12 Apr 2009

PR Tiada Kabinet Bayangan Seperti Dituduh UMNO

Nampaknya belum pun seminggu memegang jawatan baru, menteri kabinet UMNO di bawah Najib sudah menuduh dan mengulas yang bukan-bukan mengenai Pakatan Rakyat.

Terbaru kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menyifatkan kabinet bayangan yang diwarwarkan oleh Ketua Umum Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri khayalan.

Sekalipun sebenarnya tidak ada apa yang dinamakan menteri kabinet bayangan seperti yang diwarwarkan itu, ternyatalah yang berkhayal ialah Muhyiddin sendiri.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menafikan desas-desus yang menyatakan Pakatan Rakyat mempunyai barisan kabinet bayangan tetapi sebaliknya apa yang ada ialah Pakatan Rakyat akan menubuhkan panel yang membayangi setiap kementerian untuk memantau perjalanan kementerian-kementerian terbabit untuk mempastikan gerak-kerja ahli parlimen Pakatan Rakyat dari tiga parti, DAP, PAS dan PKR dengan lebih tersusun.

"Ia menunjukkan Muhyiddin tidak mengetahui apa yang dicakapkannya. Ia hanya memberi respons kepada apa juga soalan yang diajukan kepadanya oleh wartawan tanpa mengetahui latarbelakang persoalan yang ditimbulkan," kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

"Beliau tidak perlu untuk menunjukkan lagaknya seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri, mana tahu esok lusa, kerajaan UMNO-BN akan tumbang," tambahnya.

Beliau juga berkata Muhyiddin patut belajar dari kekalahan UMNO-BN di Bukit Gantang yang beliau sendiri menjadi jurumudi kempen BN yang gagal. Malah Muhyiddin dicabar nanti untuk terus mengemudikan jentera BN di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang bakal diadakan untuk membuktikan "keistimewaannya" daripada pemimpin utama BN, Najib yang telah kecundang di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

"Kami tidak sombong dan angkuh, tetapi UMNO-BN perlu menyedari bahawa rakyat kini sedang berada di dalam fasa menuntut perubahan di dalam kepimpinan negara apatah lagi Perdana Menteri kini seorang yang bernar-benar sudah tercalar kredibilitinya membawa bagasi sarat dengan pelbagai tuduhan yang belum dibersihkan," tambahnya.



Tiada ulasan: