1 Jul 2009

KERAJAAN NIZAR : KRISIS PERAK DEDAH KEBEJATAN UMNO BN

Krisis politik di Perak secara tidak langsung telah memberikan “pakej rangsangan ekonomi” kepada rakyat di negeri tersebut. Contohnya apabila sidang DUN Perak berlangsung 7 Mei lalu, berbondong- bondonglah para wartawan, penulis blog, penganalisis politik dan pelancong politik dari luar negeri itu turut serta.

Apabila Ipoh dipenuhi dengan orang-orang luar, maka rancaklah aktiviti ekonomi. Hotel-hotel berpenghuni, restoran-restoran lebih laris, termasuk kedai-kedai mamak mendapat pelanggan luar biasa banyaknya.

Ia secara tidak langsung dapat membantu rakyat Perak untuk terus bertahan walaupun aktiviti ekonomi di negeri tersebut lembab akibat ketidaktentuan politik sejak Februari lepas.

Menurut Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam, pergolakan politik di Perak "satu pendidikan politik yang terbaik" kepada rakyat.

Menurutnya, juga adik kepada seorang ahli politik veteran Umno, krisis di Perak menunjukkan dengan jelas kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku dalam institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam.

Memang benar apa yang dikatakan oleh ahli parlimen PAS itu. Sebelumnya, memang begitu sukar untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku di negara ini.

Dengan berlakunya rampasan kuasa di Perak, rakyat dapat melihat sendiri bagaimana institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam diperkudakan oleh Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Mohd Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Menurut hakimnya Abdul Aziz Abdul Rahim, ADUN PAS itu adalah menteri besar Perak yang sah kerana undi tidak percaya tidak pernah diusulkan terhadap Nizar dalam persidangan DUN Perak.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakimannya.

Selepas penghakiman itu, Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry Abd Kadir, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

Kegembiraan Nizar dan barisan exco Pakatan Rakyat Perak tidak bertahan lama. Keesokan harinya Zambry, menteri besar BN, memfailkan rayuan mahkamah Putrajaya.

Rayuan Zambry itu didengar dan diputuskan pada hari yang sama. Mahkamah Rayuan bertindak dengan begitu pantas dan efisyen. Jika kes-kes lain turut diperlakukan sebegini rupa, maka mahkamah di Malaysia akan menjadi mahkamah yang paling efisyen di dunia!

Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - yang membawa akibat Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah selama tidak sampai 24 jam!

Pada 22 Mei pula, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Zambry untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan pelantikan Nizar sebagai menteri besar.

Keputusan ini akan pasti dirayu pula oleh Nizar di Mahkamah Persekutuan. Apakah ia akan memihak kepada Nizar atau Zambry?

Pertikaian di mahkamah antara dua menteri besar ini diperhatian dengan dekat oleh orang ramai - sekali gus mengheret para hakim kanan di depan mahkamah rakyat.

Hakim membuat keputusan, rakyat menentukan kesahihan keputusan mereka!

Akibat silih ganti pertukaran ini, pelbagai pihak mula mendesak lagi agar DUN Perak dibubarkan untuk menyelesaikan kemelut politik politik yang berlarutan selama beberapa bulan.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, krisis politik di Perak hanya dapat diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat apabila DUN dibubarkan.

“Jika Perak lumpuh, bukan hanya Perak yang akan lumpuh tetapi seluruh negara akan lumpuh.

"Jika istana Perak membuat keputusan salah (tidak membubarkan DUN), ia bukan sahaja akan menjejaskan institusi beraja di negeri itu tetapi keseluruhan institusi Raja-raja Melayu.

"Jika semua kes mahkamah telah diselesaikan sekalipun, ia tidak akan memuaskan hati rakyat. Jalan yang terbaik ialah krisis politik ini diselesaikan melalui pilihanraya di negeri tersebut," katanya ketika ditemuramah oleh penulis ini sewaktu pelancaran Pertandingan Menulis Esei Bertemakan "One Nation, One Malaysia" anjuran yayasannya My Future Foundation pada 13 Mei lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mendesak agar hak rakyat Perak untuk memilih pemimpin mereka dikembalikan - bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya negeri.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya. Hak memilih kerajaan adalah hak asasi manusia," kata pengerusinya Abu Talib Osman.

Beliau merujuk Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang mengatakan bahawa rakyat haruslah menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan. - amin iskandar

Tiada ulasan: