16 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Kenapa SPRM Hanya Gerudi Tiong Dan Tidak Presiden MCA Sendiri?

Banyak pihak menyelar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melalukan siasatan berpilih di dalam skandal PKFZ.

SPRM dilaporkan hanya menyiasat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan yang dibuat terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tetapi bukannya Presiden MCA itu sendiri.

Mstar melaporkan tiga pegawai SPRM datang ke pejabat Tiong di sini pada pukul 2 petang Khamis lalu dan menyoal siasat beliau lebih empat jam.

Peguam Tiong turut berada di situ memandangkan beliau telah diberikan notis mengenai kedatangan SPRM sebelum itu.

Pegawai-pegawai SPRM meninggalkan pejabat tersebut kira-kira pukul 6.30 petang dengan membawa beberapa fail.

Tiong, Ahli Parlimen Bintulu dan juga Setiausaha Agung Parti Demokratik Progesif Sarawak dikatakan telah menyerahkan beberapa fail dan dokumen kepada SPRM berhubung dakwaan yang dibuat beliau.

SPRM memulakan penyiasatan berikutan laporan yang dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Datuk Lee Hwa Beng yang mendakwa Kuala Dimensi yang menjadi kontraktor bagi pembinaan PKFZ terlibat dalam penipuan munasabah, tuntutan tidak berasas dan mengenakan caj berlebihan sehingga jutaan ringgit.

Lee membuat laporan itu berikutan penemuan pasukan petugas khas yang ditubuhkan 10 Jun lalu untuk melihat dari sudut perundangan dan kewangan PKA dan PKFZ.

Difahamkan, SPRM juga menyoal Tiong mengenai dakwaan beliau telah memberi pinjaman RM10 juta kepada Ong.

Selain Tiong yang merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN-BBC), SPRM juga telah menyoal siasat dan merekod kenyataan Timbalan CEO Kuala Dimensi, Datuk Faisal Abdullah yang mendakwa Ong telah menggunakan jet syarikat itu tanpa apa-apa bayaran.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas mendesak SPRM supaya menyiasat dakwaan Tiong bahawa syarikatnya memberikan RM10 juta kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, untuk urusan mesyuarat bahagian parti itu tahun lalu.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, adalah jelas isu ini harus menjadi tumpuan kepada SPRM kerana King Sing secara jelas telah mengeluarkan kenyataan dan mengakui bahawa wang tersebut telah diserahkan kepada presiden MCA itu.

AHli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu turut mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melarang Menteri Pengangkutan dan Datuk Seri Tiong berperang secara terbuka menerusi media mendedahkan lagi pekung yang selama ini disorok oleh Barisan Nasional (BN).

"Percubaan yang baik, Muhyiddin. Tetapi, setelah rakyat mendengar dakwaan Tiong bahawa beliau memberi RM10 juta kepada Ong, kini mereka hendak tahu pula siapa lagi yang mendapat habuan?

"Adakah pemimpin Umno juga dapat duit seperti itu? Adakah mereka mendapat habuan lebih besar?" kata Mohamad Sabu.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai perisytiharan yang jelas bahawa kerajaan BN enggan mengamalkan ketelusan.

"Kalau ada dakwaan sebelum ini bahawa kerajaan BN kononnya mengamalkan ketelusan, kenyataan Muhyiddin itu dengan jelas membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah pembohongan besar.

"Mereka sebenarnya amat takut kepada ketelusan. Muhyiddin sendiri yang mendedahkan pekung itu," kata Mohamad.

Tiada ulasan: