30 Jan 2010

Pro M UM desak NC adakan pilihan raya semula

Kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Malaya (Pro M UM) mendesak supaya diadakan semula pilihan raya kampus (PRK) melalui kaedah biasa, ekoran kegagalan sistem e-undi itu beroperasi dengan baik hari ini.

Pengerusi Pro M UM Mohd Shafie Hashim berkata, keputusan pilihan raya yang diumumkan sejak 7 petang tadi di kampus tersebut yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pro Aspirasi bukanlah sesuatu yang mutlak.

"Kami bantahan ke atas keputusan itu. Selepas diumumkan keputusan itu pada jam 7 petang tadi, ada ruang untuk buat bantahan. Keputusan rasmi akan berhubung bantahan itu akan diketahui pada jam 11 pagi esok," kata beliau ketika dihubungi erapakatan.com di sini, sekitar jam 1:30 pagi ini.

Ketika tempoh bantahan itu dibuka, tambah beliau, kumpulan mahasiswa itu tidak menumpukan hal keputusan PRK itu, sebaliknya ia masih tertakluk ke atas isu pelaksanaan sistem e-undi yang gagal beroperasi dengan baik sejak petang tadi.

"Dalam bantahan tadi kami tak tumpukan sangat kepada keputusan yang memihak kepada Pro Aspirasi. Kami masih membantah e-undi yang banyak meragukan sepanjang tempoh pembuangan undi sepanjang hari ini.

Berkumpul di depan pejabat Naib Canselor

"Selepas keputusan diumumkan jam 7 petang tadi, kami buat bantahan, berkumpul ramai-ramai di depan pejabat NC. Sebab, beliau mendakwa bahawa sistem e-undi ini akan berjalan dengan baik.

"Tapi, apa yang berlaku tadi ialah 'server down' di beberapa tempat. Dan ada beberapa orang mahasiswa yang terkeliru ketika buang undi tadi," kata Mohd Shafie lagi.

Selain itu, tambah beliau, peratusan mahasiswa yang turun membuang undi hari ini amat mendukacitakan.

"Jadi kami ubah pendekatan bantahan kepada meminta penjelasan Naib Canselor tentang kejadian 'server down' sejak tadi. Kalau boleh, kita desak NC supaya diadakan pilihan raya semula seperti kaedah biasa.

"Kaedah e-undi memang membawa masalah dan keraguan seperti yang berlaku sejak petang tadi," kata Mohd Shafie. -erapakatan


Keputusan p'raya kampus UM digantung
- Malaysiakini

Selepas rundingan lebih empat jam hari ini, Universiti Malaya mengambil keputusan untuk menggantung sementara keputusan pilihan raya kampusnya yang diumumkan semalam.

Menurut bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, keputusan itu dipersetujui bersama oleh naib canselor, Ghauth Jasmon dan kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M).

Ghauth juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus diadakan semula.

Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.

Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.

Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.

Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.
Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas semalam mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Suasana tegang menyelubungi kampus UM sejak malam semalam dan pagi tadi apabila ratusan mahasiswanya berarak dari Dewan Tunku Canselor ke pejabat Canselori.

Mereka berang selepas tewas tipis pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam dan mendakwa berlakunya penyelewengan.

Mahasiswa berkenaan memakai lilit kepala putih dengan tertera perkataan 'bantah' dalam tulisan merah.

Mereka berjaya menyerbu serta mengepung pejabat Canselori dan memaksa perjumpaan dengan Ghauth.

Pada awalnya, ketegangan memuncak apabila pelajar mahukan dialog terbuka tetapi ditolak oleh naib canselor.

Sebaliknya, Ghauth mencadangkan perjumpaan tertutup dengan sepuluh wakil yang dipilih oleh pelajar berkenaan.

Cadangan itu dipersetujui dan rundingan diadakan sebelum ia ditangguhkan pada jam 1 petang tadi untuk solat Jumaat dan disambung semula selepas itu.

Turut berada di lokasi adalah kumpulan mahasiswa dari kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) yang berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO dan BN nak tipu dalam semua perkara, rakyat dah tak bodoh

Tanpa Nama berkata...

menteri UMNO memang buat kerja penipu

Tanpa Nama berkata...

pilihanraya umum di malaysia pun patut diadakan segera