Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, surat pelawaan untuk mengadakan debat itu telah dikirim kepada Najib semalam yang turut menyatakan dua tajuk perdebatan berkenaan.
“Berdebat itu ada dua tajuk sahaja, pertamanya kenapa UMNO tolak Islam sedangkan Islam datang daripada Allah. Matahari, hujan, udara, oksigen juga datang daripada Allah dan semuanya dia (UMNO) terima tetapi kenapa Islam dia tolak dan apa logiknya.
“Keduanya, kenapa UMNO lawan Pas sedangkan Pas terang-terang dalam perlembagaannya (parti) Islam dan kita (Pas) buat cara Islam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Bertani Satu Ibadah di Padang Majlis Daerah Dabong, dekat Manek Urai Lama, semalam.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap berhasrat mengadakan debat itu kerana cara tersebut adalah satu daripada tiga saluran berdakwah yang disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran selain dakwah dengan cara bijaksana dan nasihat.
Menurutnya, kaedah dakwah dengan bijaksana telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri apabila mentadbir Kelantan mengikut ajaran Islam termasuk dari segi berbaik-baik dengan agama lain, pengurusan kewangan, sosial dan budaya.
Katanya, cara berdakwah kedua iaitu nasihat boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara seperti ceramah, kuliah, usrah dan temu ramah dengan akhbar dengan syarat mesti melibatkan peringatan tentang syurga dan neraka.
“Dalam sembahyang kita ada minta supaya Tuhan pimpin kita ke jalan yang betul dan Tuhan kata, jalan yang betul ini ialah jalan orang yang dia beri nikmat seperti nabi, cara nabi memerintah, berumahtangga, cara nabi bercakap, cara guna duit kerajaan dan cara guna duit sendiri, cara ini yang kita (Pas) buat di Kelantan dan ini kita panggil mauizah (nasihat),” kata Nik Abdul Aziz.
Mengulas saranan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya Pas dan UMNO mengadakan muzakarah dan bukannya debat, beliau berkata, cara itu (muzakarah) sudah beberapa kali diminta oleh Pas sejak zaman Tun Abdul Razak lagi namun tidak pernah ‘menjadi’.
“Sekarang ini saya (nak) buat mujadalah (berdebat), dia (UMNO) nak terima, alhamdulillah dan kalau dia tak nak terima, dia punya pasal,” kata Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, mengulas pelawaan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana ilmiah terbuka dengan Pemuda UMNO, Nik Abdul Aziz berkata, dia menyokong penuh cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai salah satu cara untuk berdakwah.
Katanya, dia juga menyerahkan kepada Pemuda Pas untuk menentukan tajuk wacana itu asalkan ia tidak lari daripada prinsip untuk menegakkan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan