Adakah ini berupa pengakuan bahawa sudah lebih 51 tahun rakyat dilenakan dengan janji dan projek gergasi yang tidak memberi manfaat kepada mereka?Adakah UMNO kini mengaku ia telah gagal menjadi pemerintah yang mesra rakyat? UMNO/BN sudah tua dan tidak relevan lagi dalam percaturan politik abad 21 di Malaysia. Inilah mesej penting yang rakyat perlu fahami dan ambil ingatan supaya mereka tidak dipermainkan selama 50 tahun lagi dengan coklat berulat yang diberi nama Kabinet Rakyat.
Sebenarnya sejak dahulu hingga sekarang tidak wujud “kabinet rakyat” yang digembar-gemburkan sekarang. Semua kabinet dari dahulu hingga kini adalah kabinet para pengail politik yang matlamatnya yang paling utama ialah menjaga kepentingan parti dan kepentingan ketua-ketua UMNO yang sentiasa rakus syahwat politiknya. Apa yang dilaungkan sebagai transformasi dan reformasi dalam UMNO bukanlah untuk rakyat, tetapi untuk gembung-gembung UMNO dan sekutunya untuk memastikan mereka menang besar dalam pilihan raya akan datang. Mana ada reformasi dan transformasi untuk rakyat? Tidak ada.
Jika ada berilah contoh konkrit untuk dinilai. Tidak ada contoh konkrit itu. Yang ada hanya usaha untuk membaiki kelemahan parti dan para pemimpin UMNO/BN supaya rakyat memilih mereka lagi dalam pilihan raya akan datang. Jika itulah maksud transformasi dan reformasi, maka agenda peribadi UMNO/BN yang begitu ketara dan angkuh disogokkan kepada rakyat wajib ditolak bulat-bulat oleh rakyat tanpa ragu-ragu lagi.
Slogan baru, gagasan satu Malaysia, mungkin boleh diterima oleh etnik bukan Melayu yang menunggu-nunggu sekian lama “Melayu” itu sama taraf dengan mereka, tanpa sebarang keutamaan diberikan kepada mana-mana etnik atau suku kaum atau komuniti (ketiga-tiga istilah ini digunakan dengan maksud yang sama dari segi politik perkauman). Yang pertama perlu dihapuskan ialah hak istimewa orang Melayu; diikuti kemudian status bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan (yang ditolak UMNO); kedudukan ekonomi disamaratakan dengan memberi keutamaan kepada etnik China untuk meneruskan monopoli mereka (hakikat ekonomi ini tidak pernah dibincangkan dengan terbuka dan mendalam.
Oleh itu sekarang perlu dilakukan dengan kritis supaya Melayu tahu mengapa mereka susah mendapat barang-barang yang diperlukan dalam sektor pembinaan misalnya). Kesan politik pula cukup besar bagi UMNO/BN. Gagasan satu Malaysia menuntut mereka membubarkan parti perkauman, dengan itu UMNO, MCA, MIC dan semua parti gabungan perlu dibubarkan dengan menjadikan BN sebuah parti untuk semua etnik yang sama rata kedudukannya. Ini bererti Presiden BN boleh sesiapa saja yang dipilih oleh perwakilan atau sebarang cara yang ditentukan nanti. Jika perkara ini tidak mahu dilakukan, maka apa yang dinamakan gagasan satu Malaysia itu hanya khayalan Perdana Menteri saja, untuk mengelirukan lagi rakyat yang sudah terlalu keliru dan bercelaru. [15/4/2009]
Mohd Affandi Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan