2 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Menjawab Serangan Najib Ke Atas Rakyat

Kerajaan bersedia menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium, untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, demikian lapor Bernama.

"Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan," kata Najib mengulas perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di ibu negara semalam.

Perhimpunan itu yang mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap tidak adil.

Najib juga berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak polis sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Katanya, polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan serta ketenteraman awam, dan tidak mahu kejadian semalam berlaku secara berterusan.

"Terpulang kepada pihak berkuasa (untuk mengambil tindakan). Demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut diteruskan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, pihak pembangkang telah menjadikan perhimpunan haram itu sebagai bahan politik untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan itu kejam dan tidak bertindak adil dengan undang-undang yang "draconian."

SEBAGAI JAWAPAN, kita ingin menyatakan kepada Najib bahawa tiada siapa yang bertempik tetapi Polis yang bukan sahaja bertempik tetapi meniupkan siren sekuat-kuatnya di atas alasan untuk meleraikan perhimpunan.

Kita ingin bertanya kepada Najib dan sekalian pemimpin UMNO BN, apa jadi dengan rumusan inkuiri SUHAKAM yang dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia sebelum ini?

Laporan Suhakam tersebut berkaitan insiden keganasan polis terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan aman di KLCC pada 28 Mei 2006 bagi membantah kenaikan tol. dan beberapa cadangan telah dikemukakan oleh penel Inkuiri yang diketuai oleh Dato K.C. Vohrah (mantan Hakim Mahkamah Tinggi). Antara lain:


- tidak menjadikan satu kesalahan jenayah (decriminalising) bagi perhimpunan tanpa permit polis di bawah seksyen 27 Akta Polis 1967;

- pihak polis tidak menghadkan hak mana-mana orang di negara ini untuk terlibat dengan mana-mana aktiviti yang berbentuk protes;

- memansuhkan sama sekali seksyen 27(2), (2A) hingga (2D), (4)(4A)(5)(5A) hingga (5C), (7), (8) dan seksyen 27A Akta Polis 1967.


Laporan tersebut juga mengecam tindakan pihak polis yang menggunakan helikopter untuk mengganggu mereka yang berhimpun. Pihak Suhakam begitu tegas mengecam pihak polis apabila juruterbang helikopter mengakui bahawa dia telah merendahkan helikopternya atas arahan ketuanya meskipun tindakannya tersebut diakui boleh membahayakan keselamatan beliau dan orang ramai.

Bagi pejuang-pejuang demokrasi di negara ini dan rakyat yang peka terhadap hak mereka, cadangan-cadangan Suhakam ini amat besar maknanya. Namun harapan untuk melihat ianya dilaksanakan oleh pihak kerajaan khususnya pihak polis amat kecil.

Kita tentu masih ingat bagaimana sebelum ini pihak Suhakam juga telah mengeluarkan laporan inkuiri berkaitan keganasan pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun secara aman di Lebuhraya Kesas.

Laporan Kesas tesebut bukan sahaja mengesahkan bahawa pihak polis telah melakukan kesalahan pencabulan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi juga mencadangkan agar beberapa peruntukkan di bawah Akta Polis khususnya yang berkaitan dengan kebebasan berhimpun dipinda atau dimansuhkan terus.

Jika dilihat kepada laporan Kesas tersebut, Suhakam malah mencadangkan agar pihak polis tidak membuat sekatan jalan raya bagi menghalang orang ramai untuk menyertai mana-mana perhimpunan secara aman.

Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja Bagi Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia yang dipengerusikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Dzaiddin, pihak Suruhanjaya juga telah mengkritik sikap dan tindakan pihak polis dalam menangani isu hak berhimpun dan telah mencadangkan agar seksyen 27 dipinda manakala seksyen 27A, 27B dan 27C dimansuhkan sama sekali.

Seksyen 27 Akta Polis berkaitan dengan sekatan hak berhimpun di tempat awam yang memerlukan lesen/permit daripada pihak Ketua Polis Daerah manakala seksyen 27A adalah berkaitan sekatan kebebasan mengadakan aktiviti temasuk berhimpun di tempat persendirian ( private place).

Suruhanjaya Diraja ketika mencadangkan seksyen 27A dimansuhkan menyatakan "this (section) spells the end of the freedom of assembly, speech and association provided by the Constitution." (Terjemahan: seksyen ini melenyapkan kebebasan berhimpun, bersuara dan berpersatuan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.)

Selain Suhakam dan Suruhanjaya Diraja tersebut, pihak Mahkamah sendiri telah memutuskan dalam beberapa kes yang melibatkan pendakwaan di bawah seksyen 27 dan 27A memihak kepada mereka yang dituduh.

Kerajaan UMNO BN perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal mengindahkan segala saranan suruhanjaya yang telah dibentuk dan diperkenankan oleh ke bawah DYMM Di Pertuan Agong.

Polis semalam telah menahan 589 orang selepas mereka terlibat dalam perhimpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya akan menyiasat penglibatan pemimpin pembangkang di perhimpunan itu.

SEBENARNYA, YANG PERLU DISIASAT IALAH DATUK MUSA HASSAN DAN DATUK SABTU OSMAN ITU SENDIRI. BELIAU PERLU DIPANGGIL MEMBERI PENJELASAN KEPADA SUHRUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM) TERHADAP TINDAKAN POLIS SEMALAM.

Tindakan perlu di ambil ke atas mereka berdua supaya mereka dipecat dari jawatan kerana telah bertindak melanggar undang-undang dan perlembagaan.




Tiada ulasan: