12 Jan 2010

Tiada Nas Halang Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Islam

Sepuluh hari yang pertama tahun ini kelihatan tegang dengan isu penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar mingguan Katolik, Herald yang dibenarkan oleh mahkamah dan disusuli dengan lapan insiden menyerang rumah ibadat masyarakat Kristian di seluruh negara.

Meskipun tidak dapat dinafikan isu penggunaan kalimah sudah lama berlarutan tetapi penyertaan di Dewan Himpunan Cina Selangor di ibu negara malam tadi, dalam lingkungan 1,500 orang, membuktikan rakyat negara sudah mempunyai semangat untuk berdialog, berbincang dengan mendengar isu sensitif dengan tenang.

Forum yang membincangkan tajuk “Allah: Siapa Yang Punya”, walaupun ketepatan tajuk ini dipertikaikan dua daripada tujuh panelis, tetapi peserta daripada kalangan pelbagai agama dan kaum, majoritinya golongan muda, menunjukkan sikap terbuka dan kematangan mereka mengikut forum berkenaan.

Di sebalik tepukan menyambut baik pandangan para panelis, hadirin juga nampaknya menerima pandangan dikemukakan tanpa sebarang perasaan emosi walaupun adakalanya diajukan soalan provokasi oleh panelis dan hadirin. Terima kasih kepada penganjur dan pengerusi forum Faridzul Nasaruddin yang dari awal-awal lagi, malah kerap kali memberi peringatan agar menganggap pertemuan malam tadi sebagai satu forum terbuka untuk membincangkan isu semasa iaitu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam khususnya masyarakat Kristian Katolik.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Azwira A. Aziz mengakui imej Islam terjejas sedikit dengan kejadian serangan ke atas gereja sejak minggu lalu.

Beliau mengandaikan sedemikian ekoran maklum balas yang diterima dari dalam dan luar negara.

Pun begitu kata beliau, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Dis lalu memihak kepada akhbar Herald kerana pasukan peguam yang mewakili Kementerian Dalam Negeri ataupun kerajaan telah gagal dalam menyenaraikan bukti-bukti yang menunjukkan bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah “Allah”.

Kata Azwira, beliau berpendapat hakim terbabit telah membuat keputusannya berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh barisan peguam.

Tiada bukti nas yang jelas... jika peguam pihak defendan dapat mengemukakan bukti-bukti bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah, saya sudah pasti keputusan memihak kepada Islam,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa penggunaan kalimah “Allah” akan menyebabkan kekeliruan di kalangan orang Islam, Azwira menambah, perkara ini perlu dibuktikan dengan kajian yang terperinci.

Malah kata beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh beliau menunjukkan situasi seperti itu tidak wujud termasuk di Sabah dan Sarawak, yang gereja di kedua-dua itu menggunakan Bahasa Malaysia untuk upacara di premis masing-masing.

Sebaliknya kata beliau, maklumat yang diterima menunjukkan lebih ramai rakyat di Sabah dan Sarawak yang menganut Islam sejak kebelakangan ini.

“Ini (wujudnya kekeliruan) andaian sahaja... kalau ada kajian yang betul yang mengatakan orang Islam murtad, kita boleh terima,” katanya.

Mengenai cadangan dialog antara agama, Azwira bersetuju jika diadakan tetapi biarlah dalam skala yang kecil dan terhad.

“Misalnya keanggotaannya terdiri daripada mereka yang betul-betul berkelayakan,” kata beliau ditemui The Malaysian Insider selepas forum berakhir.

Semalam bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata, “Apa salahnya jika kita akan tubuhkan satu badan atau mekanisme yang dibiayai oleh kerajaan untuk membolehkan wakil semua agama duduk berbincang di mana segala hal yang rumit dan yang menjadi masalah serta isu pertelingakahan dapat dibincangkan secara ilmiah dan tertutup.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, antara pemimpin PAS yang menjadi sasaran kumpulan yang menentang keputusan mahkamah tempoh hari mengulangi pendirian beliau sebelum ini.

Justeru kata beliau, isu semasa ini harus dilihat secara terbuka dari sudut kepentingan berdakwah bukannya mempersoalkan sama ada orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” semata-mata.

Pemimpin PAS ini menambah, oleh kerana Islam tidak melarang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, dan sekiranya ia digunakan oleh mereka sudah pasti ia akan memudahkan proses mendakwah di negara ini dalam panjang.

“Ini yang saya tekankan... soal dakwah. Di mana jika bukan Islam menggunakan kalimah, lagi ramai menggunakan kalimah Allah, ia akan memudahkan proses dakwah kita... sangat mudah, sangat jelas,” kata beliau yang berulang kali menekankan bahawa punca kepada masalah asas ini ialah sikap dan dasar Umno selama ini.

“Ia menjadi usaha yang digolak oleh Umno,” kata beliau yang gambarnya dipijak ketika demonstrasi di Selangor Jumaat lalu.

Pun begitu ada juga peserta yang kecewa kerana forum malam tadi tidak dihadiri biskop Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam dan bekas mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sebagaimana dihebahkan.

Ada juga peserta yang bertanya mengapa ahli politik dari parti lain tidak dijemput.

Penganjur menjelaskan pihaknya sememangnya ada mengajukan jemputan beberapa pihak lain tetapi mereka tidak kesempatan menghadiri forum ini.

Eddin Khoo, seorang penyair, penulis, penterjemah dan budayawan yang terkenal pula berkata, walaupun negara sudah lama merdeka pemikiran sebahagian rakyat masih di paras lama, dilihat sebagai salah satu punca kepada masalah semasa.

Malah beliau juga menyelar apabila ada hadirin mempersoalkan sama ada penganut Buddha dan Hindu juga pada satu hari nanti akan membuat tuntutan untuk menggunakan kalimah “Allah”.

“Saya agak risau apabila kita meleretkan isu penggunaan kalimah Allah dengan penganut agama lain.

“Kita kena membezakan isu yang hadapi sekarang. Bagi saya soalan itu tidak harus timbul, tidak harus dikaitkan dengan isu lain,” kata beliau sambil menambah, masalah semasa secara tidak langsung berkaitan dengan masalah tiadanya keyakinan diri di kalangan masyarakat negara ini.

“Malah masalah ini wujud di negara lain seperti Amerika Syarikat,” katanya.

Oleh itu syor beliau, masyarakat perlu digalakkan untuk mengetahui agama-agama lain secara mendalam tanpa memencilkan diri mereka daripada pengetahuan tentang agama lain.

Dr Mohd. Farid Mohd Shahran dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa berpendapat soal yang perlu diberi penekanan ialah aspek penterjemahan perkataan Tuhan dan Allah bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

“Kita tidak harus lari dari isu sebenarnya. Bagi saya apa yang disuarakan oleh orang Islam ada asasnya walaupun ada yang mengambil kesempatan daripada isu ini.

“Isunya bukan soal monopoli, siapa yang hendak menguasai kalimah Allah. Kalimah Allah sudah sebati dengan umat Islam dan ia membawa makna yang berbeza.

“Oleh itu isunya sekarang ialah soal penterjemahan,” kata beliau yang berpendapat tajuk forum “Allah: Siap Yang Punya” tidak sesuai dengan isu semasa yang timbul.

Turut mengambil bahagian dalam forum ini sebagai ahli panel ialah aktivis Hasmi Hashim, pendakwah Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Shah Kirit Kakulai Govindji dan Dr Khalif Muammar A. Harris dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma). -MI

6 ulasan:

Bah Lontok berkata...

Bah sangat menyokong pendirian pemimpin2 PAS terutamanya Tn Guru Hj Nik Aziz berkenaan sokongan terhadap kejayaan perjuangan 'Herald the Catholic Weekly'.

Terlalu lama perkara perjuangan ini untuk diselesaikan, setelah selesai dengan keputusan Mahkamah membenarkan 'Herald' mengunakan perkataan "ALLAH" dan juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu, banyak pehak pula yang menentang nya sampai ada yang bom atau bakar gereja.

Hanya Pemimpin2 PAS sahaja yang nampak bersetuju. Maka dengan ini pehak pendakwah Catholic akan lebih memudahkan tugas2 dakwah nya dikalangan kaum kami. Ada kemungkinan lebih ramai yang minat agama Catholic kerana ianya dianggap lebih kurang sama saja dengan Islam, bahkan ianya lebih senang kerana tidak banyak yang perlu dipelajari.

Selain dari itu bab makan minum pun tidak berubah boleh makan dan minum semua nya. Kerana tidak ada halal atau haram dalam segi pemakanan. Kejayaan 'Herald' ini akan memberi kan lebih ramai kaum asli memeluk agama Catholic.

Tanpa Nama berkata...

UMNO saja yang tak yang tak matang dan tidak releven...

Tanpa Nama berkata...

1Bukan Islam Tidak Berhak-Dr Khalif Muammar
2Penggunaan Kalimah Allah Yayasan Sofa
3Antara Nama dan Hakikat-IKIM
4HUJAH MENOLAK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH-JAKIM
5Antara Celaru Dan Keliru
6Isu Kalimah Allah - Dr. Siddiq Fadzil
7Keputusan Majlis Fatwa : Penggunaan Kalimah Allah
7Kufur Jika Sokong Guna Kalimah Allah - Haron Din

Abu Rafiq berkata...

Salam,
Isunya ialah "Permohonan menggunakan nama Allah sbg ganti perkataan GOD(Konsep Trinity)di dalam PENERBITAN VERSI MELAYU(tidak versi lain)" yg pastinya bermotif mengembang dan menyebar dakyah kristianisasi kepada umat Melayu tidak kp bangsa lain. Hukum syarak secara umum haruskan bkn islam guna NAMUN perlu diingat sebagai pemerintah Islam WAJIB menjaga unsur2 yg berpotensi merosakkan akidah umat Islam. Enakmen Majlis Agama Islam Negeri-negeri Persekutuan JELAS melalui Enakmen Pengawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Melayu Islam MENGHALANG penggunaan beberapa kalimah atau perkataan yg digunapakai oleh umat Melayu Islam oleh bukan Islam yang boleh menyelewengkan Akidah Melayu Islam yang cetek pengetahuan agamanya. So, inilah KEUTAMAAN MENGHALANG sehingga telah diEnakmenkan. Siapa yang untung, bukankah anak cucu islam kita akan datang? DAN sekiaranya kes tuntutan ini memberi kemenangan kepada Pihak Gereja Katholik bermakna ENAKMEN SYARIAH NEGERI-NEGERI AKAN TERBATAL DAN KUASA AGAMA SULTAN AKAN HILANG disebabkan kedudukan Mahkamah Persekutuan Lebih Tinggi dari Mahkamah Syariah Negeri-Negeri. So, apakah saudara-saudara gagal memahami isu ini? Jangan menang sorak AGAMA tergadai & fahamilah kelicikan Yahudi dan Nasrani untuk hancurkan Islam.

Tanpa Nama berkata...

Anon 2.46, Jangan gunakan pandangan beberapa ulamak, gunakan keputusan mesyuawarah seperti yang ditetapkan oleh PAS dan PKR.

Tanpa Nama berkata...

yang ada hanya ucapan pemimpin UMNO menjadi ikutan UMNO..