca Serangan Gereja

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kejadian serangan membakar gereja kelmarin berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri.

Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

"Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti (tahu) gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

"Sama juga arak kepala lembu, melukakan hati orang India (Hindu), ini berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh Umno, ini kita dukacita," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang tadi.

Selain itu, hilangnya sensitiviti tersebut juga, jelasnya telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya, berlaku dalam negara kita.

Umno, jelasnya telah menghilangkan sensitiviti tersebut dari hati orang Melayu apabila membezakan ajaran agama Islam dengan politik dengan berpendirian agama lain, politik lain.

"Sebab itu lah menteri rasuah, orang kampung rasuah, parti-parti rasuah hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja, mana boleh jual kalau tidak ada rasuah,"
jelasnya lagi.

Di dalam ucapan penutupnya sebelum itu, beliau mengingatkan seluruh pimpinan dan jentera PAS meneruskan usaha memberi penerangan kepada masyarakat selaras dengan tugas yang dipikul oleh Nabi-nabi.

Beliau mengakui ianya bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan bermacam halangan.

Apatah lagi, ianya sesuatu yang boleh dianggap baru dan bertentangan dengan apa yang dibawa zaman penjajahan Inggeris.

"Kerja PAS hari ni memang buat kerja baru, yang (zaman) Inggeris dulu tidak buat, Umno dia (hanya) sambung kerja buat Inggeris," katanya. -harakahdaily video : TVS



2 ulasan:

tok iskandar berkata...

x dapat tidak suruhanjaya di raja wajar ditubuhkan.Pakatan Rakyat wajar hantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong memohon diadakan suruhanjaya di raja menyiasat dari mula mahkamah tinggi benarkan penggunaan kalimah Allah hinggalah kepada insiden gereja dibakar.Penyiasatan juga harus berkisar kepada kriteria pemilihan hakim dalam kes kalimah Allah,siapa dalang demo,media yang memainkan isu ini dan kegagalan pihak polis mengawal keselamatan di gereja yang sehingga kini kalau dicampur dengan 10 gereja pada hari ini seperti dilaporkan malaysiakini berjumlah 14 gereja yang dibakar atau cuba dibakar.

Paling penting anasir jahat yang bakar gereja tu cuba jadi batu api melaga-lagakan bukan Islam dengan orang Islam.Menteri dalam negeri,Ketua hakim Negara dan Ketua Polis Negara perlu menjawab di parlimen dan juga kepada rakyat.PAC perlu bertindak segera dan majlis raja-raja Melayu juga perlu dimaklumkan.Tok heran kenapa najib enggan membawa perkara ini kepada Majlis Raja-raja Melayu.Apakah benar jika Yang Di Pertuan Agong merasakan jika najib tidak cekap atau tidak mampu mengetuai pentadbiran negara,beliau boleh digantikan dengan undi tak percaya dikemukakan kepada beliau di parlimen.tentu ramai pemimpin di dalam UMNO berminat nak jadi PM.Apakah kedudukan najib sebagai PM tidak lagi selamat dan bagaimana jika musuh politiknya di dalam umno cuba mengintai peluang ini.

Tanpa Nama berkata...

UMNO mengamalkan perkauman berbeza dengan Pas dan pakatan rakyat