17 Jul 2009

Pasca Manek Urai : FRU Mengganas Di SPRM, 7 Ditahan, 2 Cedera

Hampir 400 orang berhimpun di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam hari ini menuntut badan itu disiasat berhubung kematian seorang setiausaha politik Pakatan Rakyat dalam tahanan mereka.

Laungan “Siasat, Siasat, Siasat” bergema menggegarkan Plaza Masalam Shah Alam, yang menempatkan ibupejabat SPRM Selangor, menghadapi lebih 200 anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengepung kawasan tersebut.

Teoh Beng Hock, 30, yang berkhidmat untuk Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati tengahari semalam dipercayai jatuh dari tingkat 14 SPRM selepas dikurung semalaman untuk disoalsiasat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhimpun bersama-sama rakyat Selangor pelbagai bangsa mengutuk kejadian tersebut dan menggesa satu siasatan dijalankan segera.

Mereka menyerahkan memorandum bantahan dan memasuki ibupejabat SPRM menuntut penjelasan dari pegawai tertinggi SPRM negeri. Anwar menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini.

“Cukuplah dengan kekejaman ini. Kita telah saksikan terlalu banyak kejadian sebegini. Kita tuntut penjelasan dari SPRM,” tegas Anwar kepada hadirin sebelum memasuki Plaza Masalam.

10 minit kemudian, unit FRU bertindak meleraikan hadirin dengan kekerasan. Tujuh orang ditahan manakala dua individu cedera dikasari polis. Antara yang ditahan adalah Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Exco Selangor Dr Xavier Jeyakumar.

Antara yang cedera Adun Rawang Gan Pei Nei yang dipukul di kepala oleh pihak polis, ketika membantu Lu Chuan Boon - pembantu kepada Exco Elizabeth Wong - yang diseret polis sejauh 30 meter.

Kejadian ini berlaku dibawah pemantauan Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar.

Sementara itu di satu sidang akhbar, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pentadbirannya sama-sekali tidak akan membenarkan pegawai-pegawainya disiasat di luar waktu pejabat.

“Kita akan menyediakan panel peguam untuk membantu pegawai-pegawai kita yang disiasat,” kata Khalid.

Kerajaan Selangor juga akan membantu keluarga Teoh, termasuk urusan pengkebumian. Timbalan Ketua Setiausaha Negeri telah diarahkan menemui ahli keluarga mangsa.

Sementara itu, pertemuan Pakatan Rakyat dan SPRM gagal menghasilkan jawapan yang memuaskan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Lim Kit Siang berkata pertemuan tersebut membazirkan masa kerana pegawai-pegawai MACC telah diarahkan oleh pihak atasan untuk tidak berkata apa-apa.



Tiada ulasan: