17 Apr 2009

ISU KERAJAAN NIZAR : Keputusan Mahkamah Persekutuan Semalam Wujudkan Tauladan Merbahaya

Tindakan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN mewujudkan tauladan yang amat merbahaya terhahap keutuhan institusi kehakiman dan konsep pengasingan kuasa.

Exco Kanan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata keputusan Mahkamah Persekutuan boleh ditafsirkan sebagai mencampuri badan eksekutif dan menjejaskan imej dan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman.

Keputusan itu juga secara lansung mendedahkan kemungkinan semua keputusan badan kehakiman berkaitan isu yang sama pada masa yang lepas dipertikaikan serta disemak semula.

Mahkamah juga tidak membuat apa-apa keputusan mengenai 'Persidangan Bawah Pokok' yang dibuat pada 3 Mac 2009. Dalam persidangan itu, keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan untuk menggantung 7 orang ahli Dewan Negeri itu telah diterima dan diluluskan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menimbulkan lebih banyak keraguan kerana ianya telah campurtangan dalam prosiding Dewan Negeri.

Menurutnya lagi, apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini boleh diabaikan oleh Dewan Negeri kerana ia hanya merupakan satu deklarasi dan bukannya mandamus atau certiorari. Beliau menegaskan bahawa deklarasi itu hanyalah pendapat yang tidak menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Dewan Negeri mempunyai undang-undang tersendiri. Undang-undang itu hanya boleh ditafsirkan oleh Speaker. Samada Speaker bertindak secara betul ataupun tidak, hanya dewan sahaja yang boleh membincangkan hal ini melalui usul yang dibawa. Keputusan Speaker hanya boleh dicabar dalam Dewan itu sendiri.

Datuk Ngeh juga mengatakan bahawa Mahkamah telah mentafsir kuasa -kuasa Speaker, adalah tidak baik jika Dewan Negeri juga memberi pendapatnya mengenai keputusan-keputusan Mahkamah. Beliau mengatakan bahawa deklarasi yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah 'akademik dan tidak perlu'.


Tiada ulasan: