14 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Sahihkah Pilihanraya Bagan Pinang?

Beberapa tahun yang lalu semasa saya mengendalikan kes petisyen pilihan raya bagi DUN Bangi saya dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bertelagah tentang makna demokrasi.Peguam Negara yang memohon Mahkamah membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh PAS berhujah bahawa calon BN di Bangi, Amran Kasimin (pada masa itu) telah menang dengan majoriti yang besar sekaligus mengalahkan calon PAS iaitu Dr Shafie Abu Bakar.

Ghani Patail berhujah bahawa Mahkamah perlu menghormati pilihan rakyat di Bangi kerana majoriti besar dari pengundi di situ mahukan calon BN. Demokrasi, hujah Ghani Patail, adalah tentang suara majoriti iaitu pihak yang menang secara majoriti adalah pihak yang layak dilantik sebagai wakil rakyat.

Ketika menjawab hujah Ghani tersebut saya berhujah bahawa demokrasi bukan soal majoriti semata-mata. Pilihanraya yang bersih, bebas dan adil adalah sine qua non (ciri utama) demokrasi. Mana-mana pilihan raya yang tidak bersih, tidak bebas dan tidak adil ia bukanlah satu pilihan raya meskipun diadakan lima tahun sekali kerana pilihan raya sebegitu melanggar ruh dan prinsip demokrasi.

Saya hujahkan bahawa bagaimanakah pilihanraya di Bangi itu boleh dikatakan adil, bersih dan bebas sedangkan banyak peraturan yang BN langgar. Misalnya calon BN secara jelas menipu dengan menggunakan title Profesor di poster beliau meskipun beliau bukan seorang Profesor. Daftar pemilih yang digunakan di hari pengundian berbeza dengan daftar yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan sedangkan undang-undang pilihanraya menyatakan secara jelas hanya daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan yang boleh diterima sebagai daftar pemilih yang sahih pada hari pengundian. Saya selanjutnya berhujah “ Yang Arif, BN menang besar kerana mereka adalah penipu/pembohong besar !!!”. Ghani Patail melenting apabila saya menyatakan BN pembohong besar.

Melihat apa yang berlaku di dalam pilihan raya kecil DUN N.31 Bagan Pinang saya tertanya-tanya wujudkah pilihan raya di DUN tersebut ?

Apa yang dikatakan Pilihan raya di Bagan Pinang menyaksikan siri pencabulan undang-undang yang amat ketara yang dilakukan oleh BN dan ejen-ejen BN yang tidak rasmi iaitu pihak SPR dan pihak tertentu di dalam Pasukan Angkatan Tentera Malaysia. SPR sepatutnya berfungsi sebagai pengawal pilihan raya tetapi seperti yang dinyatakan dalam pepatah latin “ quis custodiet ipsos custodes” (“ siapa yang mengawal pengawal ?)

Semua tahu bahawa undi pos adalah talian hayat Umno di Bagan Pinang. Semua juga tahu proses pengundian pos diselaputi dengan pelbagai misteri dan kebal dari radar ketelusan. Penghapusan undi pos adalah salah satu tuntutan besar BERSIH.

Perlaksanaan undi pos di Bagan Pinang bukan sahaja tidak telus malahan terang-terang melanggar undang-undang. Oleh itu tidak pelik jika calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 3,521 undi pos berbanding calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar yang hanya memperoleh 601 undi sahaja.

Perkara pertama yang dilanggar oleh SPR adalah kewujudan dua nama yang sama lebih kurang 250 pengundi tentera di daftar pemilih di DUN Bagan Pinang dan di beberapa daftar pemilih di daerah-daerah mengundi di seluruh negara. Misalnya nama Ahmad bin Ali wujud di daftar pemilih DUN Bagan Pinang dengan menggunakan No pengenalan tentera , dan nama yang sama juga wujud di daftar pemilih di Daerah mengundi di Kelantan dengan menggunakan No Kad Pengenalan biasa. Apabila hal ini dibangkitkan oleh PAS , SPR meskipun mengakui hal tersebut berlaku dan juga mengakui bahawa ia adalah menyalahi undang-undang hanya memberikan alasan yang sama dulu, kini dan selamanya : “ Oleh kerana terlalu ramai pengundi di negara ini, kesilapan tidak boleh dielakkan dan kami tidak boleh buat apa-apa ! Kami jamin tiada pengundi tentera yang mengundi dua kali di Dun Bagan Pinang ! Lihatlah betapa mudahnya SPR meremehkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.

Tidak cukup dengan perlanggaran tersebut, SPR sekali lagi membiarkan sahaja penggunaan daftar pemilih yang berbeza di pusat pengundi pos dengan daftar pemilih yang dibekalkan kepada calon. Kali ini alasan SPR mesipun daftar pemilih berbeza nama-nama pengundi masih ada di kedua-dua daftar pemilih yang berbeza tersebut. Pengarah Pilihan Raya SPR Negeri Sembilan, Abdul Latif Baba berkata, senarai pemilih yang dipamerkan oleh pihak tentera di papan pameran dewan pusat mengundi semasa proses pengundian berlangsung di situ adalah diatur oleh pihak tentera secara pentadbiran.

Nampak sangat SPR sengaja memejam mata melihat perlanggaran undang-undang. Undang-undangnya adalah kesemua pihak sama ada SPR, tentera atau parti-parti yang bertanding hendakah menggunakan daftar pemilih yang sama iaitu yang dibekalkan kepada calon semasa hari penamanaan calon.

Baik SPR ataupun tentera tidak diberi kuasa mengubah hal tersebut walau dengan tujuan dan niat apa sekalipun. Apabila tentera mengubah daftar pemilih tersebut ia mendatangkan kesusahan kepada petugas parti yang bertanding untuk menyemak dan mengenal pasti nama-nama pengundi yang datang membuang undi.

Apa yang lebih malang lagi para petugas parti yang bertugas memantau perjalanan pengundian pos tersebut tidak sama sekali berpeluang untuk memastikan bahawa hanya para pengundi yang namanya ada di daftar pemilih DUN Bagan Pinang yang benar-benar mengundi di situ .

Hal ini berlaku kerana tidak seperti proses pengundian biasa di mana pihak Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) akan meneriak nama para pengundi yang hadir untuk mengundi sekaligus memudahkan para polling agent parti yang bertanding menyemak nama pengundi tersebut di daftar pemilih , hal yang sama tidak berlaku di dalam proses pengundian pos khususnya di DUN Bagan Pinang.

Oleh itu tiada mekanisme untuk petugas parti yang bertanding mengetahui dengan jelas siapa yang datang mengundi dan pengundi itu mengundi bagi pihak siapa ? Bolehkah kaedah pemilihan sebegini yang penuh dengan misteri didefinisikan sebagai pilihan raya ? Hantu raya bolehlah !!!

Isu keganasan tidak perlulah saya sentuh kerana ianya satu amalan rutin oleh BN di Bagan Pinang. Para petugas BN ibarat drakula yang kehausan darah . Pilihan raya telah bertukar seperti perlawanan gusti di Bagan Pinang –perlawanan penggusti yang jahat dan tidak ikut undang-undang membelasah penggusti yang baik yang ikut undang-undang. Penggusti yang jahat dalam banyak keadaan dibela pula oleh pengadil yang lemah dan tidak berdaya !!!

Seksyen 2 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menafsirkan perkataan pilihan raya seperti berikut “ pilihan raya ertinya sesuatu pilihanraya yang diadakan mengikut peruntukkan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pemilihan orang sebagai ahli Dewan Rakyat , Dewan Undangan Negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan tafsiran tersebut adalah jelas bahawa apa yang berlaku di Bagan Pinang bukanlah satu pilihan raya kerana ianya gagal diadakan mengikut peruntukkan undang-undang pilihan raya.

Mungkin BN berhujah jika PAS tidak puas hati , PAS seharusnya memfailkan petisyen pilihan raya di bawah sekyen 32 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 bagi membatalkan pilihan raya tersebut.

Persoalannya bagaimanakah PAS boleh memohon membatalkan pilihan raya tersebut jika pilihan raya tersebut sendiri tidak wujud menurut undang-undang. Bolehkah kita batalkan sesuatu perjanjian jika perjanjian itu sendiri tidak wujud. Menyuruh seseorang membatalkan sesuatu yang tidak wujud samalah seperti menyuruh orang itu membuat sesuatu yang mustahil. -Hanipa Maidin (Peguam PAS)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau PAS bertegas nak hapuskan undi POS itu bermakna PAS adalah penakut dan pengecut. seperti tidak menghormati institusi tentera negara ini yang juga layak mengundi. otak takde ke? main cakap jer pandai.

Tanpa Nama berkata...

bn yg penakut dan pengecut..takut benor kalo undi pos(baca: talian hayat) tu xde..tentera yg dok kat kem bukan lg dok kat hutan..mansuh je undi pos..tentera kat kem undi mcm org awam lain..

malaysia tak kan hancur kena serang kalo tentera ni pegi mengundi kat pusat mengundi..bukannya depa kena dok kat situ 24 jam..abih mengundi..balik la..