15 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : H1N1, Isytihar Darurat Segera

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Lee Boon Chye mendesak kerajaan supaya mengisytiharkan darurat bagi menangani wabak Influenza A (H1N1).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, sejak kes import pertama pada 15hb Mei lalu dikesan, jumlah jangkitan telah mencecah hingga 2,000 kes dan 51 kes kematian sehingga kini.

“Menteri Kesihatan gagal menghalang virus itu daripada memasuki negara ini melalui pemeriksaan di sempadan dan lapangan terbang. Saya harap melalui langkah yang berkesan, wabak terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan dapat diminimumkan,” katanya.

Beliau menjangka wabak itu akan mengalami tahap puncak dalam masa tiga hingga enam bulan akan datang dengan jumlah kematian mungkin mencecah 1,000 kes pada akhir tahun.

Oleh itu, Boon Chye mendesak Kabinet melaksanakan langkah pencegahan segera yang tertakluk dalam ‘National Influenza Pandemic Preparedness Plan 2006’, termasuk pengaktifan National Security Council (NSC) pada tahap kebangsaan, negeri dan daerah.

Katanya, fungsi NSC ialah untuk menyelaras semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi membanteras wabak virus H1N1.

“Keputusan segera mengenai perkara ini adalah penting kerana peningkatan dalam jumlah transmisi tempatan dan kematian. Ini menunjukkan langkah kawalan untuk mencegah jangkitan sehingga kini tidak berjaya.

“Saya cadangkan Kementerian Kesihatan memulakan pemeriksaan wajib (suhu badan dan simptom bagi wabak Infleunza A) pada pintu masuk kepada semua kemudahan awam dan swasta termasuk sekolah, hospital, hotel, pasar raya, pejabat kerajaan, restoran, kilang dan sebagainya,” katany.

Beliau berkata, kerajaan harus membentuk jawatankuasa bersama antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) supaya kedua-dua pihak bekerjasama membanteras krisis terbesar dalam sistem kesihatan negara ini.

Sementara itu Bernama melaporkan semua petugas di Istana Abdul Aziz Kuantan, Pahang dikuarantin sehingga Ahad ini berikutan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda dijangkiti influenza A (H1N1).

Kaum kerabat termasuk kakitangan istana itu juga tidak dibenarkan sama ada keluar atau masuk ke kawasan istana itu sejak Tengku Puan Pahang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dijangkiti penyakit itu Sabtu lepas.

Perkara berkenaan disahkan oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah ketika dihubungi dari Wad Diraja HTAA Jumaat.

"Tiada siapa dari dalam istana dibenarkan keluar, pekerja dari luar pun tidak dibenarkan masuk sehingga 16 Ogos ini," kata baginda menerusi khidmat khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pemberita di sini semalam.

Bagaimanapun jumlah kakitangan istana berkenaan yang dikuarantin tidak dapat dipastikan.

Jumaat lepas, lima anakanda baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14; Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah, 12; pasangan kembar, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, serta Tengku Puteri Jihan Khalsom Athiyatullah, 7, dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif H1N1.

Tunku Azizah Aminah Maimunah pula dimasukkan ke wad yang sama sehari kemudian kerana dijangkiti virus berkenaan semasa menjaga kelima-lima anakanda baginda.

Adinda baginda, Tunku Mariam Zaharah Sultan Iskandar turut dimasukkan ke wad berkenaan Selasa lalu setelah menunjukkan simptom H1N1.

Tunku Azizah Aminah Maimunah berkata baginda bersama lima anakandanya yang semakin pulih masih berada dalam pengawasan doktor di Wad Diraja HTAA.

Menurut baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga tidak dibenarkan melawat keluarganya yang dikuarantin di wad tersebut.

"Kami yang berada di Wad Diraja ini tidak dibenarkan keluar, begitu juga orang luar tidak dibenarkan datang melawat kami bagi mengelakkan H1N1 menjangkiti orang lain," katanya.

Tiada ulasan: