22 Nov 2009

Husam Tak Letak Jawatan, Hanya Utusan Yang Menggatal

Datuk Husam Musa menyifatkan laporan muka depan sebuah akhbar mingguan hari ini mengenai khabar angin yang beliau berhasrat meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan sebagai satu 'gurauan' media.

Malah Husam berkata, tidak ada apa yang perlu beliau nafikan mengenai laporan tersebut kerana isu itu langsung tidak berbangkit.

"Bagaimana saya nak nafi atau nak sangkal, sedangkan ia tidak wujud.

"Kalau benda (isu) itu ada bolehlah saya nafi, ini tak ada... jadi tak boleh nak nafilah," katanya kepada mStar Online hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini dalam laporan muka depannya menyebut, Husam mahu melepaskan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri tetapi keputusannya tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS,yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut laporan itu lagi, Nik Aziz sebaliknya dikatakan memberi cuti selama lima hari kepada Husam untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Isu mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan itu dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang menyaksikan pemecatan pegawai perhubungan korporatnya, Syed Azidi yang lebih dikenali sebagai bloger kickdefella selepas berlaku dakwaan dan tuduh menuduh berhubung penyalahgunaan kuasa menantu Nik Aziz yang juga ketua pegawai operasi PMBK, Abdul Ariffahmi Rahman.

Dakwaan itu telah mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan ke atas PMBK. Dan Husam dikatakan tidak berpuashati dengan pemecatan Syed Azidi.

Sumber akhbar berkenaan juga menyebut dalam tempoh cuti tersebut, Husam akan menjalani pembedahan tulang belakang yang ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Husam berkata: "Cuti? Cuti apa pula? Saya tak tahu apa-apa pun, nampaknya sumber akhbar berkenaan lebih tahu daripada saya.

"Mengapa pula nak bedah tulang belakang saya? Bukannya ada bengkok... Alhamdulillah saya sihat saja."

Jelas Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan itu lagi, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai arahan cuti oleh Nik Abdul Aziz seperti yang dilaporkan itu.

"Saya tak tahu, hari ini kalau tak silap Tok Guru (Nik Abdul Aziz) ada majlis, kamu pergi tanya beliau sendiri... kalau tak dapat, pergi tanya pihak akhbar berkenaan.

"Buat masa ini saya tak bercuti, saya akan bertugas macam biasa, saya sihat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar berkenaan kerana menyiarkan laporan seumpama itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata: "Tengoklah nanti macam mana, hari ini hari Ahad, saya nak berehat... keluar makan-makan dulu."

Sebelum ini Datuk Nik Abdul Aziz telah menafikan Datuk Husam akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan PAS dan melariskan jualan akhbar berkenaan.

"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husan cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.

Nik Aziz berkata laporan akhbar berkenaan sama sekali tidak benar dengan memetik sumber termasuk daripada blog tertentu yang kononnya mempunyai maklumat Husam akan melepaskan jawatan berikutan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata jika benar sekali pun Husam mahu meletakkan jawatan, beliau sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata kerajaan negeri sangat memerlukan khidmat dan buah fikiran Husam kerana sepanjang perkhidmatannya, Husam banyak membuat rundingan dengan kerajaan Pusat termasuk mengenai tanah dengan Felda, Felcra dan terbaru tuntutan royalti petroleum.

"Mengapa orang kita tidak tahu menilai orang yang berguna (seperti Husam)," katanya.

Ketika ditanya sama ada benar Husam pernah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan baik dalam parti mahu pun kerajaan, Nik Abdul Aziz berkata: "Tak ada... sayapun tak terfikir dia nak berhenti. (Ini pandai-pandai akhbar) nak bawa berita panas supaya orang beli akhbar".

Nik Abdul Aziz berkata Husam sememangnya ada menemuinya di pejabat dua hari lepas dan hanya memaklumkan bahawa beliau dinasihati oleh doktor agar mendapat rawatan di hospital kerana mengalami masalah sakit tulang belakang.

"Masalah nak berundur tak berundur, langsung tidak timbul baik dalam kepala dia atau saya," katanya.

Beliau berkata tindakan akhbar menyiarkan laporan itu sebenarnya mengguriskan hati orang yang dalam keadaan sakit.



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kerana Husam anti UG, bermakna anti Utusan dan UMNO juga!

Tanpa Nama berkata...

Syabas Husam...

Orang macam anda amat dicemburui ramai....

Tak lama dah, anda sudah dekat nak jadi pimpinan atasan...tapi kena banyak bersabar dengan ujian...

Tahniah...!

PAS TETAP SATU - tiada UG tiada erdogan!

Tanpa Nama berkata...

ya, tiada UG dan tiada pro UG.
hanya satu PAS - yg memperjuangkan Negara Islam dan undang2 Islam.

-Mohd, Rusila, Mansoura, Egypt