10 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan PAS UMNO : Mana Tuan Presiden?

Bergegar jemaah dan Pakatan Rakyat ekoran isu Kerajaan Perpaduan yang kini cuba ditutup isu tersebut dengan satu "arahan" yang datang dari atas supaya dihentikan polemik yang merugikan parti ini.

GB telah menganggapnya ia laksana menyapu sampah ke bawah karpet agar jangan bau hapaknya terhidu oleh sesiapa terutama musuh, sedangkan merekalah juga orangnya yang selama ini menyebabkan sampah sarap itu bertimbun dan menjadikan jemaah PAS dan Pakatan Rakyat bergelandangan dengan segala kemelut masalah dan kekeliruan.

Berbelit-belit mereka memutar kenyataan untuk menjustifikasikan saranan dan gagasan itu, ada yang menyatakan ia laksana Musa yang pergi berdakwah kepada Firaun, ada yang berhujjah ia sebagai memenuhi konsep ta'awun, malah ada yang menyatakan "terma bekerjasama atau 'cooperation' telah disalahertikan kerana PAS tidak akan bekerjasama dari segi politik dengan parti seteru seperti Umno.

Itu kaedah escapisme namanya setelah tersepit dengan isu yang pimpinan sendiri sudah bikin kecoh satu jemaah, satu pakatan.

Sayang sunngguh, kisah ummi Maktum yang terlakar indah di dalam Al-Quran tidak dijadikan panduan.

Sdra Rashidi di harakahdaily tiba-tiba meminta supaya gesaan Dato' Mustafa Ali kepada semua pihak termasuk dalam PAS dan Pakatan Rakyat supaya menghentikan segera bercakap soal Kerajaan Perpaduan mesti diambil perhatian segera.

Katanya, saranan Mustafa harus diterimapakai serta merta. Dan, jika pun pemimpin-pemimpin PAS mahu bercakap mengenai kerajaan perpaduan mereka mesti mengelakkannya dari bercakap kepada media massa yang kebanyakannya pro Barisan Nasional dan akan melaporkan sesuatu menurut kepentingan BN.

Setelah idea itu menerima tentangan hebat, tetiba kini mereka pula yang meminta isu dihentikan segera walhal merekalah pelupor yang telah mengketengahkan gagasan yang telah menyebabkan kekeliruan itu.

Mereka kini cuba mengadakan pembedahan di pinggiran sedangkan merekalah sebenarnya sebahagian dari penyakit yang menyerang.

Sehingga hari ini, Presiden sendiri membisu seribu bahasa, sama langkah dan sikapnya sewaktu pertama kali Zulkifli Sulong mewarwarkan gagasan itu di dalam SISAH satu ketika dulu yang selepas itu Abd Hadi menghilang apabila banyak pihak sewkatu itu tertanya-tanya mengenai gagasan tersebut.

Kita mungkin boleh menghentikan dari membicarakan isu tersebut dari akhbar dari blog dari warung atau dari apa juga yang bersifat fizikal, tetapi tiada sesiapa pun boleh menghalang ianya dipersoalkan di hati sanubari ummah serta penyokong Pakatan Rakyat.

Riak ombak terlalu cantik bergerak di luar tetapi tsunami yang berselindung di bawahnya tiada siapa yang boleh menduga yang boleh meletup bila-bila masa.

Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda PAS cuba membawa kisah Nabi Musa yang berdakwah kepada Firaun sebagai alasan untuk menerima gagasan Kerajaan Perpaduan.

Bagi kita, mana mungkin pula boleh menyamakan dakwah Nabi Musa a.s kepada Firaun dengan seruan Kerajaan Perpaduan.

Di dalam surah TaaHaa ayat 43 menjelaskan : "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya!"

Musa tidak pernah diperintah oleh Allah untuk mengajak Firaun bersama membentuk Kerajaan Perpaduan!

Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man membawa konsep Ta'awun.

Firmanullah: "Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan".

Perkara pertama yang perlu dilihat ialah "tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa."

Apakah Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan itu hendak dirujukkan sebagai "perkara kebaikan dan taqwa?

Jika demikian halnya, UMNO perlu diperbetulkan terlebih dahulu supaya memenuhi konsep taqwa berkenaan, kemudian barulah boleh bekerjasama dengan mereka untuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Memperbetulkan UMNO bukan pula dengan dengan kaedah pergi merangkak masuk ke dalam kelambunya tanpa diketahui oleh sekalian ahli tetapi kita bertemu di dalam pilihanraya.

Justeru itu penjelasan-penjelasan sesetengah ulamak untuk menjustifikasikan idea Kerajaan Perpaduan tersebut telah menajamkan lagi kekeruhan dan kekeliruan.

Mengapa sukar sangat untuk menerima kenyatan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz yang menyifatkan gagasan itu sebagai mengarut?

Kita ingin menyatakan bahawa isu yang menjadi duri dalam daging ini tidak boleh diselesaikan dengan arahan berhenti bincang mengenainya dengan meletakkan ia sebagai tajuk heading di harakahdaily sekalipun.

Saya ingin mengulangi satu Muktamar Khas perlu segera dipanggil untuk isu Kerajaan Perpaduan tersebut dengan kehadiran semua ahli dan juga pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat, dan Presiden serta Timbalan presiden "merendahkan dirinya" menarik balik dan memohon maaf secara terbuka disamping berjanji untuk tidak tergamak melakukan dan mengulangi kesalahan dan pengkhianatan yang serupa di masa mendatang.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Persoalan yang timbul ialah bilamana kenyataan pimpinan seperti Konsep Kerajaan Perpaduan tidak dibuat melalui keputusan jamaah, pendek kata ianya hanya kenyataan peribadi, bukannya hasil rumusan mesy AJK PAS Pusat atau majlis Syura Ulamak atau melalui keputusan muktamar. Manakala keputusan muktamar tahun lepas iaitu memperkasakan Pakatan Rakyat dgn tidak menolak perbincangan dgn mana2 badan tidak diambil kira. Sebab itu pandangan TGHH tidak kolektif, iaitu bukannya keputusan jamaah. Kalau ianya keputusan jamaah, maka wajib ia dipatuhi. Jika tidak masakan TGNA menentangnya malah menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai idea mengarut. Sebahagian menyokong, manakala ramai yg menentang konsep kerajaan perpaduan. Yg menyokong konsep ini mengambil bersandarkan kepada hujah keputusan muktamar lepas iaitu “…..tidak menolak perbincangan dgn mana2 badan termasuklah UMNO.” Sedangkan adakah sama mengadakan perbincangan dgn mengujudkan kerajaan perpaduan?”. Saya rasa hujah ini tidak tepat. Samalah seperti hujjah “pergilah kau berdakwah kpd firaun…” bknnya bermaksud kita bersama membentuk kerajaan perpaduan dgn firaun. Ahli disuruh walak kpd pemimpin, tetapi bagaimana pula pemimpin tidak walak kpd keputusan muktamar? Amatlah besar kebencian Allah kepada mereka yang mengatakan sesuatu yg ia tidak melaksanakannya. Ahli walak kepada pemimpin adalah bermaksud walak kpd keputusan pimpinan, bukannya keputusan peribadi seorang dua pemimpin sebab kepimpinan kita adalah secara kolektif (syura). Sebab itulah bermulanya perbedaan pendapat. Perbedaan pendapat adakalanya bagus, tpp banyak juga mudaratnya terutamanya bilamana pendapat itu bertentangan dgn keputusan muktamar iaitu memperkasakan pakatan rakyat tidak diambll kira dgn sebaiknya. Mengapa tidak dicadangkan pembentukan organisasi yg sah seperti BN?, jika benar2 mahu memperkasakan PR? Apakah wujud kerjasama kukuh diperingkat negeri, kawasan dan cawangan? Kenapa perlu dilontarkan Kerajaan Perpaduan dgn BN, sedangkan MCA sendiri menentangnya? Kenapa tidak diperkukuhkan kerjasama dgn PR sdgkan PR sendiri memerlukan PAS sbg rakan kerjasama politik yg berupaya meggantikan tempat UMNO! Ingatlah, kematangan politik sahaja yang berupaya membezakan mana kaca dan intan, mana musuh dan kawan