17 Jul 2009

Malaysia Era Najib Altantuya : Rakyat Malaysia Bangunlah Untuk Bela Teoh

MINDA EDITOR TVA: PEMBELAAN UNTUK TEO

Mudah untuk Timbalan Perdana Menteri, para menteri serta pegawai atasan agensi siasatan dan penguatkuasaan undang undang untuk menasihati rakyat "bertenang", "jangan buat kesimpulan', "jangan tuduh SPRM" dan "biar polis siasat " berhubung misteri yang menyelebungi kematian Teo Beng Hock.

Begitu juga mudah untuk melafaz janji "kami akan siasat dengan telus ", "tidak akan sorok apa apa" dan " akan dedah semua". Hakikatnya kita semua mesti akur. Biarlah polis menyiasat. Bila selesai kelak terimalah hasil siasatan.

Tetapi masalahnya ialah bila kerajaan pusat berkata demikian, ramai yang ragu. Ramai yang sangsi. Kerajaan pusat bersama agensi siasatan dibawah pentadbirannya termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan khususnya pasukan polis mengalami krisis kredibiliti.

Dalam erti kata lain ramai yang tidak percayai siasatan yang dijalankan benar benar adil, saksama, telus dan menyeluruh. Itu masalahnya.

Itu bukan tuduhan orang politik. Itu suara hati rakyat. Buktinya lihat sahaja komen "rakyat biasa" yang luahkan dalam alam siber menerusi blog dan sebagainya. Majorti rakyat biasa sangsi. Mereka tidak boleh dipersalahkan.

Apabila berlaku kematian "misteri" di lokap polis umpamanya, rakyat kerap diberitahu "hasil siasatan menunjukkan punca kematian ialah terminum air, terjatuh dalam bilik air, lemas dalam sungai". Rakyat tidak lupa kematian A.Kugan, Choong Soy Soy, dan Francis Udayappan.

Kini berdepan pula dengan kematian Teo Beng Hock. Apa yang sebenarnya terjadi?

Rakyat tidak tahu. Tapi mahu tahu. Kenyataan dan penjelasan pihak atasan SPRM dan polis sehingga ini tidak banyak membantu. Malah kenyataan dan penjelasan yang dibuat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Rakyat diberi tahu Teo bukan suspek kes salah guna wang peruntukkan wakil rakyat. Mendiang kata SPRM hanya seorang saksi. Namun SPRM menyoal siasatnya daripada jam 6 petang Rabu 15 Julai hingga 3.45 pagi Khamis 16 Julai. Yang rakyat ingin tahu adakah ini prosidur biasa?

Soal siasat berterusan sehingga awal pagi?

Rakyat diberitahu mendiang Teo dibenarkan pulang pukul 4 pagi Khamis 16 Julai tetapi Teo mahu rehat diatas sofa pejabat SPRM. Mendiang dilihat berada di pejabat berkenaan pukul 6 pagi. Selepas itu tidak ada siapa nampak mendiang. Tujuh jam kemudian mayat Teo ditemui di tingkat lima bangunan bersebelahan pejabat SPRM Shah Alam.Yang rakyat tanya mengapa soerang yang baru dibebaskan setelah disoal siasat berjam-jam lamanya memilih untuk berehat di tempat dia disoal siasat? Mengapa tidak terus pulang? Tidak menghubungi keluarga, kawan mahupun bosnya?

Rakyat juga ingin tahu mengapa "orang luar' atau seorang yang bukan pegawai atau kakitangan SPRM dibiarkan berada atau "berkeliaran' di pejabat agensi penting pada awal pagi atau pada "pagi pagi buta"? Tanpa pengawasan?


Banyak lagi yang dipertikaikan. Tetapi yang mesti diberi perhatiannya ialah kebimbangan rakyat berdasarkan dakwaan ahli majlis perbandaran Klang Tan Boon Hwa yang turut disoalsiat SPRM berhubung kes yang sama. Tan mendakwa beliau telah diancam, dihina, dimaki dan diherdik. Tan juga diarah berdiri beberapa jam ketika sesi soal siasat.

Lebih membimbang apabila rakyat mengimbas kembali dakwaan seorang lagi ahli majlis perbandaran tidak berapa lama dulu. Kali ini dari Simpang Renggam.

Beliau mendakwa matanya ditutup dan pegawai SPRM menendang dan memukulnya ketika disoal siasat.


Begitu juga seorang dakwaan seorang ketua UMNO bahagian dari Pahang. Beliau juga mendakwa pegawai SPRM menendang dan menumbuknya untuk memaksa belaiu mengaku telah memberi wang kepada UMNO sebagai sogokan pada pemilihan parti yang lalu. Beliau turut mendedahkan pegawai SPRM mengancam untuk menangkap dan menelanjangi isterinya. Cukup menakutkan.

Lantas, apa yang berlaku keatas mendiang Teo mesti diketahui umum. Pemimpin UMNO Tengku Razaleigh Hamzah sendiri mengakui kes Teo meletakkan kredibiliti kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan agensi penyiasatan negara dibawah mikroskop rakyat.

Justeru atas nama keadilan rakyat menuntut siasatan dijalankan badan independen atau satu suruhanjaya diraja bebas.

Keadilan untuk mendiang Teo,

Keadilan untuk ibu bapa, tunang dan keluarga mendiang Teo.

Dan keadilan untuk Malaysia tercinta.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bodoh haram, entah siapa nak percaya pada kerajaan malaysia sekarang ni,sudah2 la , dari kugan, remaja melayu, lelaki india ,semua mati juga dalam tahanan,rakyat tak lah sebodoh dulu dan sebodoh bn dan umno, pls . . . pls. . . kami dah tak kira, kerajaan tetap akan kami tukar! bagi yang telus dari penyamun tarbus~