28 Dis 2009

SPR Perlu Buktikan Dulu Kes Dakwat PRU-12 - MAFREL

Badan bebas Pemantauan Pilihan Raya (Mafrel) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan bukti yang menyokong tindakan suruhanjaya itu menarik balik pelaksanaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Alhabshi berkata, pendedahan tersebut perlu dibuat bagi menangkis tanggapan negatif rakyat terhadap SPR berulang.

“Tindakan menarik balik pelaksanaan dakwat kekal diketahui oleh semua rakyat, jadi SPR perlu telus dan membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, Mafrel sentiasa bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal itu bagi mengelakkan bilangan pengundi yang layak bertambah pada hari pengundian.

“Mafrel kecewa dengan SPR ketika itu dan berharap agar dakwat kekal digunakan pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, Pas menggesa SPR mendedahkan kebenaran berikutan dakwaan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat khas (kekal) untuk tujuan pilihan raya secara haram hingga menyebabkan suruhanjaya itu terpaksa membatalkan penggunaannya pada PRU-12.

Pas turut menyatakan SPR berbohong dan membazirkan wang rakyat bernilai RM 2.4 juta bagi tujuan itu untuk lakonan yang sengaja dicipta bagi menafikan tuntutan rakyat melalui Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mahu dakwat kekal digunakan. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SPR dan SPRM parti komponen BN...