5 Apr 2009

BUKIT GANTANG : Mohon Restu Rakyat Satu Slogan Kosong

Ahli parlimen Lembah Pantai YB Nurul Izzah Anwar menyelar UMNO-BN menggunakan slogan "Mohon Restu Rakyat" di dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang melalui calonnya Ismail Safian untuk berdepan dengan calon PAS Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin.

Slogan yang indah itu tidak seindah dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh UMNO-BN selama ini.

"Apakah mereka terfikir samada rakyat setuju bila harga minyak dinaikkan dulu pada 4 Jun 2008 walaupun sebelum pilihanraya umum (Mac 2008) Timbalan Perdana Menteri (sekarang PM) menyatakan harga minyak tidak akan dinaikkan, tapi sebaliknya yang berlau," kata Nurulizzah membidas Najib.

"Samalah apabila mereka mengambil keputusan untuk merampas kerajaan negeri Perak apakah mereka memohon restu, menanya kepada rakyat di negeri ini, adakah rakyat bersetuju dengan keputusan tersebut," tambahnya.

Beliau berkata, bila mereka mengambil komisyen RM500 juta untuk kapal selam apakah restu rakyat dipohon?

Dulu pada 2004 mereka menyerang DAP kerana kononnya DAP bersekongkol dengan PAS yang memperjuangkan negara Islam, kini mereka menyatakan PAS menjadi boneka DAP. Inilah propaganda jahat media massa arus perdana untuk mengelirukan rakyat. Mereka memainkan isu "derhaka" sedangkan mereka lupa di awal tahun 2008 merekalah penderhaka sebenar apabila berdemonstrasi di negeri Terengganu menghina Sultan Terengganu yang waktu itu adalah DYMM Yang Dipertuan Agong.

"Siapa yang pinda perlembagaan tahun 1983 dan 1993 untuk menghakis kuasa raja kalau bukan pimpinan UMNO?" tanya Nurulizzah.

Justeru itu beliau berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan isu derhaka yang dimainkan oleh UMNO walhal merekalah penderhaka yang sebenar. Beliau mengajak semua pengundi-pengundi Bukit Gantang memberikan kemenangan kepada Nizar di dalam PRK Bukit Gantang pada 7 April ini.



Tiada ulasan: